A+ A A-

Jadikan kawasan Bandaran pusat aktiviti perniagaan yang mantap

12 28 2016 PelitaBrunei PB 28 DISEMBER 2016 Pelita2 01

 

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua kita semua dapat hadir di Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Ahli-Ahli Lembaga Bandaran pada pagi yang mulia ini.

Majlis pada pagi ini adalah perjumpaan kali pertama yang kita adakan bersama dengan Ahli-Ahli Lembaga Bandaran bagi ketiga-tiga daerah yang dilantik bagi Tahun 2016, iaitu bermula dari 1 Ogos 2016 hingga 31 Ogos 2017. Dalam kesempatan ini, saya sukacita mengalu-alukan dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas pelantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Bandaran bagi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Belait dan Seria dan Tutong.

Kepada ahli-ahli Lembaga tahun 2015, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah mereka berikan. Saya juga sukacita mengucapkan tahniah kepada Awang Ridzuan bin Haji Ahmad, Pengerusi Lembaga Belait dan Seria dan Awang Haji Azmi bin Haji Rahim, Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong di atas kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengurniakan lantikan sebagai Pengerusi Bandaran.

Lantikan Ahli-Ahli Lembaga Bandaran adalah terdiri dari pemikir-pemikir dari kalangan rasmi mewakili agensi-agensi kerajaan dan beberapa individu dengan latar belakang dan pengalaman masing-masing yang diharap dapat menyumbang kepada permesyuaratan Lembaga Bandaran.

Saya juga ingin merekodkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Lembaga Bandaran di atas nasihat, sumbangan idea, dan pandangan yang telah diberikan dalam tahun 2015.

Tidak dinafikan bahawa pandangan, idea dan pemerhatian berkenaan banyak menyumbang kepada meningkatkan lagi wajah Lembaga Bandaran khasnya dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan kepada orang ramai.

Apa diharapkan Ahli-Ahli Lembaga Bandaran yang dilantik akan dapat memikul dan melaksanakan amanah dan kerpercayaan yang diberikan khususnya dalam menyumbangkan buah fikiran, idea-idea yang bernas dan konstruktif dalam membantu dan mendukung tugas dan peranan Lembaga Bandaran dalam merancang dan melaksanakan apa jua program, aktiviti ataupun projek yang dapat meningkatkan kemajuan serta pembangunan kawasan perbandaran masing-masing bukan sahaja dari aspek infrastruktur atau fizikal tetapi lebih penting ke arah kesejahteraan, keharmonian dan peningkatan taraf kualiti kehidupan warga perbandaran khususnya dan rakyat dan penduduk negara ini amnya.

Tugas dan tanggungjawab Ahli-Ahli Lembaga Bandaran adalah berat dan besar.

Namun sesuatu yang berat apabila digalas bersama, difikirkan dan dimuzakarahkan, InsyaaAllah akan menjadi ringan. Begitu pun juga dengan harapan. Harapan kerajaan dan orang ramai adalah juga tinggi.

Kita mengharapkan dengan komposisi Ahli-Ahli Lembaga Bandaran dari berbagai latar belakang, pengalaman dan sektor, kita menaruh harapan dan percaya Ahli-Ahli mempunyai kebolehan dan kewibawaan untuk bersama-sama menjana atau mencambah pemikiran dalam membincangkan perkaraperkara atau isu-isu yang lebih strategik yang meliputi bidang ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk setempat dan selari dengan usaha negara ke arah mencapai Wawasan 2035.

lnilah sebenarnya harapan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah pun disampaikan bersama dengan surat lantikan Ahli-Ahli Lembaga Bandaran 2016.

Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui'zzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam pelantikan Pengerusi- Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Bandaran bagi ketiga-tiga Lembaga Bandaran, iaitu Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan;
Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria; dan Lembaga Bandaran Tutong bagi tahun 2016, bertitah supaya Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) hendaklah memastikan setiap Lembaga Bandaran untuk mengambil tindakan-tindakan perlu terhadap perkara-perkara seperti berikut :-

i. Meneliti inisiatif-inisiatif bersesuaian dan perlu untuk menjadikan kawasan Bandaran sebagai salah satu pusat aktiviti perniagaan yang benar-benar mantap yang dapat meningkatkan sumbangan kepada hasil perekonomian negara. Prasarana-prasarana yang disediakan hendaklah dipastikan dalam keadaan memuaskan, termasuk dalam memastikan kebersihan kawasan-kawasan Bandaran, di samping memudah cara perjalanan lalu lintas, kemudahan-kemudahan bagi pengangkutan awam, serta keperluan pejalan-pejalan kaki (foot traffic) yang mana kesemua ini adalah merupakan faktor penting dalam mendukung aktiviti perniagaan bagi kawasan bandaran; dan

ii. Setiap Lembaga Bandaran hendaklah membuat kutipan hasil yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, seperti Cukai Bangunan, Bayaran Letak Kereta, Sewa Petak Penjaja atau Bangku Pasar dan sebagainya. Setiap hasil Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dipertanggungjawabkan hendaklah dikutip pada waktunya, dan usaha-usaha perlulah diambil bagi mengurangkan tunggakan-tunggakan hasil Kerajaan baginda yang nampaknya terus meningkat dari tahun ke setahun.

Sebelum ini, baginda juga telah bertitah bahawa, di samping usaha Lembaga Bandaran mencapai misi dan visinya, telah tiba masanya supaya Lembaga-Lembaga Bandaran di negara ini juga menumpukan perbincangan kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan sektor swasta, khususnya Perniagaan Kecil dan Sederhana (SMEs), penjimatan (cost savings), penambahbaikan proses-proses perkhidmatan kerajaan dan juga inisiatif ke arah penjanaan hasil pendapatan kerajaan (revenue generation).

Di samping itu, juga apa jua cadangan daripada Ahli-Ahli Lembaga terutamanya di dalam usaha meningkatkan sosio-ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, hendaklah juga mengambil kira cost-benefit analysis supaya ianya dapat dinilai dengan lebih objektif.

Di samping perkara-perkara utama yang saya nyatakan tadi, Lembaga Bandaran hendaklah memfokus perhatian kepada isu-isu yang sentiasa dibangkitkan dari semasa ke semasa.

ISU KEBERSIHAN

Mengenai isu kebersihan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan sering kali menitahkan supaya KHEDN mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan lagi tahap kebersihan di kawasan-kawasan Bandaran, termasuk dengan mengambil tindakan-tindakan bersesuaian terhadap pemillik-pemilik premis, sama ada premis-premis komersil atau kediaman, yang gagal memelihara kebersihan di kawasan masing-masing; dan usaha-usaha menangani kebersihan di kawasan masing-masing; dan usaha-uasaha menangani kebersihan juga perlulah turut dilaratkan kepada bangunanbangunan pasar yang terdapat di setiap Daerah dan persekitarannya. Langkah ini perlu agar sikap mementingkan kebersihan akan terus dipupuk dan dibudayakan dalam masyarakat negara ini di semua peringkat. Dalam pada itu, masalah pembuangan sampah ini jelas memperlihatkan kelemahan pihak-pihak tertentu dalam menguatkuasakan undang-undang yang ada dan juga kurangnya penyelarasan pihak-pihak yang berkenaan dalam Kerajaan baginda bagi menangani isu pembuangan sampah ini dengan berkesan.

Sehubungan ini, kita di negara ini mempunyai beberapa Akta di bawah Lembaga Bandaran dan agensi-agensi kerajaan yang lain yang bertanggungiawab terhadap kebersihan. saya menghargai akan inisiatif bersepadu di antara Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan dan KHEDN dalam usaha untuk menangani isu kebersihan ini. Kita bersyukur dan mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Induk Isu Kebersihan yang telah dibentuk yang berperanan untuk menyediakan dasar dan strategi bagi pelaksanaan usaha-usaha mempertingkatkan tahap kebersihan, kehijauan dan persekitaran awam untuk ditangani secara holistik.

Dalam usaha supaya pengurusan operasi Jabatan-Jabatan Bandaran dengan orang ramai lebih berkesan dan menjurus kepada aspek Kebersihan, Keselamatan, Keindahan dan Kesejahteraan, kita memerlukan kerjasama agensi-agensi Kerajaan dan individu dalam Lembaga Bandaran untuk mengambil perhatian serius mengenai isu kebersihan.

Kita perlu menguatkuasakan undang-undang dan mengambil tindakan kepada mereka yang melanggar undang-undang. Sekiranya perundangan masa ini belum begitu kukuh, dan memerlukan pindaan, Lembaga Bandaran hendaklah meneliti perundangan tersebut dan menghadapkan cadangan penyelarasan ataupun pindaan.

Adalah jelas bahawa isu-isu yang disebutkan tadi perlu diambil perhatian bersama dan seterusnya untuk difikirkan langkah-langkah atau cara-cara untuk menanganinya atau mengatasinya. Secara kesimpulannya dengan adanya lantikan Ahli-Ahli Lembaga akan dapat sama-sama memikirkan kaedah-kaeadah atau penambahbaikan dari segi tatacara dan amalan dalam membantu mengurangkan apa jua kelemahan dan kekurangan yang ada dan seterusnya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan Lembaga-lembaga Bandaran termasuk memperkenalkan perkhidmatanperkhidmatan awam baru kepada orang ramai sesuai dengan perkembangan semasa. Dalam pada itu, apa jua perancangan kemajuan dan pembangunan yang melibatkan kebajikan serta kesejahteraan orang ramai hendaklah dibuat dengan seberapa terperinci dan waspada agar semua kepentingan-kepentingan bagi semua pihak terjaga.

KHEDN memerlukan setiap Lembaga Bandaran untuk bersikap proaktif dalam melaksanakan dasar kerajaan, menilai keberhasilan setiap projek mengikut kaedah delivery approach dan dipantau keberhasilannya mengikut sistem traffic lights. Di kesempatan ini, ingin saya memaklumkan mengenai penubuhan 'Office of Strategic Management' ringkasnya OSM di KHEDN yang antara lainnya bertanggungjawab untuk membantu setiap Jabatan di KHEDN memantau projek / tugasan mencapai targetnya. Ini adalah peluang terbaik bagi Pengerusi-Pengerusi Lembaga
Bandaran untuk meneliti semula setiap projek dan usaha-usaha untuk meningkatkan ekonomi dan infrastruktur supaya masyarakat dan ekonomi di kawasan perbandaran masing-masing dapat menikmati tahap kesejahteraan yang tinggi sebanding dengan negara-negara maju. Perlu juga bagi Lembaga-Lembaga Bandaran meneliti peraturan-peraturan, amalan-amalan dan proses kerja Jabatan-Jabatan Bandaran terhadap kesesuaiannya dengan kehendak dan keperluan 'pengguna' masa kini, serta mengambilkira kepada perubahan-perubahan persekitaran serantau dan antarabangsa, sesuai disandarkan dan dibuat perbandingan amalan-amalan terbaik (best practices) negara-negara membangun.

Akhirnya saya sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas lantikan Ahli-Ahli Lembaga Bandaran yang baru dilantik ataupun yang dilantik semula. Juga tidak lupa saya sukacita ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan-mantan Ahli-Ahli Lembaga Bandaran pada tahun yang lalu, di atas apa jua sumbangan yang diberikan dan semoga diredai dan mendapat balasan daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel