A+ A A-

Perkenalkan program-program relevan

 1211116 HASRAT NEGARA

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita pada pagi ini, bersama-sama berhimpun di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) Tahun 2016.

Di kesempatan ini beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masingmasing. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Beta juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada para ibu-bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa berusaha memastikan para graduan sentiasa berada di landasan yang betul di sepanjang tempoh pengajian mereka sehingga dapat meraih kejayaan yang sungguh bermakna.

Beta juga mengucapkan tahniah di atas pertukaran nama Institut Teknologi Brunei kepada UTB setelah mencapai usia 30 tahun penubuhannya. Beta berharap dengan nama baru ini, semua usaha akan ditingkatkan lagi bagi memenuhi objektif, misi dan visi universiti. Walau bagaimanapun, beta ingin mengingatkan, supaya apa jua yang dirancang dan dilaksanakan, hendaklah sentiasa berlandaskan MIB.

Seterusnya, beta difahamkan bahawa majlis konvokesyen pada kali ini akan menyaksikan penganugerahan sulung bagi 12 program ijazah Sarjana Muda yang mula diperkenalkan pada tahun 2012. Ini adalah pencapaian yang membanggakan kerana UTB mampu meluaskan lagi bidang pengajian yang ditawarkan dan seterusnya telah membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai pelajar untuk meneruskan pengajian mereka di UTB. Dalam hal ini, beta menyeru supaya UTB akan sentiasa melipatgandakan lagi usaha memperkenalkan program-program lain yang relevan dan yang dapat memacu perkembangan ekonomi negara.

Alhamdulillah, setakat ini beta ada mendengar bahawa para graduan yang dilahirkan oleh UTB adalah mampu untuk memenuhi kehendak pasaran pekerjaan dengan baik. Namun di dalam masa yang sama, penglibatan mereka di bidang keusahawanan masih lagi di tahap yang rendah. Memandangkan adanya kekurangan pencapaian ini, maka sudah sampai masanya bagi UTB mengkaji dan menggubal semula kurikulumnya bagi memastikan semangat, kecenderungan dan peluang dalam bidang keusahawanan itu dapat dibentuk seawal-awalnya lagi.

Menyentuh mengenai sumber tenaga pengajar kerja dari industri yang bukan berasaskan minyak dan gas, beta mengambil maklum mengenai penubuhan Sekolah Sains Gunaan dan Matematik (School of Applied Science dan Mathematics) yang menawarkan program ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dan Teknologi. Program itu, antara lain dihasratkan untuk mendukung pertumbuhan ekonomi dari industri permakanan di negara ini, selaras dengan usaha kerajaan dalam mempelbagaikan sumber ekonomi melalui pelaburan langsung asing. Beta berharap penubuhan Sekolah Sains Gunaan dan Matematik itu akan mampu untuk mengangkat UTB sebagai penyumbang kepada peningkatan industri permakanan yang berkualiti tinggi, yang mampu bersaing di arena antarabangsa.

Mengenai dengan pengiktirafan bagi program-program profesional pula, usaha tersebut adalah suatu yang sangat perlu bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan. Oleh sebab itu, beta gembira apabila mengetahui bahawa Sekolah Pengkomputeran dan Informatik UTB telah diiktiraf oleh British Computer Society, sebuah badan profesional antarabangsa. Di dalam iklim ekonomi global yang masih tidak menentu, inisiatif ke arah pengiktirafan program-program itu boleh menjimatkan kos latihan bagi majikan.

Seterusnya dalam mendepani krisis ekonomi dunia ini, UTB dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) hendaklah mengamalkan sikap berjimat cermat dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. IPTA boleh menjana pendapatan berdaya tahan melalui perkhidmatan kepakaran dan penyelidikan berinovasi, sesuai dengan statusnya sebagai separa autonomi. Pendekatan ini mampu untuk menjamin kelangsungan inisiatif-inisiatif agenda pertumbuhan organisasi masing-masing.

Akhirnya, beta tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga UTB, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis, Ahli-ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-ahli Akademik, Pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala jua akan memberkati segala usaha dan titik peluh mereka dengan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekain Wabillahit Tufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel