A+ A A-

PDE mampu membina kekuatan jati diri

 

11 5 2016 PelitaBrunei PB 5 NOVEMBER 2016 Pelita2

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillaahir Rahmaanir Raheem

SEGALA pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, Tuhan seru sekian alam. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya jua, kita dapat berkumpul bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar yang bertemakan 'Pencegahan Penyalahgunaan Dadah melalui nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB)' anjuran Persatuan Anti-Dadah Kebangsaan (BASMIDA).
Saya seterusnya merakamkan setinggi tahniah kepada BASMIDA, selaku badan bukan kerajaan yang telah sekian lama bergerak aktif dalam mendukung inisiatif pembangunan bangsa Brunei yang terkenal sentiasa berpegang teguh kepada konsep negara 'Melayu Islam Beraja' dalam setiap aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Pada hemat saya, tema seminar yang dipilih adalah bertepatan dengan cabaran arus globalisasi serta perkembangan sosial semasa terutamanya dengan adanya momentum pergerakan bagi legalisation of drugs di kalangan negara barat.

Adalah difahami bahawa tindakan sedemikian dibuat atas alasan keperluan bagi mengurangkan kemudaratan atau harm reduction kepada penggunanya.

Perkembangan membimbangkan seumpama ini memerlukan tindak balas khusus demi mempertahankan pendirian negara, iaitu toleransi sifar atau zero tolerance terhadap sebarang penyalahgunaan dadah haram dan bahan-bahan terkawal.

Ini adalah selaras dengan semangat ASEAN yang saling menghormati kedaulatan setiap negara ahli dalam menentukan dan melaksanakan dasar-dasar yang terbaik ke arah pembangunan rantau dan komuniti yang bebas dadah menurut nilai dan norma masing-masing.

Dalam konteks negara kita, konsep MIB sudah setentunya sangat relevan dan mempunyai peranan yang signifikan ke arah memperkasa keupayaan serta kedayatahanan masyarakat kita untuk mencegah dan mengekang sebarang punca gejala sosial.

Ini termasuk tabiat buruk penyalahgunaan dadah serta kesan mudaratnya kepada jati diri individu, masyarakat dan negara.

Saya mendapat maklum bahawa tujuan penubuhan BASMIDA antara lainnya adalah menjurus kepada pengendalian Preventive Drug Education atau PDE. Tidak syak lagi, ianya adalah merupakan salah satu kaedah yang amat berkesan dan kos efektif bagi menghadapi permasalahan penyalahgunaan dadah.

Program-program yang disediakan adalah meliputi pengukuhan kesedaran dan pengetahuan tentang bahaya penagihan serta penyalahgunaan dadah kepada segenap lapisan masyarakat khususnya kumpulan yang terdedah atau vulnerable group.

Di samping itu, PDE mampu membina kekuatan jati diri dan integriti masing-masing bagi menghindari daripada terjebak ke dalam perangkap dadah.
Lebih penting lagi, PDE menitik-beratkan usaha pembentukan rohani yang baik dengan sikap dan nilai-nilai keagamaan, kenegaraan moral, budaya, dan sosial yang tinggi.

Penerapan nilai-nilai ini bermula daripada proses pendidikan awal kanak-kanak sehingga ke peringkat dewasa melalui penyaluran panduan amalan terbaik dalam pergaulan dan persekitaran yang kondusif.

Justeru, pemerkasaan nilai-nilai mulia dan luhur dalam konsep MIB adalah berperanan untuk memantapkan keperibadian serta ketahanan minda setiap individu daripada mudah diperdaya serta terpengaruh kepada berbagai bentuk gejala dan tabiat buruk termasuk penyalahgunaan dadah serta bahan terkawal lainnya.

Dalam hubungan ini, saya sukacita mengambil maklum bahawa tujuan utama seminar adalah untuk membangkitkan semangat kenegaraan dan jati diri bagi mendukung pembangunan generasi muda.

Di samping berwawasan, mereka juga hendaklah berpandangan jauh dan positif, berakhlak tinggi dengan pembentukan rohani yang sempurna berpegang teguh kepada syariat Islam Ahli Sunnah Waljamaah bagi mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan gagasan Negara Zikir.

Saya turut gembira mengetahui BASMIDA juga menjemput Persatuan Anti-Dadah Malaysia (PEMADAM) bagi engongsikan pengalaman dan informasi semasa, di samping penglibatan NGO tempatan, mahasiswamahasisiwi dan para pelajar serta belia sebagai golongan sasar utama.

Saya percaya penglibatan setiap anggota masyarakat dalam mempersiap dan melengkapkan minda masyarakat secara berterusan melalui pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah yang holistik adalah kunci kepada kejayaan usaha membasmi ancaman penyalahgunaan dadah.

Kejayaan seminar ini bukan saja akan dilihat daripada percambahan ilmu dan idea, malahan kita juga perlu mempersiapkan diri masing-masing untuk memastikan pembangunan negara dan Komuniti ASEAN yang bebas dari sebarang gejala dan bahana dadah.

Ke arah itu, BASMIDA, sebagai persatuan NGO tempatan yang telah menerima anugerah ASEAN People's Award, perlu mengorak langkah lebih jauh ke hadapan bagi melebarkan peranan serta memperbanyak sumbangannya dalam bersama-sama memastikan aspirasi pembangunan rantau ASEAN yang dinamik dan progresif.

Akhirnya, dengan kalimah 'Bismillah Hir Rahman Nir Rahim', saya sukacita merasmikan SEMINAR BASMIDA pada pagi hari ini. Semoga segala usaha kita mendapat keredaan Allah SubhanahuWata'ala dan ganjaran kebajikan yang setimpal.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullaahi
Wabarakaatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel