A+ A A-

Brunei - Filipina : Tingkatkan ekonomi bersama dalam pelbagai bidang

HASRAT NEGARA EDISI SABTU 22102016

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu'
Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte (Dutertay), Yang Terutama, Tuan-tuan dan Puan-puan,

KERAJAAN beta dan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan selamat datang kepada Tuan Yang Terutama pada lawatan pertama ke negara ini.

Kehadiran TYT menguatkan lagi hubungan yang sangat baik dan mesra yang sudah sekian lama dinikmati oleh rakyat kedua-dua negara.

Beta mengucapkan tahniah atas pelantikan TYT sebagai Presiden Republik Filipina. Kami mengagumi pencapaian peribadi TYT sebagai Datuk Bandar Davao dalam menjadikan bandar tersebut mesra-perniagaan dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

Beta yakin bahawa di bawah kepimpinan TYT, pencapaian Davao boleh ditiru di seluruh Filipina dan akan membawa pertumbuhan inklusif kepada rakyat Filipina.

Hubungan sejarah dan warisan yang dikongsi bersama mengeratkan lagi hubungan dan persefahaman di kalangan kita.

Ini membolehkan kerjasama yang baik dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, buruh, pertahanan, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan udara.

Kami amat menghargai usaha 23,000 rakyat Filipina, yang datang untuk berkhidmat di negara ini dan membantu dalam membangunkan ekonomi, seperti bertugas sebagai guru, profesional kesihatan dan jurutera.

Hubungan udara yang kerap di antara kedua-dua negara menjadikan lebih mudah bagi kita untuk melawat satu sama lain serta memudahkan aktiviti ekonomi di antara ahli perniagaan kedua-dua negara.

Hari ini, masih ada banyak potensi yang boleh diraih dalam kerjasama ekonomi kita.

Ini termasuk mengukuhkan kerja-kerja dalam sektor tenaga serta meneroka bidang-bidang baru dalam industri halal.

Beta juga gembira dengan kerjasama yang begitu baik dalam bidang pertahanan. Pasukan Pemantau Antarabangsa Ke-13 negara ini telah berlepas ke Selatan Filipina pada bulan lepas. Sejak tahun 2004, kita telah bekerjasama rapat untuk menjaga keamanan dan kestabilan di wilayah berkenaan.

Komitmen peribadi TYT ke arah usaha ini sangatlah dihargai, kerana ia menyumbang pada keselamatan serantau secara keseluruhan.

Pada peringkat serantau, beta mengucapkan tahniah dan memberi sokongan yang penuh kepada Filipina selaku Pengerusi ASEAN pada 2017.

Beta mendoakan yang terbaik atas usaha anda dan kerajaan anda bagi persiapan ke arah itu.

Adalah penting bagi kita berusaha bersatu padu dalam bidang, ekonomi dan tanggungjawab sosial untuk manfaat rakyat negara kita seperti yang digariskan dalam Wawasan Komuniti ASEAN 2015.

Di bawah BIMP-EAGA, kita juga akan terus bekerjasama rapat untuk melihat rantau kecil ini terus membangun dan berkembang, termasuk menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, memulihara alam persekitaran dan meningkatkan kesalinghubungan menerusi pembangunan infrastruktur dan pelancongan.

Bagi rantau Asia Pasifik yang lebih luas, kerajaan beta akan meneruskan beberapa inisiatif di bawah APEC, termasuk memajukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik dan juga untuk mewujudkan sektor perkhidmatan yang berdaya saing.

Beta percaya usaha ini akan membantu usaha ke arah Komuniti Ekonomi ASEAN dan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat kedua-dua negara.

Kami berharap hubungan kerjasama dan persahabatan rapat yang sudah terjalin sejak sekian lama di antara kedua-dua buah negara akan terus kekal.

Kerajaan beta dan rakyat negara ini ingin mengucapkan tahniah kepada TYT dan seluruh rakyat Republik Filipina semoga sentiasa berada dalam keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.

Wabillahit Taufeq Wal-hidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel