A+ A A-

141116 HALUAN

Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

PERTAMA sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MC Biotech Sendirian Berhad, kerana mengundang saya hari ini sebagai tetamu kehormat, dan terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada MC Biotech atas majlis perasmian projek ini di Brunei Darussalam.

Sejak penubuhan pejabat Mitsubishi Corporation di Brunei pada tahun 1971, Mitsubishi Corporation dan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menikmati hubungan perniagaan yang rapat selama bertahun-tahun bermula dari penubuhan BLNG, sehingga kepada sumbangan lain yang ketara seperti Tenaga Suria Brunei dan McFarm.

Hari ini, kita menyaksikan satu lagi peristiwa penting dengan pembukaan MC Biotech dan Sinar Suria Bio Center yang terletak di Koridor Bio-Innovation, iaitu sebuah taman perindustrian bertujuan untuk menarik pelaburan halal dan bio-industri. Ini merupakan langkah pertama Negara Brunei Darussalam ke arah mengembangkan industri bioteknologi. Peluang yang diberikan kepada negara ini ialah ia membolehkan kita untuk memanfaatkan industri tersebut dengan cara baru yang lebih mampan. Kami berharap Inovasi Bio-Corridor akan meningkat pada tahun-tahun akan datang menjadi bio-industri yang berdaya maju dan berkembang.

Alhamdulilah, MC Biotech adalah perintis dalam penanaman mikro-alga untuk pengekstrakan Astaxanthin di Negara Brunei Darussalam. Astaxanthin bukan sahaja terkenal dengan penggunaan meluas sebagai bahan pewarna semula jadi untuk makanan, tetapi juga untuk antioksidan dan faedah kesihatan.

Pada tahun 2014, nilai pasaran global bagi astaxanthin (AS-TEH-ZEN-THIN) dianggarkan berjumlah $447 juta dolar Amerika dan dijangka akan meningkat kepada $1.1 bilion dolar Amerika pada tahun 2020. Pastinya memberikan peluang besar kepada MC Biotech untuk memanfaatkan pertumbuhan ini.

Seperti yang kita tahu, pensijilan Halal Brunei mempunyai standard halal yang paling ketat dan boleh dipercayai di dunia. Saya faham bahawa pada masa ini, MC Biotech masih dalam proses penyelidikan dan membangunkan proses pengeluaran alternatif bagi mematuhi piawaian tersebut. Oleh itu, MC Biotech perlu bekerja rapat dengan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan untuk mencapai matlamat ini.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa menurut laporan Thomas Reuters, nilai sektor farmaseutikal Halal global ialah AS $72 bilion. Oleh itu, peluang sentiasa terbuka dalam sektor ini. Brunei Darussalam mahu muncul sebagai pengeluar farmaseutikal halal terkemuka dan pengeksport di ASEAN dan akhirnya seluruh dunia. Dengan pensijilan dan penjenamaan Halal Brunei, kita berpeluang melakukan lebih banyak. Di sini saya mencadangkan MC Biotech untuk bekerja dengan Simpor Pharma, kilang farmaseutikal pertama Brunei, untuk mencari peluangpeluang yang membawa kepada pengeksportan farmaseutikal dan makanan tambahan kesihatan halal dari Brunei Darussalam ke seluruh dunia.

Kemudahan MC Biotech adalah contoh yang baik daripada pelaburan langsung asing di Brunei, yang telah membuahkan hasil selepas banyak penyelidikan dan usaha sama antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan MC Biotech. Saya amat gembira dan berbangga mengetahui bahawa dengan kemudahan ini, ia akan menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi Brunei dan menjana peluang pembangunan perniagaan dan pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Dalam hal ini, Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa sudah ada 25 orang pekerja anak tempatan di MC Biotech. Ini adalah amat membanggakan dan saya berharap satu hari nanti 100 peratus peluang pekerjaan di dalam syarikat ini diisi oleh anak tempatan kita InsyaaAllah.

Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa kita perlu bekerja lebih keras untuk menjadikan Brunei destinasi pelaburan yang menarik. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda semasa Majlis Mesyuarat Negara pada awal tahun ini menekankan keperluan bagi memperkasakan sektor swasta. Baginda juga menegaskan dan menggesa untuk keperluan bagi memudahkan aktiviti ekonomi kita dengan memperkemas dan meningkatkan proses pelaburan langsung asing dan juga untuk meningkatkan 'Ease of Doing Business' di negara ini.

Apa yang kita perlu adalah pelaburan langsung asing (FDI), yang mampu mencipta produk dan perkhidmatan untuk tambah nilai di Brunei Darussalam, dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSMEs) tempatan. Kami menjemput FDI dari seluruh rantaian bekalan bagi mengukuhkan rantaian nilai dalam negara dan ekosistem industri. Yang kita perlukan adalah FDI yang boleh bekerja lebih jauh bagi memastikan bahawa kebanyakan bio pemprosesan itu dijalankan di Negara Brunei Darussalam. Ini membolehkan, seterusnya, mewujudkan dan menjana modal, kemanfaatan tambahan di pasaran tempatan serta menjana peluang pekerjaan yang akhirnya mempelbagaikan dan meningkatkan ekonomi Brunei. Kami menggesa MC Biotech untuk bekerjasama dengan kami untuk menjadi FDI yang akan menambah nilai kepada rakyat Negara Brunei Darussalam dan komuniti perniagaan tempatan.

Dengan itu, saya ingin mengakhiri ucapan saya dan sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Mitsubishi Corporation dan MC Biotech dan kepada semua yang telah menyumbang kepada penubuhan pusat itu. Ia merupakan satu bukti bagi kerjasama erat antara semua pihak. Marilah kita terus berusaha dan bekerjasama untuk memastikan kejayaan projek ini. Saya berdoa dan memberi sokongan penuh untuk kejayaan MC Biotech dan pembangunan bio-industri di Brunei Darussalam.

Wabillahi taufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel