A+ A A-

Negara dukung hak asasi manusia sejagat berlandaskan ajaran Islam

241216 HALUAN

Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

TERLEBIH dahulu saya sukacita menyampaikan ucapan tahniah kepada tuan rumah pertemuan kita ini, Malaysia - rakyat dan kerajaannya - khasnya Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan seterusnya ucapan rasa penghargaan dan terima kasih atas layanan baik yang sangat menselesakan saya dan delegasi Brunei selama berada di Kuala Lumpur ibu kota Malaysia yang jaya ini.

Alhamdulillah, pertemuan kali ini membawa tema ''Hak Asasi Manusia Dari Prespektif Islam". Masing-masing negara telah membentangkan tema tersebut sebelum menjelang Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Kali Ke-41 diadakan. Saya yakin setiap negara anggota mengakui dan bersepakat bahawa hak asasi manusia menurut ajaran Islam adalah memberikan jaminan yang selayak dan sewajarnya bagi kehidupan yang bermaruah lagi sejahtera. Umat Islam dan lain-lain umat telah menikmati jaminan sedemikian. Adapun kejadian-kejadian yang sebaliknya dalam sejarah silam dan kontemporari sepatutnya bukanlah ukuran yang tepat bahkan apa lagi gambaran yang jitu dan betul mengenai ajaran Islam yang mendasari teori dan amalan yang disebut hak asasi manusia itu. Kejadian yang kontradik dalam sejarah itu adalah di luar rangka ajaran Allah Subhanahu Wata'ala.

Kita menyedari bahawa dari dulu hingga sekarang, kita berhadapan dengan isu hak asasi manusia dalam dua prespektif, iaitu Islam dan antarabangsa. Dalam waktu yang sama kita sering mengemukakan bahawa nilai-nilai universal yang mendasari hak asasi manusia itu adalah sesuai dan dapat diterima selama ianya tidak berlawanan dengan nilai-nilai murni ajaran Islam.

Oleh itu, apapun perbezaan antara kedua-dua perspektif hendaknya difahami dalam kontek latar belakang tamadun manusia yang kita umat Islam dituntut untuk menghargakannya sebagai sebahagian hikmah Allah menjadikan manusia, dijadikan berpuak-puak dan berbangsa-bangsa untuk saling mengenal lita'arafu, saling mengaprisasi bukan saling membenci seperti firman Allah :

Tafsirnya :
''Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.'' (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Dalam kontek inilah kita tetap akan meyakini keunggulan nilai-nilai yang mendukung hak asasi manusia sejagat dan tentu saja nilai-nilai ajaran Islam adalah menyumbangkan kepadanya dan sebahagian daripadanya.

Saya berharap, kertas-kertas tema yang dibentangkan dapat didokumentasikan untuk dijadikan sebagai bahan rujukan dan dikongsikan kepada umum dan tentu saja akan ianya merupakan sumbangan MABIMS kepada umum dan secara tidak langsung dapat membarigakan adanya dan semangat kerjasama dan kesepakatan serantau. Saya berpandangan cadangan ini bolehlah dijadikan sebagai salah satu strategik MABIMS memperkasa kehidupan berugama yang harmonis di rantau kita khasnya.

Kesempatan ini juga, saya berharap bidang kerjasama bagi period 2017 / 2021 dengan format yang baharu yang telah disepakati akan bergerak dengan lebih kemas dan strategik dengan dukungan jawatankuasa-jawatankuasa teknikal yang akan dibentuk. Kita boleh manfaatkan wadah atau instrumen yang sedia tanpa kerap melakukan pertemuan bersemuka lebih-lebih lagi pertukaran maklumat di kalangan jawatankuasa antara satu dengan yang lain.

Kita berdoa semoga pertemuan ini akan mendapat petunjuk dari Allah Subhanahu Wata'ala dan memandu kita dengan membuahkan hasil yang dapat dimanfaat bersama. Sebagai penyeri sidang, saya hiasi dengan seloka pantun

Sidang MABIMS kita berhimpun
Cambah Fikiran Bertukar Kata
Kepada Allah Kita Memohon
Azam Tawakal Pegangan Kita

Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum Warahamatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel