A+ A A-

Kurangkan pengangguran, jana peluang pekerjaan

101216 HALUAN

Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmatNya jua kita dapat berkumpul pada hari ini bagi Pelancaran Pesta Kerjaya Brunei 2016 atau Brunei Job Fair 2016 yang bertemakan "Merealisasikan Kecemerlangan Pekerjaan Melalui Pembangunan Keupayaan, Kecekapan dan Prestasi".

Melihat kepada iklim ekonomi global, kadar pertumbuhan ekonomi telah pun mencatatkan pengurangan demand di negara-negara seperti China, Amerika Syarikat dan Eropah dan ianya telah memberi kesan kepada semua negara termasuk Negara Brunei Darussalam.Keadaan harga pasaran minyak dan gas yang rendah dan tidak menentu (volatile) pada masa ini telah memberikan kesan kepada pendapatan kerajaan. Dalam pada masa keadaan ekonomi negara yang mencabar ini, sudah setentunya ianya membawa implikasi kepada pihak kerajaan dan sektor swasta.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat mengambil berat mengenai isu pengangguran ini di mana ianya sering kali dititahkan oleh baginda di beberapa tahun yang kebelakangan. Baginda telah menekankan betapa pentingnya bagi setiap pihak untuk berusaha dalam meningkatkan kompetensi dan kapasiti anak-anak tempatan dan bagi pencari-pencari kerja untuk tidak memilih pekerjaan. Pada masa ini, keadaan kadar pengangguran negara yang relatif adalah sebanyak 6.9 peratus.

Oleh yang demikian, baginda telah menitahkan pada awal tahun ini bagi penubuhan Majlis Kebangsaan Perancangan Tenaga Manusia khusus buat memantau, menangani dan membuat policy intervention bagi Perancangan Tenaga Manusia di negara ini untuk mengurangkan pengangguran. Mesyuarat-mesyuarat bagi Badan Majlis ini telahpun dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di mana Duli Yang Teramat Mulia telah menunjukkan sifat yang amat prihatin terhadap isu-isu pengangguran dan memberikan panduan yang sangat memberangsangkan untuk bertindak ke atasnya. Kerja-kerja perancangan tenaga manusia ini ada hubungkaitnya juga dengan penjanaan pekerjaan di bawah perancangan Pelaburan Langsung Asing (FDD kerana projek-projek FDI dapat menjanakan pekerjaan-pekerjaan insyaaAllah lebih dari tiga ribu pekerjaan secara langsung dan tidak langsung dalam masa lima tahun yang akan Datang.

Di samping Negara Brunei Darussalam sedang menghadapi cabaran kemelut ekonomi, ianya memberikan peluang kepada kita semua untuk lebih proaktif dan bersepadu serta berusaha dengan lebih gigih untuk memperbaiki keadaan kadar pengangguran pada masa ini. Untuk mengurangkan kadar pengangguran ini dengan sebanyak mungkin, kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Tenaga dan Perindustrian, jawatankuasa Pandu Pelaburan Langsung Asing, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi yang lain, perlu bekerjasama dan berusaha dengan tekad melalui pendekatan whole of government.

Usaha-usaha dan tanggungjawab dalam mengurangkan pengangguran dan penjanaan peluang kerja bukanlah diletakkan sematamata kepada pihak kerajaan sahaja. Malahan ianya setentunya melibatkan pihak-pihak yang berkepentingan seperti sektor swasta (termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana), pihak organisasi bukan kerajaan dan sebagainya. Ini tidak terkecuali juga pencari kerja itu sendiri, yang mana sikap yang gigih, dedikasi dan disiplin yang tinggi akan menambah baik peluang bagi mendapat pekerjaan. Kesemua pihak-pihak berkenaan memainkan peranan yang penting dan bersepadu dalam membantu mengatasi cabaran yang dihadapi ini.

Setakat ini, saya telah melihat persatuan-persatuan dan badan organisasi bukan kerajaan yang telah berusaha secara proaktif dan ikhlas seperti Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei yang telah berjaya menubuhkan beberapa MSME serta menjanakan pekerjaan bagi anak tempatan.

Di antara cabaran-cabaran yang dihadapi adalah mendapatkan data pengangguran yang sebenar supaya tindakan-tindakan yang bersepadu oleh kesemua pihak untuk menangani isu-isu pengangguran dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Dalam pada ini, Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung, yang setentunya amat prihatin mengenai hal ehwal penduduk kampungnya sendiri, perlu juga memainkan peranan penting sebagai jentera keraian bagi kesejahteraan rakyat. Pihak Jabatan Tenaga dan Perindustrian dan Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia telah mengadakan beberapa sesi muzakarah ke Daerah-Daerah baru-baru ini dan telah bekerjasama dengan Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung untuk memberikan maklumat yang sebenar mengenai status pengangguran anak-anak kampung. Saya ingin memberikan penghargaan kepada mereka yang telah menyumbangkan maklumat berkenaan di mana mereka telah memainkan peranan yang baik di dalam hal ini. Walau bagaimanapun, nampaknya dari 185 Penghulu dan Ketua Kampung, hanya 30 peratus sahaja yang hadir pada hari ini. Saya berharap bahawa kesinambungan ini akan dapat merealisasikan objektif kerajaan dalam mengurangkan pengangguran.

Tindakan yang dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam masa jangka pendek adalah penubuhan tempat Pusat Pekerjaan Brunei (Job Centre Brunei) yang akan ditempatkan di Kampung Beribi, Gadong mulai Disember 2016. Data-data yang berkaitan dengan peluang pekerjaan dan profil para pencari kerja yang telah dikumpulkan sebelum ini berserta maklumat yang baru adalah diselaraskan dalam database Pusat Pekerjaan Brunei yang sedia ada.

Tempat Pusat Pekerjaan Brunei akan menjadi one-stop shop, di mana ianya adalah tempat bagi pendaftaran pencari-pencari kerja, mempamerkan database kerja-kerja kosong dan juga membantu pencari-pencari kerja dalam memperbaiki peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Pencari-pencari kerja yang tidak mempunyai komputer boleh juga mengunjungi Pusat Pekerjaan Brunei bagi menyertai kursus-kursus pembangunan kapasiti bagi penambahbaikan kemahirannya. Pusat Pekerjaan Brunei juga dapat diakses 24 jam, tujuh hari seminggu melalui online portal.

Pencari-pencari kerja bolehlah meneliti peluang-peluang kerja online serta mendaftarkan dirinya bagi program-program upskilling untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi masing-masing. Syarikat-syarikat juga dapat mengakses calon-calon pekerja melalui online portal ini juga.

Menyentuh kembali dengan Pesta Kerjaya Brunei 2016 yang bermula pada hari ini, pesta ini adalah salah satu daripada usaha kerajaan untuk melibatkan kesemua sektor perindustrian di seluruh negara secara holistik dalam satu tempat. Ini adalah titik permulaan usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Pusat Pekerjaan Brunei yang saya terangkan tadi. Sebanyak 222 syarikat ikut serta di Pesta Kerjaya Brunei 2016, (termasuk 112 syarikat yang menyertai melalui online). Pesta ini mempamerkan sebanyak 2,565 peluang kerja daripada sektor-sektor tenaga, pembangunan dan kejuruteraan, perbankan dan kewangan, IT dan Kreatif, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, hospitaliti dan pelancongan, pembuatan dan penjualan dan pengangkutan dan logistik. Lagi ikut serta adalah rakan-rakan pelaburan langsung asing dan pengusaha-pengusaha muda, institusi pengajian tinggi dan badan-badan beruniform.

Sehubungan dengan itu, terdapat sebanyak 2,279 peluang pekerjaan langsung daripada projek-projek pelaburan langsung asing bermula dari sekarang sehingga 2018. Ini adalah sambutan yang amat menggalakkan. Apa yang menarik perhatian saya juga bahawa beberapa kerja-kerja kosong telah ditawarkan oleh pengusaha-pengusaha belia dari bisnes-bisnes yang sedia ada atau start-ups. Saya mengucapkan syabas kepada pengusaha-pengusaha belia ini kerana telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam mendukung dan menjana pekerjaan dan seterusnya memperkembangkan anak-anak tempatan kita.

Bagi masa jangka sederhana, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu terus bersepadu dalam meningkatkan kompetensi tenaga kerja tempatan. Ini adalah termasuk dalam mengadakan Rangka Kerja Kompetensi Perindustrian (Industry Competency Framework (lCF)) bagi sektor bukan minyak dan gas. Rangka Kerja ini terbukti dalam memberikan hasil di sektor minyak dan gas di bawah program Energy Industry Competency Framework (EICF). Sejak Julai 2013, sebanyak 2,489 anak tempatan telah dan sedang mengikuti programprogram EICF yang berasaskan permintaan industri (industry demand driven) bagi merebut peluang pekerjaan yang dapat dijanakan oleh syarikat-syarikat minyak dan gas bagi memenuhi komitmen-komitmen mereka kepada sasaran pembangunan perniagaan tempatan (LBD) dan perancangan penggantian (succession planning) syarikat. Sehingga kini, alhamdulillah, sebanyak 1,003 graduan EICF telah mendapat pekerjaan di sektor minyak dan gas. Di samping itu, dalam usaha bagi memastikan job security pekerja-pekerja tempatan di sektor minyak dan gas, inisiatif rollover pekerja tempatan telah dimulakan pada Januari 2014. Setakat ini, seramai 1,291 pekerja tempatan telah di rollover ke syarikat yang baru apabila kontrak kerja untuk syarikat sebelumnya telah mansuh.

Sejak tahun 2012, Jabatan Tenaga dan Perindustrian juga telah menetapkan sasaran KPI pengambilan anak tempatan di sektor minyak dan gas setiap tahun. Setakat ini, dalam masa empat tahun, sebanyak 11,229 anak tempatan telah mendapatkan pekerjaan di sektor tersebut. Kemajuan ini dapat dilihat di kawasan offshore sektor minyak dan gas di mana pekerja tempatan bekerja offshore pada 2010 adalah kira-kira L0 peratus daripada keseluruhan pekerja offshore di sektor minyak dan gas. Setakat ini, pekerja tempatan di kawasan offshore sektor minyak dan gas telah meningkat ke 55 peratus. Dengan pengalaman pihak kerajaan dalam pengambilan anak tempatan di sektor minyak dan gas, tidak mustahil perkara ini dapat diselaraskan kepada sektor-sektor yang lain.

Saya berasa kecewa melihat syarikat-syarikat pembinaan besar, seperti yang menyertai projek Rancangan Kemajuan Negara, yang tidak mengutamakan pengambilan anak-anak tempatan. Yang sedihnya, agen dan rakan tempatan bagi projek-projek ini hanya mementingkan keuntungan. Bukankah sudah tiba masanya bagi pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam mengelolakan lembaga-lembaga tawaran di kerajaan mahu pun syarikat-syarikat kerajaan (Government-linked companies) untuk menjadikan pengambilan anak tempatan sebagai kriteria utama dalam pemberian tender projek dan bukan untuk mementingkan keuntungan bagi sesetengah pihak dan agen yang tidak bertanggungjawab. Dalam pada masa yang sama, syarikat-syarikat yang menghadapkan cadangan projek perlulah menyatakan berapa peluang pekerjaan yang dapat dibukakan kepada anak tempatan. Di samping itu, ada baiknya juga diberikan tumpuan dalam mengkaji semula dasar-dasar procurement tempatan supaya ianya memberi peluang kepada MSME tempatan. Prinsip yang sama akan dilaksanakan bagi projek-projek Pelaburan Langsung Asing termasuk projek-projek pembinaan yang berkaitan dengannya.

Kejayaan EICF selama ini juga diharap akan dapat diulangkan di sektor bukan minyak dan gas. Pada Pesta Kerjaya ini, pihak kerajaan melancarkan program ICF bagi sektor pengurusan hospitaliti dan pelancongan, sektor pengangkutan dan sektor pembinaan.

Dalam pada ini juga, saya ingin menyentuh mengenai dengan peranan penting yang dimainkan oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME). MSME adalah dalam kedudukan yang unik, di mana pengusaha sendiri akan dapat membuka peluang kerja bagi dirinya dan juga orang-orang yang lain. Perkembangan MSME adalah sangat diperlukan bagi penjanaan pekerjaan dan di dunia pada masa ini, sumbangan MSME ke Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi-ekonomi maju adalah amat tinggi. Sebagai contoh, di negara jiran Malaysia, MSME menyumbangkan sebanyak 36.3 peratus kepada KDNK Malaysia dan sebanyak 65.5 peratus kepada pekerjaan keseluruhan di Malaysia.

Dalam pada ini, saya ingin mengingatkan Darussalam Enterprise (DARE) untuk sentiasa memantau dan menunduk ke atas bisnes dan kesejahteraan MSME dan juga mengemaskinikan data-data yang relevan mengenainya. Ini akan membantu mengembangkan lagi bisnes MSME supaya sumbangan MSME kepada ekonomi negara dan penjanaan pekerjaan tempatan adalah tinggi. Pengusaha-pengusaha yang masuk dalam bidang entrepreneurship patutlah dipuji kerana memberikan perkhidmatan dan sumbangan, bukan untuk dirinya sahaja, tetapi juga kepada negara secara am.

Pada kesimpulannya, menangani isu-isu pengangguran ini memang mempunyai cabarannya yang tersendiri. Usaha dan perancangan tenaga manusia yang sedang digerakkan oleh pihak kerajaan boleh masih dikatakan dalam work in progress. Semua pihak perlu memainkan peranannya dari segi pendekatan whole of nation - dari pihak kerajaan, pihak sektor swasta, organisasi bukan kerajaan dan ke pencari-pencari kerja itu sendiri. Walaupun dengan adanya cabaran yang dihadapi, setentunya ada hikmat di sebaliknya yang dapat diperolehi dan seterusnya untuk mengambil peluang-peluang yang ada untuk meningkatkan dan memajukan lagi Negara Brunei Darussalam, tanah air kita yang dicintai ini. Dengan menumpukan perhatian terhadap penjanaan peluang kerja dan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan, dengan cara kita sendiri sebagai orang-orang Brunei jua, iaitu dengan berkat usaha dan sentiasa bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan juga sentiasa mendokong konsep Melayu Islam Beraja, insyaaAllah kita akan dapat mengatasi apa jua cabaran yang dihadapi. Jalan yang dipilih adalah untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan agenda utama kesemua pihak adalah untuk mengutamakan pengambilan anak-anak tempatan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa jawatankuasa penganjur, penaja-penaja, peserta-peserta, penyampai-penyampai taklimat dan sukarelawan-sukarelawan bagi sokongan, komitmen dan usaha-usaha yang diberikan bagi menjayakan acara Pesta Kerjaya Brunei 2016 ini. Saya jugu ingin memberikan penghargaan saya kepada syarikat pengurusan acara Pesta Kerjaya ini yang dijalankan oleh pengusaha-pengusaha belia tempatan yang baru mula berkecimpung dalam bidang ini. Kita perlulah membantu syarikat-syarikat seperti ini supaya mereka akan dapat berkembang sepenuhnya.

Marilah kita semua memohon dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga pesta kerjaya ini diberkati oleh Allah Subhanahu Wata'ala jua dan bagi pencari-pencari kerja untuk mendapatkan berkat pekerjaan semata-mata untuk Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Amin Ya Rabbal Alamin.

Dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya melancarkan Pesta Kerjaya Brunei 2016. Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum Warahamatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel