A+ A A-

Pusat Kajian Fiqh al-Usrah : Kukuhkan institusi kekeluargaan, pendidikan

HASRAT NEGARA EDISI RABU 02112016 Pusat Kajian Fiqh al-Usrah

Assalamu'alaikumWarahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen,
Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat hadir di Majlis Konvokesyen Ke-6 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada pagi ini. Mula-mula beta sukacita mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Para graduan wajiblah bersyukur dengan kejayaan ini, kerana kejayaan tersebut adalah datangnya daripada Allah, siapa Yang Maha Pengurnia.

Para graduan KUPU SB adalah guru-guru yang bertauliah dan selaku guru bertauliah. Mereka pastilah memiliki pengetahuan ilmu yang luas. Sementara ilmu itu pula adalah amanah untuk disampaikan kepada yang berhak, iaitu masyarakat.

Inilah cara guru memanfaatkan ilmu dan cara ini perlu kekal sehingga bila-bila. Kerana itu juga guru-guru perlulah tahu, bahawa mereka adalah agen zaman untuk kelangsungan bangsa dan negara.

Sesuai dengan peranan mereka selaku agen zaman, guru-guru ugama khasnya, bukan sahaja bertugas untuk menyampaikan pengajaran di dalam bilik-bilik darjah sahaja, malahan juga patut menjadi contoh atau role model kepada pelajar dan masyarakat. Inilah pasak pendidikan yang sebenar-benarnya.

Maka untuk itu, pihak KUPU SB perlulah melakar panduan bagi pelajar-pelajarnya untuk menjadi guru ugama yang beretika dan berwatak hebat, berwibawa dan berkemahiran tinggi. KUPU SB adalah ibarat kilang untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi.

Mutu itu pula, ditentukan oleh matlamat utama pendidikan, iaitu ke arah melahirkan manusia yang berakhlak mulia. Ini adalah perkara asas yang duduknya tidak boleh di bawah, tetapi di atas, sesuai dengan deklarasi Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, riwayat Bukhari dan Muslim maksudnya : "Sesungguhnya aku diutus adalah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia."

Kepentingan akhlak lebih dirasakan lagi di era mutakhir ini, berikutan berlakunya ledakan teknologi maklumat ICT. Dengan ledakan ini, seluruh masyarakat, tidak terkecuali juga kanak-kanak adalah terdedah kepada gejala-gejala yang boleh merosakkan akhlak.

Gejala tersebut banyak macamnya serta sukar pula untuk mengawalnya. Untuk mengawal itu memerlukan cara dan strategi yang cermat lagi teratur, iaitu satu-satunya melalui khidmat guru berjasa bagi menanamkan akhlak terpuji kepada anak- anak, membimbing dan memotivasi mereka menjadi anak-anak yang baik dan berguna.

Di samping itu, para ibu bapa juga dituntut untuk menyediakan iklim atau persekitaran yang baik dan Islamik bagi anak-anak. Kita usah lupakan maksud hadith, bahawa anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah seperti kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab, sama ada untuk meyahudikan atau menasranikan mereka.

Sehubungan ini, beta telah memperkenankan bagi KUPU SB menubuhkan pusat yang dinamakan Pusat Kajian Fiqh al-Usrah yang berfungsi untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan dan pendidikan.

Mengenai pendidikan, Brunei Darussalam telah pun melangkah mewujudkan Sistem Pendidikan Wajib Ugama. Ini adalah tanggungjawab besar. Alhamdulillah kita sudah pun menunaikannya. Tinggal sahaja lagi, kita perlu menjadikan pendidikan ugama itu benar-benar menyerlah, maju dan mantap.

Di Brunei, kita ada sekolah, namanya ''Sekolah Arab''. Beta mahu, biarlah sekolah ini benar-benar menepati seperti namanya juga. Di dalamnya ada ajaran pelbagai ilmu, terutama ilmu ugama dan bahasa Arab. Lulusannya boleh diterima untuk melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara. Sekolah ini tidak syak lagi boleh dibanggakan negara.

Tetapi soalnya, kedengaran ada sungutan bahawa nama sahaja Sekolah Arab, tetapi penuntut-penuntutnya tidak mampu untuk menguasai bahasa Arab atau dengan kata lain, tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa ini, berbanding bahasa Inggeris.

Jika benar seperti yang disungutkan itu, maka beta mengharapkan supaya ia dikaji dan diperbaiki.

Jadikanlah ia tugas utama. Cari jawapannya, mengapa bahasa Arab lemah di Sekolah Arab? Adakah ia menyangkut faktor guru, seperti kekurangan guru? Atau guru kurang berkelayakan? Atau turut menyangkut juga faktor peralatan mengajar, seperti kekurangan buku-buku atau buku itu sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan? Atau mungkin juga menyangkut faktor "kaedah mengajar" yang tidak menepati cara? Dan lain-lain lagi.

Semua ini mestilah dikaji dengan teliti. Kelemahan atau kekuatan bahasa tidaklah boleh diukur semata-mata dari pemarkahan kertas-kertas jawapan di dalam peperiksaan, kerana jawapan-jawapan itu boleh saja dihafal dahulu untuk dijadikan jawapan.

Demikian sedikit dari beta untuk perhatian.

Akhir kalam, beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Ra'es. Ahli Senat, Pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala sumbangan dan khidmat yang mereka berikan. Semoga semua amal kebajikan yang telah diberikan akan diterima oleh Allah dan KUPU SB menjadi sebuah pusat pengajian yang berkat.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel