A+ A A-

Hak, kepentingan golongan OBK diiktiraf

191216 HALUAN

Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin, limpah dan rahmat-Nya jua dapat kita bersama-sama berkumpul di Dewan DiGadong yang indah pada hari ini, 3 Disember Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas (OBK) Kali Ke-10. Dikesempatan ini sukacita saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) selaku penganjur majlis kerana menjemput saya hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan sambutan majlis pada petang ini.

Bagi penceramah jemputan kami Mr. Akiie Ninomiya dari Pusat Pembangunan bagi Kurang Upaya Asia Pasifik (APDCD) dan Ms. Aiko Akimiya dari Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP); Saya ingin menyambut kedatangan awda berdua ke negara tercinta kami Brunei Darussalam (Abode of Peace). kehadiran awda hari ini mencerminkan sokongan padu yang diberikan kepada kami oleh UNESCAP dan APDC dalam usaha kami untuk terus melindungi dan mempromosi hak dan kebajikan orang-orang kurang upaya dalam masyarakat kami. Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kedua-dua UNESCAP dan APDC.

Kita sedia maklum bahawa golongan orang berkeperluan khas atau OBK merupakan golongan yang menghadapi pelbagai cabaran termasuk stigmatasi dan diskriminasi sama ada secara ketara ataupun tidak. Dilaporkan bahawa sebahagian besar daripada mereka di luar negara masih terpinggir, berkehidupan susah, tidak mempunyai pendapatan, tidak mendapat rawatan kesihatan yang komprehensif dan tidak menikmati kemudahan seperti bangunan yang disable-friendly.

Alhamdulilah kita sangat bersyukur kerana di negara kita Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul KhairiWaddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan baginda melalui pelbagai agensi dan jentera kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat akan kesejahteraan semua rakyat dan penduduk, apatah lagi hal ehwal golongan insan istimewa ini, melalui usaha-usaha berterusan seperti penyediaan kemudahan rawatan kesihatan yang percuma lagi menyeluruh, sistem pendidikan yang bersepadu (integrated education system), penyediaan sistem jaminan sosial atau safety net termasuk melalui pemberian dan agihan bantuan kewangan kepada golongan OBK serta usaha-usaha multi stakeholders yang berkenaan dalam penyediaan prasarana dan kemudahan yang disable-friendly.

Tidak dinafikan bahawa komitmen pihak kerajaan terhadap golongan istimewa ini bukan setakat itu sahaja, malahan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengambil inisiatif dengan menyediakan Pelan Tindakan Isu Orang Berkeperluan Khas, khusus untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh golongan ini atau Plan of Action For People With Disabilities (PWDs) specifically addressing the issues concerning PWD's.

Pelan Tindakan ini merupakan sebuah dokumen rangka kerja yang mengandungi inisiatif-inisiatif khusus untuk dilaksanakan oleh pelbagai agensi, jabatan dan kementerian yang merupakan ahli di dalam satu Jawatankuasa Khas di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS). Ianya juga merupakan wadah bagi isu OBK ditangani melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Society. Adalah di dalam perancangan MKIS yang saya mempengerusikan selaku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk meneliti semula atau mereview Pelan Tindakan Isu OBK ini agar ianya lebih selaras dan sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan harapan warga OBK di negara ini akan sama-sama dapat mencapai serta mengecapi kejayaan Wawasan Negara nanti.

Pada peringkat antarabangsa pula, negara kita juga tidak ketinggalan mengiktiraf akan hak dan kepentingan golongan OBK. Ini adalah terbukti dengan kurnia Titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Negara Brunei Darussalam secara rasminya telah meratifasi United Nations Conventions on the Rights of People With Disabilities (CRPD) pada 14 April 2016 yang lalu.

Saya juga ingin melahirkan rasa syukur di atas penglibatan aktif persatuan-persatuan OBK di Negara Brunei Darussalam yang sentiasa berkerjasama erat dengan pihak kerajaan dalam meningkatkan taraf kehidupan warga OBK terutama sekali memberi peluang untuk mereka berpartisipasi dalam Masyarakat.

Nampaknya usaha yang membanggakan ini semakin mantap dan meningkat dari tahun ke setahun. Oleh itu, saya menyeru kepada pihak Persatuan OBK dan NGO's yang lain agar tidak kendur-kendur meneruskan perjuangan mereka yang berkebajikan dimana insyaaAllah Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan sama-sama berperanan memberikan sokongan biskita.

Bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan persatuan-persatuan OBK dalam usaha mereka memajukan individu serta golongan istimewa ini, saya rasa gembira setelah dimaklumkan di atas inisiatif pihak persatuan-persatuan OBK. Majlis Kesejahteran Orang Kelainan Upaya (MKOKU) telah didaftarkan di Register of Societies dan ditubuhkan pada 14 Mei 2016, disamping menyampaikan ucapan tahniah diatas penubuhan ini. Saya yakin dengan tertubuhnya Majlis Kesejahteran Orang Kelainan Upaya ini nanti, isu-isu OBK akan lebih diketengahkan dan diberi perhatian yang lebih terarah. Lebih-lebih lagi jika ahli-ahli MKOKU itu terdiri daripada individu-individu OBK sendiri.

Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Mr. Akiie Ninomiya dari APDC dan Ms.Aiko Akiyama dari UNESCAP kerana datang ke Brunei untuk menyertai sesi dialog yang diadakan pada hari ini. Saya difahamkan pelbagai aktiviti telah dirancangkan pada tahun hadapan, maka saya berharap UNESCAP dan APDC akan terus menyokong usaha-usaha kami dalam melindungi dan meningkatkan kesedaran dan memastikan kebajikan dan kesejahteraan orang kurang upaya dalam masyarakat kami. Saya berharap untuk mendengar ucaptama daripada awda dan berharap kunjungan awda ke negara ini akan memberikan pengalaman yang manis dan bermakna.

Saya akhiri dengan ucapan selamat sama-sama Meraikan Sambutan Hari Antarabangsa OBK Ke-10 dengan iringan doa semoga kerja-kerja berkebajikan dan inisiatif-inisiatif ke arah peningkatan pemedulian Orang-Orang Berkeperluan Khas di negara ini akan berjaya dilaksanakan, dengannya mereka-mereka yang istimewa ini tidak akan terasa tersisih diabaikan atau tidak dihargai dan kita semua sebagai pemangkin inisiatif-inisiatif bermakna ini akan mendapat balasan setimpal dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel