A+ A A-

HALUAN ISNIN 28032016 Fenomena El Nino jejas pelbagai aktiviti perekonomian

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, Tuhan yang mentadbir sekalian alam kerana atas limpah dan izin-Nya juga kita sama-sama memperingati Hari Kaji Cuaca Sedunia Tahun 2016.

Setiap tahun, Hari Kaji Cuaca Sedunia disambut dengan tema dan message yang berlainan dan pada tahun ini tema yang diketengahkan ialah 'Hotter, Drier, Wetter - Face the Future'.

Tema ini dipilih oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (World Meteorological Organisation-WMO) untuk menyampaikan satu mesej atau peringatan penting terhadap keselamatan generasi yang akan datang.

Tema ini amatlah tepat dan sangat bersesuaian bilamana perubahan iklim atau climate change sudah menjadi isu yang diakui sebagai kebimbangan global.

Komuniti antarabangsa juga telah sebulat suara menyedari betapa perlunya tindakan tegas untuk mengawal peningkatan suhu global ini.

Perubahan iklim telah memberi kesan perubahan kepada corak cuaca musim (seasonal weather pattern) dan juga meningkatkan kekerapan dan intensiti kejadian-kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau dan hujan lebat.

Perubahan yang berterusan ini dijangka akan menjadikan keadaan cuaca di seluruh dunia di masa akan datang menjadi lebih panas, lebih kering dan lebih lembap.

Perubahan Iklim Global

Dalam perutusan Setiausaha Agung WMO, beliau menyatakan bahawa bumi pada masa ini adalah 1 darjah celsius lebih panas berbanding di awal Abad Ke-20.

WMO juga menekankan bahawa pada dekad yang akan datang, iklim dunia akan terus berubah disebabkan berterusnya peningkatan gas-gas rumah hijau ataupun green house gases yang terkumpul di atmosfera.

Selaras dengan anjuran WMO ini, kajian turut menunjukkan bahawa jika kesan peningkatan gas-gas rumah hijau ini tidak di tangani, Keluaran Dalam Negeri Kasar per kapita global (Global GDP per capita) akan menurun sebanyak 23 peratus pada dekad akan datang.

Catatan suhu global menunjukkan suhu udara pada dekad ini terus meningkat dan menjadi lebih panas dibandingkan dengan dekad yang lalu. Tempoh di antara tahun 2011 sehingga tahun 2015 telah dicatatkan yang terpanas.

Keadaan ini bertembung pula dengan episod El-Nino yang berintensiti kuat dengan suhu yang terpanas direkodkan pada penghujung tahun lalu.

Gelombang haba (heat waves) telah menjejaskan banyak rantau di seluruh dunia. Contohnya pada tahun lalu, di Sepanyol telah mencatatkan suhu tertinggi mencapai 46.2 darjah celsius di Valencia. Di Luxor, Mesir, pula suhu maksima mencapai sehingga 47.6 darjah celsius pada bulan Julai. Manakala di Vredendal, Afrika Selatan mencatatkan suhu sehingga 48.4 darjah celsius pada bulan Oktober.

Kejadian kering atau kemarau juga semakin kerap berlaku menjejaskan kawasan Timur-Laut Brazil dan juga kawasan Barat Amerika Utara sehingga merekodkan jumlah kejadian kebakaran Amerika Utara tertinggi semasa musim kebakaran hutan liar di Alaska.

Manakala itu, jumlah turunan hujan yang diterima di India adalah di bawah paras normal semasa musim tengkujuh Monsoon Barat-Daya.

Sejak awal tahun 2016 ini, Negara Brunei Darussalam, pada keseluruhannya mengalami keadaan cuaca yang agak kering dan panas. Keadaan ini adalah berlainan dengan kehadiran fenomena El Nino berintensiti kuat di Lautan Pasifik.

Pihak berkuasa di negara jiran juga membuat keputusan untuk menutup beberapa buah sekolah berikutan cuaca panas melampau yang melebihi 37 darjah celsius.

Dengan keadaan cuaca sebegini, risiko kejadian kebakaran hutan jerebu juga boleh meningkat dan menjejaskan pelbagai aktiviti perekonomian dan harian.

Kajian di Australia menunjukkan bahawa pada tahun 2014 tekanan daripada cuaca panas (heat stress) di Australia telah mengakibatkan kos sebanyak AUD$7bn, yang berpunca dari kurangnya produktiviti.

Sektor pertanian juga bergantung kepada kestabilan cuaca untuk menghasilkan kadar produktiviti tanaman yang berterusan. Begitu juga dengan sektor pembinaan serta aktiviti ekonomi yang lain.

Dalam menghadapi perubahan iklim global ini, kita juga melihat kejadian turunan hujan dalam tempoh 24 jam yang melebihi purata jumlah turunan hujan bagi satu tahun. Ini kita boleh lihat terjadi di India dan Pakistan.

Kita juga menyaksikan melalui laporan media mengenai kejadian banjir yang melanda United Kingdom dan Ireland Utara. Catatan di Cumbria, United Kingdom menunjukkan turunan hujan 341.4mm (milimetre) yang telah memecah rekod turunan hujan sebelumnya.

Contoh-contoh ini menunjukkan keadaan yang ekstrem dari perubahan iklim global, sebagai fenomena yang memerlukan kepekaan kita terhadap maklumat cuaca dan iklim terkini.

Selain itu, kita juga perlu mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani implikasi dan kesan daripada perubahan iklim.

Di sinilah saya melihat Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dapat memainkan peranannya sebagai autoriti dan juga agensi utama dalam hal ehwal cuaca dan iklim bagi negara kita.

Perubahan Iklim Brunei

Menurut kajian awal yang dibuat oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, negara kita telah mengalami peningkatan purata suhu tahunan (annual average temperature) sebanyak 0.6 darjah celsius bagi tempoh bermula tahun 1970 hingga ke 2014.

Pada dekad terakhir ini iaitu dari tahun 2005 hinggalah 2014, kajian juga menunjukkan satu trend peningkatan bagi jumlah turunan hujan tahunan (annual total rainfall) yang diterima di negara kita.

Trend peningkatan turunan hujan dapat juga kita lihat melalui jumlah turunan hujan bulanan. Sebagai contoh, kita mengalami jumlah turunan hujan yang tertinggi pada bulan Januari 2009. Mengikut rekod turunan hujan Stesen Pencerapan Kajicuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, turunan hujan bagi bulan Januari 2009 ialah sejumlah 977.0mm. Jumlah ini melebihi tiga kali ganda purata jumlah turunan hujan tahunan sepanjang tempoh 50 tahun sebelumnya.

Sehubungan ini, saya amat berpuas hati dengan usaha Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam untuk mempertingkat kapasitinya melalui kajian dan usaha sama dengan pelbagai pihak, baik dari dalam mahupun luar negeri.

Dalam hal ini, kita menghargai penglibatan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dalam usaha kerjasama bagi bidang perubahan iklim atau climate change untuk menghasilkan senario perubahan iklim bagi rantau Asia Tenggara termasuk Negara Brunei Darussalam.

Usaha sama ini melibatkan Perkhidmatan-Perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan serta institusi-institusi penyelidikan daripada negara-negara ASEAN, termasuk Universiti Brunei Darussalam dan juga Met Office Hadley Centre, United Kingdom.

Pada masa yang sama, saya juga maklum Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam pada masa ini sedang bekerjasama dengan pihak Universiti Brunei Darussalam dalam bidang Model Iklim Berganda atau 'Climate Modeling', yang mana bertujuan untuk menghasilkan jangkaan dan juga senario perubahan iklim negara ini.

Dengan adanya hasil dari kajian-kajian ini nanti, adalah dihasratkan ia akan dapat membantu agensi-agensi yang berkepentingan untuk membuat perancangan, dasar dan sebarang tindakan dalam menangani kesan perubahan iklim.

Seterusnya, dengan adanya maklumat perubahan iklim dan ramalan cuaca bagi jangka masa panjang ini nanti, pelaksanaan projek serta penyaluran sumber akan dapat dirancang dengan lebih teratur dan lebih berpandangan jauh.

Dalam masa yang sama, Kementerian Perhubungan turut memainkan peranannya dalam mendukung komitmen negara di arena antarabangsa berhubung dengan perubahan iklim global.

Dalam perutusannya sempena Hari Kaji Cuaca Sedunia pada tahun 2015, Setiausaha Agung WMO ada menyentuh akan kepentingan kemajuan dalam sains meteorologi dan klimatologi terhadap peningkatan ketepatan dan keberkesanan ramalan cuaca dan juga ramalan iklim bermusim.

Kesan ini dapat kita rasakan terutamanya dalam bidang remote sensing seperti radar cuaca dan satelit cuaca, peningkatan kuasa komputer, peningkatan kefahaman dan pengetahuan cuaca dan iklim.

Perkara ini amat ketara dilihat dari segi kemampuan dan keberkesanan Pusat Ramalan Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dalam mengeluarkan ramalan, nasihat dan amaran cuaca di negara ini.

Contohnya di sepanjang tahun 2015 sahaja, sejumlah 108 amaran awal cuaca awam ataupun early warning telah pun dapat dikeluarkan dalam tempoh 1 ke 6 jam sebelum kejadian berlaku di kawasan-kawasan negara kita.

Sepertimana yang ditekankan melalui tema Hari Kaji Cuaca Sedunia tahun ini, iaitu 'Hotter, Drier, Wetter - Face the Future' kita akan berdepan dengan cuaca yang semakin panas, kering dan lembap yang sememangnya akan memberikan cabaran dalam kehidupan seharian baik di peringkat negara, komuniti mahupun persendirian.

Sejak penubuhannya dua tahun yang lalu, Jabatan Kajicuaca telah banyak mengungkayahkan usaha ke arah capacity building tertama dalam aspek pemantauan cuaca, sistem pengurusan, peningkatan Sumber Tenaga Manusia dan pengenalan khidmat-khidmat baharu seperti kod amaran cuaca berwarna atau colour coded weather warning.

Peningkatan perkhidmatan seperti ini telah dapat memudah cara pelbagai pihak yang berkepentingan atau (stakeholder) dalam memegang tanggungjawab dan menjalankan aktiviti masing-masing dan bersiap siaga menangani bencana yang berkaitan dengan cuaca.

Begitu juga agensi-agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Air dalam membuat perancangan dan pengurusan air semasa musim kemarau.

Pada masa yang sama, peningkatan perkhidmatan ini juga dapat memudah cara orang ramai membuat keputusan yang bijak bagi sebarang aktiviti yang dirancang sama ada untuk bersukan, beriadah ataupun melakukan kerja-kerja rumah.

Dari itu, saya mengalu-alukan inisiatif Jabatan Kajicuaca untuk lebih menampilkan dirinya sebagai agensi yang mudah didekati dan proaktif dalam memahami keperluan orang ramai.

Penggunaan platform seperti media sosial, sistem aplikasi Brunei Weather adalah antara inisiatif yang boleh dimajukan lagi selaras dengan keutamaan Kementerian Perhubungan, iaitu customer-focused strategy.

Saya difahamkan bahawa majlis pada pagi ini juga akan diselajurkan dengan pelancaran peraduan fotografi yang dianjurkan bersama dengan Persatuan Jurufoto Brunei Darussalam dan Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam dengan tema peraduan 'Cuaca dan Impaknya di Negara Kita'.

Saya yakin peraduan ini akan dapat menarik perhatian orang ramai termasuk penuntut-penuntut terhadap cuaca kita sambil meningkatkan kesedaran akan betapa pentingnya cuaca dalam kehidupan kita dan ini sekali gus mengujudkan sebuah masyarakat bijak cuaca.

Saya ingin mengucapkan syabas atas inisiatif ini.

Untuk mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas kepada Jabatan Kajicuaca Brunei Darusssalam atas acara yang diadakan dan berharap Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus mengungkayahkan inisiatif-inisiatif baharu yang boleh meningkatkan peranannya dalam pengeluaran nasihat dan amaran cuaca dan iklim bagi negara kita.

Dengan kalimah Bismillahir Rahmannir Rahim dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya sukacita merasmikan Sambutan Hari Kaji Cuaca Sedunia 2016 dan merasmikan 'Peraduan Fotografi Hari Kaji Cuaca Sedunia 2016 yang bertemakan 'Cuaca dan Impaknya di Negara Kita'.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel