A+ A A-

HALUAN EDISI ISNIN 19092016 BICTA  merangsang inovasi  ICT bercalak keBruneian

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

MENGADAP ke hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan.

Dengan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan dengan penuh hormat serta takzim, hamba Duli Tuanku dan mewakili ahli-ahli jawatankuasa, menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas kurnia perkenan Duli Tuanku untuk berangkat dan seterusnya menyempurnakan Anugerah BICTA 2016.

Sesungguhnya keberangkatan Duli Tuanku ke majlis ini merupakan satu penghormatan yang sangat tinggi dan satu suntikan semangat bagi abis hamba Duli Tuanku untuk meneruskan usaha berkebajikan ke arah meningkatkan lagi bakat dalam penghasilan daya cipta ICT yang berinovasi dan kreatif.

Perkembangan ICT terus memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat yang berilmu.

Sebagai satu sektor ekonomi, ianya mampu untuk menjana peluang pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan pendapatan negara serta merapatkan jurang perbezaan masyarakat.

Teknologi dan keupayaan ICT dalam memperkasa daya cipta manusia terus memberangsangkan dan keadaan ini dijangka akan berterusan dalam jangka masa yang panjang terutama dengan adanya perkembangan terbaharu seperti, internet of things, big data, cloud computing, mobile computing dan sebagainya.

Perkembangan ini, satu demi satu, juga bakal membuka lebih luas prospek evolusi teknologi ICT di masa akan datang.

Kenyataan ini juga merupakan cabaran dan menimbulkan suasana persaingan yang sengit terutama kepada negara-negara yang sedang membangun.

Untuk maju kita masih lebih suka memilih jalan singkat dengan mengambil idea-idea atau solutions yang didatangkan dari luar khususnya dari negara membangun, atas tanggapan bahawa solutions yang diberikan adalah lebih canggih, comprehensive dan sophisticated.

IT literacy di peringkat dewasa di negara ini juga terus meningkat ke tahap yang sangat memuaskan, iaitu sebanyak 95 peratus.

Kedayatahanan ekonomi banyak bergantung kepada daya cipta, lebih-lebih lagi jika daya cipta itu dapat menembusi pasaran luar negara sebagai mata pencarian.

Kreativiti dan inovasi juga tidak akan lahir sendirinya dengan tiba-tiba, tanpa ada inspirasi, keupayaan, penyelidikan dan juga galakan oleh pihak-pihak tertentu.

Justeru itu, Kementerian Perhubungan akan terus dipandu oleh faktor-faktor berkenaan dalam menjana daya saing dengan memberi penekanan kepada penanaman modal insan demi menggalakkan rakyat dan penduduk di negara ini untuk terus menceburi bidang daya cipta, kreativiti dan inovasi dalam ICT.

Mengikut laporan dari International Telecommunication Union, Negara Brunei Darussalam berada di tangga 71 daripada 167 buah negara di dalam ICT Development Index 2015. Walau bagaimanapun, mengikut Global Innovation Index 2014, yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organisation, Negara Brunei Darussalam masih berada di tangga 88 dari 143 negara.

Ini bermakna masih banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk bersaing dengan negara lain terutama dari aspek ICT readiness, access to internet, penggunaan dan kemahiran serta untuk terus memberi perhatian kepada aspek kreativiti dan inovasi.

Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu sokongan sepadu daripada semua pihak khususnya agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta selaras dengan hasrat menjadikan Wawasan 2035 sebagai satu kenyataan.

Kementerian Perhubungan juga sedang meneliti dasar pemberian Perlindungan Hak Cipta atau Intellectual Property Rights kepada hasil-hasil inovasi yang memiliki nilai komersial.

Strategi ini bertujuan untuk menggalakkan penyelidikan dan penjanaan idea-idea baharu serta memanfaatkan keupayaan modal insan untuk merangsang kreativiti dan reka cipta melalui kolaborasi dengan penyedia-penyedia teknologi yang terkemuka.

Dengan demikian, insyaaAllah, BICTA akan berperanan sebagai satu institusi untuk mengasah potensi, merangsang inovasi dan mengiktiraf ciptaan aplikasi dan solutions ICT yang bercalak keBruneian untuk memacu kemajuan industri ICT tempatan bagi memberikan sumbangan yang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan adanya kreativiti dan inovasi, sektor ICT mampu menjadi jentera penggerak pembangunan ke tahap ekonomi yang dinamik, mampan dan berdaya tahan.

Alhamdulillah, BICTA sejauh ini terus menerima sambutan yang baik dengan jumlah penyertaan yang sangat menggalakkan dari para penuntut dan institusi pengajian tinggi.

Begitu juga dari syarikat-syarikat ICT, terutama di kalangan start-ups, yang terus memberi komitmen melalui penyertaan yang konsisten setiap tahun.

Dengan berinspirasikan Generasi Digital Berwawasan, BICTA 2016 juga menawarkan Anugerah Khas bagi mengiktiraf peserta
yang menyumbang dan menunjukkan potensi tinggi dalam beberapa bidang utama, iaitu Usahawan Harapan, ICT Hijau, Teknologi Baharu dan Pemaju Muda.

Anugerah Khas ini bertujuan untuk menguji keupayaan mereka dalam memanfaatkan perkembangan teknologi terkini.

Atas hasrat ini, pemenang BICTA akan dipilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam untuk bersaing dan memperlihatkan daya cipta mereka di peringkat serantau khususnya di Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards, atau APICTA 2016, yang akan diadakan di Taipei pada bulan Disember 2016.

Alhamdulillah, disembahkan bahawa penyertaan Negara Brunei Darussalam di dalam APICTA sejak 2008, telah mencapai tahap yang membanggakan dengan memenangi dua winning awards dan 17 merit awards. Antara mereka telah berjaya menembusi pasaran serantau seperti MARS Enterprise, Crescent Sdn. Bhd., PHMD Publishing Company, DotRoot Technologies dan SnapFeed Sdn. Bhd.

Sebelum hamba Duli Tuanku berundur diri, hamba Duli Tuanku sekali lagi dengan penuh hormat serta takzim menyembahkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Tuanku ke Majlis Anugerah BICTA 2016.

Hamba Duli Tuanku juga mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Timbalan-Timbalan Menteri, ketua-ketua perwakilan dari negara-negara sahabat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, naib canselor, rektor dan ra'es institusi pengajian tinggi, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan, wakil dari sektor swasta serta sekalian yang hadir.

BICTA 2016 juga tidak akan berjaya tanpa sumbangan kerjasama khususnya daripada pihak AITI, Info-com Federation of Brunei (IFB), panel hakim dan para penceramah bengkel dan semua ahli jawatankuasa kerja.

Hamba Duli Tuanku juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemenang Anugerah BICTA pada pagi ini dan selamat maju jaya ke Pertandingan APICTA selanjutnya nanti.

Sebelum hamba Duli Tuanku berundur diri, hamba Duli Tuanku menyembahkan menjunjung beribu-ribu ampun jika terdapat tutur kata dan suruk langkah yang kurang manis, serta sebarang kekurangan dalam menyusun atur cara keberangkatan Duli Tuanku pada pagi ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu' Alaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel