A+ A A-

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH, segala puji dan syukur hanya untuk Allah Subhanahu Wata'ala yang mengizinkan kehadiran kita semua dalam majlis pada pagi ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa dan mereka yang terlibat mengungkayahkan ekspo dan bengkel yang akan dilancarkan pada hari ini.

Saya mengambil maklum dan amat gembira mengetahui bahawa Ekspo Keusahawanan Pembangunan Pelajar (SEDEx) ini juga akan diadakan di Daerah-Daerah Belait, Tutong dan Temburong pada tarikh yang berlainan dengan penyertaan pelajar-pelajar dari peringkat rendah, menengah dan dari institusi pendidikan teknik. Juga penyertaan dari pelajar-pelajar sekolah swasta dan beberapa syarikat undangan.

Bidang keusahawanan adalah satu bidang yang sering menjadi tajuk penting dalam perbincangan di pelbagai peringkat, kerana itu bidang ini harus diterokai dengan lebih berkeyakinan dan diusahakan supaya dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi dan cemerlang terutamanya dalam sektor produktiviti, bagi membantu menjana perkembangan sosioekonomi negara.

Bidang keusahawanan ini juga amat digalakkan oleh agama Islam untuk diceburi kerana terdapat sebuah hadis yang menerangkan mengenainya yang bermaksud sembilan dari sepuluh rezeki yang diturunkan itu ada dalam perniagaan dan keusahawanan. Walaupun terdapat keutamaannya dari segi pandangan syarak dan keduniaan, namun penglibatan anak-anak muda tempatan secara aktif di bidang ini masih di tahap rendah terutamanya dalam sektor keusahawanan, kepakaran atau bidang-bidang yang berhubung kait dengan teknologi tinggi.

Oleh yang demikian, usaha bagi menggalakkan dan meningkatkan penglibatan dan kemahiran anak-anak muda tempatan dalam bidang keusahawanan mestilah banyak diperkenalkan melalui kegiatan-kegiatan dan projek-projek yang diungkayahkan oleh semua pihak yang berkenaan dalam sektor awam dan swasta atau secara kolaborasi.

Alhamdulillah, saya mengambil maklum setakat ini terdapat beberapa kegiatan dan projek yang telah dilaksanakan pada membantu menggalakkan para usahawan muda ini seperti Programme Young Enterprise Scheme (YES), iaitu Program Usahasama Kementerian Pendidikan dan Syarikat KEMUDA, juga Program Brunei Entrepreneurship Education Scheme (BEES) iaitu anjuran bersama Brunei Shell Petroleum (BSP), Kementerian Pendidikan dan Universiti Brunei Darussalam.

Apa yang perlu diberikan perhatian ialah selari dengan kegiatan dan projek-projek yang diungkayahkan ini ialah tindakan susulan yang komprehensif dan konsisten serta pemantauan yang bersesuaian, kerana untuk memperolehi keberkesanan yang lebih efektif tidak hanya memadai dengan berbekalkan teori-teori atau pengalaman-pengalaman dari kursus-kursus singkat sahaja tetapi memerlukan perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang berstrategik yang berterusan.
Adalah disedari bahawa bidang keusahawanan bukanlah satu bidang yang mudah untuk dikuasai terutama bagi golongan muda yang baru menceburi bidang ini, apatah lagi apabila tiada mempunyai latar belakang keusahawanan maka bidang ini akan dilihat sebagai mempunyai risiko yang tinggi yang akan menjadikan mereka kurang yakin atau tidak berani untuk bergiat lebih aktif. Pun begitu, ini bukan bermakna tidak ada dari kalangan anak-anak muda kita yang bersemangat waja, cekal dan berani untuk menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan ini. Kepada mereka ini kita mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah.

Kita penuh berharap dan menyeru, pihakpihak yang berkepentingan perlu memikirkan cara atau kaedah laluan yang benar-benar efektif untuk membantu anak-anak muda yang berpotensi serta berkemahuan tinggi untuk menceburi bidang keusahawanan. Misalnya, membimbing dan membuat pemantauan secara terperinci untuk jangka masa tertentu bermula dari penerokaan bidang keusahawanan yang akan diceburi, mendapatkan bantuan kewangan, mendapatkan sumber bahan atau peralatan, strategi pemasaran dan lain-lain.

Kaedah ini akan dapat mengangkat kumpulan berkenaan sebagai usahawan baru yang berwibawa dan berwawasan, walaupun kecil jumlahnya, tetapi ia adalah lebih baik dari tidak ada langsung dalam satu jangka masa yang tertentu.

Bagi pelajar-pelajar pula, pendedahan awal yang lebih berstruktur dan bersistematik mengikut perkembangan mental dan fizikal mereka adalah sangat mustahak untuk diadakan demi menanamkam minat yang mendalam di bidang ini. Dalam masa yang sama / terdapat juga anak-anak muda yang telah menunjukkan kemajuan dalam dunia keusahawanan ini terutama mereka yang berasal dari kalangan keluarga yang mempunyai latar belakang bidang perniagaan dan keusahawanan di mana minat serta kecenderungan mereka sudah tertanam sejak awal lagi.

Oleh itu, saya berkeyakinan bahawa projek yang dilancarkan pada hari ini, adalah satu usaha yang sangat baik terutama dari segi meningkatkan semangat dan keinginan pelajar untuk terus maju dalam bidang-bidang yang diikuti serta memperbaiki daya kreativiti, pemikiran serta menanamkan sifat menghargai dan minat terhadap dunia keusahawanan. Selanjutnya adalah lebih baik juga ia dikuti oleh tindakan-tindakan susulan yang mampu untuk memberi kesan yang signifikan kepada pelajar-pelajar kita.
Pada hemat saya sudah tiba masanya kita melihat bidang keusahawan ini dari perspektif yang lebih positif kerana kebanyakan orang-orang kita yang berkecimpung dalam bidang ini menjadikannya hanya untuk menghasilkan pendapatan sampingan dan secara kecil-kecilan. Oleh itu, kefahaman yang jelas dan telus perlu diberikan di mana bidang ini sepatutnya akan dijadikan sumber pendapatan yang lebih reliable, bersekala besar dan dapat menjamin kehidupan di masa hadapan, sebagai mana yang dapat kita saksikan terjadi pada kebanyakan pengusaha-pengusaha yang berjaya di sekeliling kita.

Saya menyeru supaya semua pihak yang terlibat dan yang berkepentingan akan dapat sama-sama memberikan perhatian dan bantuan sewajarnya demi perkembangan bidang keusahawan dan perniagaan.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sukacita mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengerusi dan semua ahli jawatankuasa yang terlibat dengan kedua-dua projek ini, atas ingatan baik menjemput saya hadir dan memberikan penghormatan kepada saya untuk melancarkan ekspo dan bengkel sempena Hari Guru tahun 2012.

Akhirnya, dengan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan mendahulukan kalimah tayyibah Bismillahir Rahmannir Rahim, selawat serta salam ke atas Jujungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan rasminya melancarkan 'Ekspo Peusahawanan Pembangunan Pelajar' (SEDEx) Sempena Sambutan Hari Guru 20l2 dan 'Bengkel Entrepreneurial Leadership For Educators Programme' (ELEP).

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel