A+ A A-

PB 4 JANUARI 2017 Pelita2 HASRAT NEGARA

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil 'Alameen,

Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen,
Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

 

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin-Nya jua, kita kini sedang melangkah ke ambang Tahun Baharu Masihi 2017.

Kita akan meninggalkan Tahun 2016 dengan seribu kenangan, di antaranya ialah kenangan manis dapat menikmati keamanan dan kemakmuran di negara yang bertuah ini. Maka untuk itu, marilah kita sama-sama merafakkan syukur serta doa, semoga keadaan yang seperti ini akan dapat pula dinikmati dalam tahun 2017.

Keamanan adalah penting, kerana tanpa keamanan, pembangunan tidak akan dapat
dilaksanakan. Oleh itu, rukun keamanan, mustahaklah dipelihara dan diamalkan, iaitu memegang kuat ajaran ugama, mematuhi undang-undang serta hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu. Inilah rahsia keamanan itu.

Namun perlu diingat, anasir-anasir anti keamanan dan ketenteraman tidak pernah lupa untuk mengeruhkan keadaan. Mereka tidak pernah sealiran tujuan dengan kita. Kerana itu kita perlu berhati-hati terhadap mereka itu.

Ini adalah tanggungjawab besar semua pihak, terutama, siapa yang secara khusus ada berkaitan dengan keselamatan.

Usaha-usaha juga perlu diambil untuk menghadapi ancaman yang datangnya daripada dunia siber dan media sosial, termasuk juga untuk memperkukuh lagi perkongsian strategik dengan institusi-institusi keselamatan siber antarabangsa.

Dari sudut ekonomi, dunia kita masih saja mengalami keadaan ekonomi tidak menentu. Namun kita bersyukur, dengan langkah-langkah pembaharuan yang diambil serta pendekatan whole-of-nation, maka dapatlah kita menyaksikan peningkatan kedudukan negara dalam Ease of Doing Business sebagaimana laporan oleh Bank Dunia.

Pencapaian ini terhasil daripada komitmen dan kerjasama erat di antara agensi-agensi kerajaan dan lain-lain pihak yang berkepentingan. Namun kita tidak wajar untuk cepat berpuas hati, tetapi sebaliknya perlu lebih aktif dan lebih tinggi semangat pada meningkatkan lagi pencapaian tersebut.

Seperti yang berlaku di mana-mana, kita juga adalah mempelawa pelabur-pelabur langsung asing untuk melabur di negara ini. Pada setakat ini alhamdulillah, beberapa Pelaburan Langsung Asing (FDI) telah pun mula bertapak di negara ini, manakala pelbagai program dan inisiatif juga ada dirancang dan dilaksanakan bagi membantu golongan peniaga dan pengusaha tempatan, terutama Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana atau MSME. Ini adalah satu harapan, bahawa ekonomi negara sedang dipacu, untuk menjadikannya berdaya tahan.

Beralih kepada Perkhidmatan Awam di negara ini, beta ingin melihat ianya terus meningkat dan produktif. Beta percaya masih banyak lagi yang boleh diperbaiki, terutama mengenai penerapan nilai-nilai utama dalam Perkhidmatan Awam. Beta mahu supaya jentera kerajaan kaya dengan disiplin dan kaya dengan amanah dalam menjalankan tugas, sebagai cara untuk kita meraih berkat dalam perkhidmatan.

Di bidang pendidikan, usaha adalah sedang dibuat untuk memperluaskan saliran pendidikan, di samping mempertingkatkan kualiti bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Keutamaan ialah memperkasa kualiti guru untuk menjadikan mereka itu individuindividu pendidik yang berprestasi tinggi.

Di arena antarabangsa, kita akan sentiasa memainkan peranan positif ke arah kesejahteraan dan keamanan serantau mahupun global. Secara jujur, kita mengharapkan supaya ASEAN akan terus kekal menjadi pertubuhan serantau yang sentiasa dihormati kerana prinsipprinsipnya yang jelas untuk kebajikan. Pada tahun 2017 ini, kita akan merayakan Ulang Tahun ASEAN Ke-50. Adalah diharapkan supaya kerjasama yang baik akan terus berlangsung di antara negara-negara ahli ASEAN, demi untuk kepentingan Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

Menjelang tahun 2017 ini, akan berlaku satu lagi sejarah, apabila insyaaAllah, negara akan merayakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun beta menaiki takhta. Sambutan ini sangat besar ertinya, sebagai cara, untuk kita menghargai sejarah.Dalam perayaan yang dirancang, beta berharap semua pihak akan mengamalkan sifat bersederhana.

Apa yang penting ialah perayaan atau sambutan sebagai sifatnya 'petanda' bagi sejarah. Sejarah adalah 'lidah' zaman, yang akan berkata-kata kepada generasi demi generasi tanpa pernah mengenal penat atau bosan. Itulah harga sejarah.

Sifat sederhana di sini, termasuk memberi keutamaan apa yang utama. Namun, bukanlah menjadi tujuan kita untuk menyempitkan wawasan bagi masa depan yang panjang.

Untuk akhirnya, bersempena dengan tahun baharu ini, beta ingin mengabadikan harapan supaya rakyat dan penduduk negara ini menguatkan azam dan usaha ke arah menjadikan diri masingmasing lebih proaktif, kreatif dan berintegriti dalam menghadapi segala cabaran.

Beta juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukanpasukan keselamatan dan sektor swasta di atas usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing pada sepanjang tahun 2016.

Beta dan keluarga beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu Masihi 2017 kepada seluruh rakyat dan penduduk. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala melimpahkan rahmat-Nya berupa hidayat, kesihatan, keamanan dan kemakmuran kepada kita semua dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel