A+ A A-

Lahirkan penulis-penulis muda sebagai pelapis

121216 HALUAN

Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

DI kesempatan awal dan istimewa ini, peramba / kaola / saya menyampaikan ucapan berbanyak terima kasih kepada Yang Mulia Pengerusi Bersama Majlis kerana memberikan saya kesempatan untuk bersama abiskita Sasterawan dan Sasterawani (Asterawani) negara di Majlis Perasmian Pertemuan Sasterawan Brunei kali Ke-6, pagi ini.

Alhamdulillah, kita selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bersyukur kehadrat Allah SubhanahuWata'ala, atas kurnia nikmat yang banyak dari-Nya yang telah dapat kita nikmati selama ini, iaitu melalui kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddinWaddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'AIi Saiffuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ini serasi dengan tema yang dipilih oleh Asterawani mengenai pertemuan sasterawan Brunei kali ini, iaitu 'Semarak Sastera Era Kebawah Duli' yang mana dalam konteks ini, sesungguhnya pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga sentiasa menggalakkan para sasterawan dan budayawan di negara ini untuk terus bergiat dalam bidang penulisan sama ada sastera kreatif atau non kreatif, asalkan hasil karya tersebut sesuai dengan siasah keharmonian kehidupan rakyat dan negara yang sama-sama kita kasihi ini.

Sehubungan dengan itu, sekali lagi ucapan setinggi penghargaan kepada Asterawani kerana mengundang peramba / kaola / saya ke majlis ini, dan kesempatan menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Pertemuan Sasterawan Brunei kali Ke-6, yang diselajurkan melancarkan dua buah Antologi Puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sesungguhnya di atas baik budinya dan ingatan Asterawani itu.

Di waktu pagi meminum selasih
Khasiat meminumnya tersangat banyak
Undangan ucapkan terima kasih
Hendak ditolak memang tidaklah layak

Peramba / kaola / saya amat berbangga, bergembira dan bersyukur kerana Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, iaitu sesuai dengan fungsi dan tujuan penubuhannya, untuk mendaulatkan bahasa dan kesusteraan melayu telah dapat menjalinkan kerjasama dengan persatuan-persatuan sukarela seperti Asterawani. Kerjasama erat Dewan Bahasa dan Pustaka dan Asterawani difahamkan sudah terjalin sekian lama, malah dari segi usia pun tidak jauh perbezaannya. Kerjasama yang berterusan itu dapat kita lihat hingga ke saat ini, iaitu berkerjasama dalam menganjurkan pertemuan Sasterawan Brunei Ke-6 ini.

Yang korek tu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Sebagaimana yang peramba / kaola / saya dimaklumkan, Asterawani kini sudah berusia lebih setengah abad, ahli-ahlinya yang juga terdiri daripada penulis-penulis dan pencinta sastera setentunya juga sudah berusia matang, berpengalaman berpendedahan dan pengetahuan atau jadi orang lama.

Sehubungan dengannya, peramba / kaola / saya berseru kepada Asterawani untuk terus mendampingi dan melahirkan penulis-penulis muda supaya mereka akan dapat melibatkan diri dan menyedari peranan mereka sebagai pelapis dalam persatuan ini kerana kita sedia maklum, bahawa perkembangan kesusasteraan dan bahasa khususnya, akan dapat membantu masyarakat kita dalam membentuk dan menghargai jati diri sebagai orang Brunei yang sebenarnya, yang tidak akan malu mengaku bahawa kitani adalah Orang Brunei.

Kehilangan abiskita orang lama orang berjasa nanti selain sangat dirasakan akan mengakibatkan jurang kesinambungan peranan yang penting ini.

Pada hemah peramba / kaola / saya hasil penulisan penulis-penulis di negara ini dapat dan sudah tiba masanya untuk disebarkan ke seluruh pelusuk dunia, iaitu dengan cara menterjemahkan hasil karya tersebut kedalam bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Perancis, Arab, China dan lain-lain bahasa. Usaha ini memanglah bukan suatu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kepakaran dalam bahasabahasa tersebut, namun ia dapat dilaksanakan secara bersistematik atau berperingkat-peringkat, dengannya akan meriah dan berkembanglah bahasa dan kesusasteraan kita.

Kita gembira hasil nukilan pena Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan (Adi Rumi) koleksi puisi dari 'Jendela Dunia' sebagai contoh telah pun dapat diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, iaitu 'Window on the World'.

Sebagai langkah permulaan, peramba / kaola / saya cadangkan buku-buku yang ditulis oleh penerima-penerima anugerah penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) diberikan keutamaan untuk diterjemahkan. Untuk merealisasikan hasrat ini, kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan dalam memperjuangkan bidang kesusasteraan dan bahasa ini adalah amat diharapkan dan dialu-alukan.

Arap-arap kelapa puan
Kelapa puan tepi perigi
Saya berharap kepada tuan
Tidak biskita, siapa lagi

Kita sedia maklum, golongan sasterawan adalah golongan penting dalam masyarakat. Melalui tulisan mereka diketemukan pelbagai pemikiran, pandangan, kritikan, idea dan ilmu baharu dalam sama-sama membangun negara kita yang tercinta ini. Para sasterawan memerlukan satu kawasan bagi berkumpul untuk berkongsi pengalaman dan melihat bersama perkembangan sastera tanah air. Justeru itu, hubungan kerjasama di antara penulis adalah amat perlu terutama dalam sama-sama mengendalikan sebuah bahtera perjalanan kehidupan khususnya bersatu dalam sebuah kesatuan penulisan.

Mengakhiri ucapan peramba / kaola / saya ini, sekali lagi peramba / kaola / saya mengucapkan terima kasih kepada Asterawani Brunei kerana sudi menjemput peramba / kaola / saya hadir ke majlis yang bermakna dan penuh warna-warni ini.

Di sana padi, di sini padi
Dalam sawah ikan berenang riang
Di sana budi, di sini budi
Sama-samalah kita mengenang sayang

Dengan bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, dan dengan membaca kalimah agong Bismillahir Rahmanir Rahim serta Berselawat ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, peramba / kaola / saya sukacita merasmikan

Pertemuan Sasterawan Brunei Ke-6, Tahun 2016, anjuran Asterawani Brunei dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, dan didukung oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini dan seterusnya melancarkan Antologi Puisi Asterawani sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun bertajuk 'Sembah Daulat Sejambak Kasih 70 Tahun' dan Antologi Puisi bertajuk 'Kunang-Kunang' karya Mahmudamit kedua-duanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Didoakan Semoga pertemuan Sasterawan Brunei kali ini akan berlangsung dengan semangat ukhwah, suasana harmoni dan perpaduan dengannya abiskita semua khususnya akan mendapat kerahmatan dan keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua, Amin ya Rabbal Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel