A+ A A-

Keselamatan navigasi, alam sekitar sungai penting

171216 HALUAN

Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH kita bersyukur ke hadrat Allah Subhaanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berkumpul pada pagi ini bagi meraikan Hari Maritim Sedunia 2016. Sambutan tahun ini membawa tema ''Perkapalan : Keperluan Dunia''.

Tema ini cukup relevan dalam mengetengahkan peranan dan sumbangan industri perkapalan kepada perdagangan dan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat global.

Jika disingkap tirai sejarah, perkapalan merupakan pengangkutan pertama yang menghubungkan negara kita dengan dunia luar.

Mengikut data yang direkodkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), jumlah import dan eksport Negara Brunei Darussalam bagi tahun 2015 adalah sebanyak BND 13 bilion. Hampir 90% dari barangan ini adalah didatangkan dengan menggunakan kapal laut. Begitu juga halnya dengan eksport negara, minyak dan gas, yang juga bersandar kepada perkapalan laut.

Fakta-fakta ini jelas menunjukkan bahawa perkapalan juga merupakan satu faktor penting dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Dari segi perdagangan serantau, mengikut United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UN ESCAP), 40% dari eksport dan import global adalah dari rantau Asia-Pasifik. Seterusnya, berdasarkan kepada United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), 70% dari nilai perdagangan dunia adalah dibawa melalui laut dan seterusnya dikendalikan di merata dunia.

Pada awal tahun 2015, jumlah armada kapal-kapal komersial adalah dianggarkan hampir berjumlah 90,000 buah kapal yang mampu membawa kapasiti sehingga 1.75 billion dead weight tonnage.

Tema ini juga telah dipilih untuk memberi tumpuan pada hubungan rapat antara perkapalan dan kehidupan harian seseorang di seluruh dunia ini dan untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan IMO sebagai badan pengawalan antarabangsa bagi sistem perkapalan antarabangsa (international shipping).

Ini bererti kepentingan perkapalan dalam menyokong dan mengekalkan masyarakat global yang ada pada hari ini menjadikan tugas IMO lebih signifikan dan mencapai jauh di luar industri itu sendiri.

Melihat kepada senario berkenaan, peranan penting Jabatan Laut dan Jabatan Pelabuhan adalah jelas dalam memberikan perkhidmatan untuk menentukan peraturanperaturan perkapalan mengikut piawaian IMO, memastikan keselamatan perkapalan laut dan melindungi alam persekitaran maritim.

Perkapalan adalah industri multi-national dimana pemilik (ownership) dan rantaian pengurusan (management chains) meliputi berbagai negara. Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk mendapati bahawa pemilik, pengendalian perkapalan, penyewa, syarikat insuran dan Classification Society, malah pegawai dan anak-anak kapal, adalah terdiri dari pelbagai bangsa, yang tidak semestinya datang dari negara dimana kapal berkenaan didaftarkan.

Dengan yang sedemikian, adalah tepat dan logik bagi adanya satu rangka kerja atau amalan antarabangsa untuk mengawal standard perkapalan yang boleh diguna pakai, diterima, dilaksanakan dan dikuatkuasakan oleh semua.

Jelas sekali, perlu ada pendekatan yang sama agar negara-negara yang menerima kapal-kapal luar (foreign flagged vessels) boleh menerima kapal-kapal berkenaan dengan yakin dan tidak meletakkan risiko yang tidak munasabah ke atas keselamatan mereka, keamanan (security) dan integriti alam sekitar.

Negara Brunei Darussalam sebagai negara ahli IMO melaksanakan kewajipannya dengan mensahkan / meratifikasi instrumen mandatori IMO dan diterjemahkan kepada peruntukan perundangan Negara. Dengan ini, sebahagian daripada fungsi Jabatan Laut adalah berasaskan instrumen mandatori IMO.

Ketika ini, Kementerian Perhubungan sedang giat mengungkayahkan penubuhan Autoriti Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam. Pelaksanaan ini dihasratkan untuk meningkatkan keupayaan Negara dalam mematuhi piawaian IMO dan pertumbuhan industri perkapalan dan logistik di negara ini, terutama melalui perancangan-perancangan jangka panjang.

Dengan menuju ke arah visi jangka panjang pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusalam telah menitahkan agar pembangunan sumber tenaga manusia dikalangan anak tempatan haruslah diberi perhatian dan mempunyai perancangan sewajarnya, setara dengan perkembangan industri perkapalan. Ini termasuklah bidang-bidang yang menjurus kepada Sijil Kecekapan Kelas 1 Dek (Master Mariner), Marine Engineers dan sebagainya.

Insentif yang betul-betul menggalakkan perlu ada untuk menarik dan meningkatkan minat pelaut-pelaut untuk terus berkecimpung dalam karier industri perkapalan, termasuk dengan pihak regulatori.

Dengan melahirkan lebih banyak golongan profesional yang berkelayakan untuk menjalankan dan mentadbir sistem perkapalan, saya percaya komitmen kita terhadap IMO dapat dipertingkatkan. Seterusnya, dengan adanya keupayaan sumber manusia berkenaan, saya juga percaya peningkatan pendaftaran dari kapal-kapal luar negara di Negara Brunei Darussalam akan menjadi satu objektif utama jangka panjang Autoriti Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam.

Untuk mencapai industri perkapalan yang terkenal, cekap dan berdaya saing, sokongan daripada setiap sektor yang berkepentingan adalah amat diperlukan. Dari itu, keluaran sampingan dari aktiviti perkapalan juga perlu diterokai.

Di negara-negara yang sedang membangun, aktiviti-aktiviti maritim dikenal pasti sebagai sumber pendapatan penting yang tidak ketara (visible). Kini negara-negara membangun mendahului dunia dalam memajukan perniagaan terpenting berkaitan dengan perkapalan seperti pendaftaran kapal, pembekalan kakitangan laut (crew) dan kapal kitar semula (ship recycling). Mereka juga memainkan peranan yang penting dalam memiliki kapal dan operasi, antaranya, pembinaan kapal dan pembaikan serta perkhidmatan Pelabuhan.

Dalam pada itu, saya menyarankan Jabatan Laut untuk meneliti sistem keselamatan sungai dan perairan dalam negara. Aspek keselamatan navigasi dan perlindungan alam sekitar bagi sungai dan perairan dalam negara juga perlu diberi perhatian dengan segera bagi menangani sebarang ancaman kepada alam sekitar dan kesan kepada pembangunan di tebing-tebing sungai.

Begitu juga dengan keselamatan dan had laju motor-motor bot juga perlu dikaji agar keselamatan penumpang, laluan sungai dan alam sekitar terus terpelihara. Dalam hal ini, pembentukan domestic class yang telah diutarakan oleh Jabatan Laut merupakan satu langkah yang wajar untuk mencapai matlamat ini.

Saya difahamkan bahawa sambutan pada hari ini akan turut memberi penghargaan kepada pemilik-pemilik kapal yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam yang mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Laut. Usaha dan sokongan berterusan abiskita adalah diperlukan bagi memastikan sektor perkapalan di Negara ini terus aktif yang akan mengetengahkan kepentingan sektor perkapalan dalam perkembangan sosial dan ekonomi negara.

Setentunya, sokongan ini adalah sangat dihargai. Kita memerlukan penglibatan dari pihak-pihak yang berkepentingan bagi memastikan kedayatahanan sektor perkapalan di sebagai sumber pencarian di negara ini.

Bagi mengakhir ucapan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Laut atas usaha mengadakan Sambutan Hari Maritim Sedunia 2016 dan terima kasih kepada ahli-ahi jawatankuasa yang terlibat atas komitmen yang diberikan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel