A+ A A-

UNISSA perlu peka keperluan sumber tenaga manusia

HASRAT NEGARA EDISI RABU 26102016 UNISSA perlu peka keperluan sumber tenaga manusia

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu
'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

ALHAMDULILLAH, beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana atas limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul di Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-6, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada pagi ini.

Beta terlebih dahulu mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada hari ini. Tidak lupa juga dirakamkan tahniah kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah, yang sentiasa bertungkus lumus untuk melihat para graduan beroleh kejayaan.

Beta amat gembira mengetahui bahawa pada Haflut Takharruj Ke-6 ini, UNISSA berjaya mengeluarkan kumpulan graduan pertama bagi program double-degree, iaitu Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syar'iah. Di samping itu, beta juga difahamkan bahawa para graduan pengambilan pertama bagi Sijil Sistem Keadilan Jenayah Syar'iah telah pun menamatkan pengajian mereka di UNISSA.

Alhamdulillah, pada hemat beta, pencapaian ini amatlah bermakna, selari dengan keperluan negara dan perkembangan ilmu pengetahuan semasa.

Sementara itu, beta juga berharap, para graduan tidak hanya berpuas hati setakat memperolehi sijil dan gelaran akademik semata-mata, tetapi juga, perlu mampu untuk menjadi penggerak kepada jentera Kerajaan beta, khasnya, dalam pemantapan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah 2013.

Demikian juga, dalam menghadapi isu semasa berupa tohmahan atau provokasi terhadap Islam, beta melihat UNISSA mempunyai peranan yang sangat diperlukan untuk menyampaikan gambaran yang betul dan tepat mengenai ugama ini.

Ke arah ini, para pelajar UNISSA bukan sahaja dikehendaki untuk celik Al-Quran dan bahasa Arab, tetapi juga perlu memahami secara mendalam karya klasik para ulama silam Ahli Sunnah Waljamaah dalam pelbagai disiplin ilmu.

Di samping itu UNISSA, selaku gedung ilmu, juga perlu peka dengan landskap perkembangan pengajian dan tuntutan keperluan sumber tenaga manusia untuk Brunei.

Maka untuk itu, beta amat optimis bahawa langkah penjenamaan semula fakulti pengembangan dan penawaran program baru serta penilaian dan pindaan beberapa kursus adalah langkah bijak dan tepat oleh UNISSA. Langkah ini adalah antara inisiatif terbaik untuk mengembangluaskan lagi pasaran kerjaya bagi graduan lepasan universiti ini.

Sebenarnya masih banyak ruang yang perlu diteroka oleh UNISSA. Salah satu bidang yang berkembang pesat sehingga ke peringkat antarabangsa pada masa ini, iaitu industri halal. Bukankah aspek halal itu merupakan tuntutan utama dalam Ugama Islam?

Nilai pasaran global adalah semakin meningkat dan dianggarkan berjumlah sangat besar. Ia meningkat sebanyak 16% dari keseluruhan industri makanan dunia dan boleh menjangkau sehingga 20% dari perdagangan dunia dalam produk makanan sahaja.

Oleh sebab itu, beta menyokong penuh rancangan UNISSA untuk menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Halal di UNISSA sebagai pemangkin kepada hasrat beta untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai 'hub halal global' yang akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Maka untuk itu UNISSA mustahak diberikan perhatian. Perhatian utama, termasuk oleh pihak-pihak berkenaan
bagi memikirkan pembinaan bangunan kampus kekalnya di Temburong. Ini penting, sebagai pelengkap perkembangan, selaku sifatnya sebuah pusat pengajian tinggi Islam bertaraf dunia.

Akhirnya, beta mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA, yang meliputi ahli-ahli Majlis dan Senat Universiti, Rektor, Pegawai-pegawai Utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel