A+ A A-

PKBN program strategik nasional terunggul, cemerlang

12 31 2016 PelitaBrunei PB 31 DISEMBER 2016 Pelita2 HALUAN

 

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH dengan izin dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala, kita dapat berkumpul di Dewan Serbaguna Kem Latihan PKBN yang baharu dan indah ini bagi Majlis Pelancaran Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan Keenam.

Kita bersyukur Pengambilan Keenam ini telah menempa sejarah dengan penampilan 359 orang belia terdiri dari 281 orang lelaki dan 78 orang perempuan untuk mengikuti latihan, merupakan yang terbesar dan mengatasi pengambilan-pengambilan yang terdahulu.

Ini adalah satu pencapaian dan petanda baik. Bermakna program ini terus menerima sambutan yang menggalakkan dan berjaya mencapai objektif ianya diperkenalkan. Ini adalah sejarah telah juga diukir bilamana Kem Latihan PKBN yang baharu dan lengkap serba moden ini mula digunakan oleh Pengambilan Ke-6 ini, iaitu bersukut baik bulan kelahiran Rasul dan Pemimpin Agung Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bulan Rabiulawal. Kem ini juga dengan kedudukan strategiknya di Mukim Batu Apoi ini menjadi mercu tanda baharu di Daerah Temburong.

Terbina dan kewujudan Kem Latihan PKBN yang baharu tersergam ini adalah sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddinWaddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui titah baginda semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan Pertama Tahun 2013 yang antara lain baginda bertitah menekankan - ''Dalam melaksana program ini, perlulah dipastikan kurikulumnya, infrastruktur, kesesuaian jurulatih dan penyelia serta peralatannya. Semua itu biarlah yang terbaik, sempurna dan terjamin selamat.''

Ianya juga jelas membuktikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan baginda secara terus menerus memberikan keutamaan terhadap Latihan Pembangunan Belia khususnya PKBN ini. Alhamdulillah, PKBN telah berjaya mengorak langkah dengan lebih jauh dan meyakinkan dalam mengukuh dan mempertingkatkan imej serta kedudukannya sebagai program strategik nasional yang terunggul dan cemerlang melahirkan belia dan beliawanis yang dinamik dan patriotik dan bertanggungjawab.

Selain menjadi mercu tanda baharu menaikkan profil Daerah Temburong, dalam tempoh jangka masa yang panjang, kita yakin kewujudan Kem Latihan ini akan dapat membantu dalam menjana pelbagai aktiviti perekonomian rakyat dan penduduk Daerah Temburong dan secara tidak langsung akan dapat membantu usaha meningkatkan sosio ekonomi masyarakat dan Daerah Temburong. Lebih bermakna dan potensi tinggi lagi apabila jambatan yang akan menghubungkan Daerah Brunei / Muara dan Daerah Temburong, insyaaAllah yang pada masa ini sudah dalam pembinaan, siap nanti.

Alhamdulillah, tahniah dan syabas peramba / saya ucapkan khususnya kepada 359 pelatih yang akan menjalani latihan selama 100 hari ini dan juga kepada para ibu bapa dan penjaga amnya. Abiskita telah menyahut seruan dan cabaran untuk melakukan transformasi diri dan memanfaatkan masa muda abiskita dengan menyertai program ini sesuai dengan seruan Tema Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini, iaitu ''Belia Berwawasan Pemangkin Transformasi''.

Latihan-latihan dan pengalaman yang dilalui nanti merupakan satu bentuk penghijrahan diri yang memerlukan kerja keras dan pengorbanan. Melalui latihan yang padat dan jitu ini, insyaaAllah akan dapat membentuk pelatih-pelatih menjadi belia dan beliawanis dikehendaki negara tercinta, iaitu belia / beliawanis yang berjiwa kental, berjiwa besar dan berakhlak mulia, iaitu memiliki nilai-nilai iman dan ihsan. Selaku lepasan program ini, Awang / Dayang juga nanti diharap akan menjadi role model / penyuntik semangat para belia dan beliawanis yang lain di luar sana di dalam sama-sama menyokong dan menjayakan hasrat kerajaan menuju Wawasan Brunei 2035 melalui pengukuhan jati diri, berdaya saing, bijak dan kreatif sesuai dengan moto PKBN ''Bersedia Berkhidmat Berbakti''.

Dalam tempoh tiga bulan ini para pelatih akan didekatkan dan ditanamkan dengan ilmu dan pendedahan latihan fizikal, pembentukan karakter, kenegaraan dan khidmat komuniti melalui modul-modul program yang telah dipertingkatkan dan diperbaiki semenjak dari pengambilan pertama dengan mengutamakan penerapan konsep Melayu Islam Beraja. Selain itu dan lebih penting, antara objektif program ini adalah untuk menambah pengetahuan dan pengalaman pelatih-pelatih di samping berpeluang mengeratkan semangat berpasukan yang tinggi dan kemantapan semangat patriotism dan kesetiaan kepada raja, ugama dan negara juga tuntutan Wasawan Brunei 2035.

Kejayaan adalah melalui PKBN masa lalu dan mendatang, sokongan dan dukungan daripada pelbagai pihak terutamanya pihak ibu bapa. Sokongan dan dorongan moral daripada ibu bapa dalam memastikan para pelatih sentiasa bersemangat, berdaya tahan dalam tempoh 100 hari ini hingga berjaya menamatkan latihan adalah elemen penting kejayaan pelatih dan program.

Kerajaan menghargai peranan penting ibu bapa dalam memastikan keberkesanan program ini. Kerajaan dan pihak berwajib / berkepentingan juga menyedari bukanlah satu perkara mudah bagi ibu bapa untuk melepaskan anak-anak mereka bagi menyertai program ini. Lantaran itulah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui PKBN sangat menyanjung tinggi atas kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa dalam melatih dan mendidik anak-anak mereka dalam PKBN ini.

Di atas kepercayaan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui PKBN telah menyediakan modul-modul pembangunan modal insan yang berasaskan kepada nilai-nilai murni konsep negara Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.

Sebelum mengakhiri ucapan, peramba / saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelatih yang mengikuti Program PKBN dalam pengambilan keenam ini dan juga kepada ibu bapa dan penjaga mereka. Sebagai peringatan ulangan saya terus menyeru pelatih-pelatih untuk memanfaatkan peluang keemasan dan bernilai ini untuk menimba ilmu dan kemahiran-kemahiran yang ada di dalam PKBN ini. Semoga usaha-usaha dan komitmen-komitmen yang diberikan tanpa mengenal erti lelah dan kecewa itu akan membuahkan hasil yang diharapkan, iaitu ke arah mengukuhkan jati diri rohani dan jasmani masing-masing seterusnya menjadi warganegara yang cemerlang dan berkualiti yang dihasratkan di dalamWawasan Negara 2035.

Peramba / saya juga tidak lupa merakamkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat, para penyelia, jurulatih, tenaga pengajar dan pengendali program ini di atas kerjasama, kesungguhan dan ketabahan biskita dalam membimbing, mengajar dan menjaga keselamatan dan kesejahteraan para pelatih ini nanti. Seraya megingatkan 'keselamatan dan kesejahteraan pelatih-pelatih hendaklah sentiasa diberikan keutamaan' dengan mematuhi SOP-SOP dan juga Prosedur Keselamatan Latihan.

Peramba / saya mengingatkan juru-jurulatih adalah contoh ikutan yang terbaik yang akan menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan, pengalaman, kepakaran dan kepimpinan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dengan bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala melafazkan kalimah Agong Bismillahir Rahmanir Rahim dan berselawat ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, peramba / saya sukacita melancarkan Program Khidmat Dengan Bakti Negara Pengambilan Keenam Tahun 2016 - 2017.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah,Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel