A+ A A-

HALUAN RABU 20072016 Penyertaan ke SUKMA platform bagi kecemerlangan sukan

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

BERSYUKUR kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan izin dan rahmat-Nya jua kita dapat berkumpul di hari Khamis, 9 Syawal ini bagi Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Kontinjen Negara ke Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 yang akan berlangsung di Kuching, Miri, Sibu, Sarawak minggu depan.

Di kesempatan awal ini, peramba / saya bagi pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta kontinjen Negara Brunei Darussalam menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas limpah kurnia perkenan baginda bagi negara kita menyertai SUKMA Ke-18 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak bermula 22 hingga 31 Julai 2016.

Dengan kesegaran udara Syawal masih kita nikmati peramba / saya juga mengambil kesempatan istimewa ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Peramba / saya seterusnya sukacita mengucapkan tahniah dan syabas kepada 32 orang atlet yang berjaya terpilih bagi mewakili negara ke SUKMA Ke-18 yang mana prestasi dan pencapaian para atlet telah diteliti dan disokong oleh Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan mengikut kriteria-kriteria utama dan garis pandu yang telah ditetapkan. Sekalung penghargaan diberikan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Penilaian Pemilihan Atlet Kebangsaan ini di atas keprihatinan dan kegigihan itu.

Penyertaan negara ke Sukan SUKMA yang bermula pada tahun 1996 merupakan satu platform bagi para belia kita yang berumur 21 tahun ke bawah, bukan hanya untuk mencungkil bakat dan pendedahan, akan tetapi untuk mencapai kecemerlangan berdasarkan umur. Di samping itu, penyertaan ke kejohanan tersebut juga dapat terus memupuk hubungan kerjasama dan mengeratkan tali silaturahim para belia kita dengan belia-belia negara jiran kita, Malaysia.

Dengan adanya persiapan dan perancangan yang rapi di bawah bimbingan jurulatih-jurulatih yang telah dilantik serta dengan iringan doa dari kita semua dan ibu bapa serta penjaga-penjaga, peramba / saya yakin atlet-atlet negara dengan semangat kesukanan yang tinggi akan bersedia untuk memberikan saingan yang hebat kepada atlet-atlet yang lain di kejohanan ini.

Di kesempatan ini, peramba / saya ingin menyampaikan pesanan ulangan yang penting, iaitu para atlet perlu menjaga disiplin dan kondisi masing-masing sebelum dan semasa kejohanan khususnya dari aspek pemakanan dan waktu rehat. Atlet perlu fokus dan mempunyai mindset yang betul, baik dan positif, di samping mempunyai semangat juang dan keyakinan yang tinggi untuk meraih kemenangan dan memungut sebarang pingat dan berbangga menaiki dan berdiri di atas podium.

Para jurulatih dan pegawai-pegawai sukan kontinjen juga perlu mendukung dan memberikan komitmen yang tinggi dalam memberikan khidmat masing-masing ke arah mencapai objektif negara, iaitu memecahkan rekod pencapaian negara di Sukan SUKMA yang lepas dan sekali gus memecahkan rekod peribadi sukan masing-masing.

Peramba / saya ingin berpesan kepada semua atlet dalam sama-sama mengukuhkan lagi tali silaturahim di kalangan para peserta negeri-negeri yang mengambil bahagian untuk sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama baik dan imej Negara Brunei Darussalam yang rakyat dan penduduknya terbilang kaya dengan hidup berbudi pekerti dan tingkah laku mulia dan terpuji sesuai dengan status abiskita sebagai tetamu dan peserta dari Negara Brunei Darussalam yang diundang ke sukan berprestij ini.

Para atlet juga diperingatkan untuk mengelakkan diri dari mencuba atau menggunakan bahan-bahan atau ubat-ubat yang tidak dikenal pasti. Pengesahan dari pakar doktor sukan hendaklah terlebih dahulu diperolehi. Para atlet hendaklah sentiasa patuh dengan arahan Chef de Mission, pengurus dan jurulatih masing-masing dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pegawai-pegawai kontinjen bagi mengelakkan dari perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Perlu diingat tujuan para atlet dipilih ke Sukan SUKMA tersebut adalah semata-mata untuk mencapai kejayaan dan InsyaaAllah akan dapat mengharumkan nama dan negara serta mencipta satu sejarah dalam perkembangan sukan di negara kita dan pencapaian peribadi. Slogan kita 'Brunei Yakin' hendaklah dihayati dan digemakan dengan penuh semangat dan patriotik.

Peramba / saya menaruh keyakinan dengan berbekalkan semangat jitu dan keyakinan diiringi doa dari kitani semua para atlet kebangsaan selaku wira dan serikandi negara pasti akan berjaya meraih kecemerlangan dan dapat mengharumkan negara.

Buat akhirnya, kepada kontinjen negara diucapkan selamat berpemergian menyertai SUKMA Ke-18 dan kembali dengan kemenangan, pengalaman dan juga pengetahuan berguna. InsyaaAllah.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel