A+ A A-

Jangan sertai kumpulan yang berbeza pendirian

251216 - HM Titah

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu'
Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

BETA bersyukur ke hadrat AllahSubhanahu Wata'ala kerana dapatlagi bersama-sama dengan rakyatdan penduduk Negara Brunei Darussalamyang sedang berada di United Kingdom danIreland, terutama para penuntut, pegawaikerajaan dan mereka yang sedang bercutibersama keluarga.

Melalui majlis ini, dapatlah beta mengetahui lebih dekat lagi akan perkembangan para pelajar di sini, serta juga membolehkan beta untuk mendengar daripada mereka apa-apa yang mustahak jika ada.

Beta tahu, para pelajar, di samping sibuk dengan pengajian, ada juga yang mempunyai kecenderungan-kecenderungan lain sebagai kegiatan sampingan, seperti kegiatan melayari internet atau kegiatan berjalan dan melancong semasa percutian atau kegiatan menyertai perkumpulanperkumpulan atas nama 'ugama' dan lain-lain.

Melayari internet kerana tugas atau untuk mendapatkan maklumat yang betul, adalah ia satu kerja bermanfaat. Tetapi jika digunakan sebaliknya, risikonya adalah buruk.

Begitu juga melancong, jika tujuannya baik untuk sesuatu yang berfaedah, maka natijahnya adalah baik. Berbeza jika sebaliknya, maka akibatnya, cuma akan membuang masa dan wang sahaja.

Kemudian kegiatan berkumpul atas nama ugama. Tidak siapapun yang boleh mengatakan ini tidak baik, kerana sifat ugama itu adalah luhur dan suci. Namun, bukan tidak pernah berlaku orang berkumpul atas nama ugama atau dengan nama-nama lain yang ada kaitan dengan ugama, seperti menggunakan nama Al-Quran, atau Perkumpulan Al-Quran, atau nama Usrah, atau nama Pemuda Iman, atau nama Belia Da'ie dan seumpamanya. Tetapi 'cara' mereka itu tidak betul dan boleh diragui.

Ada bukti perkara ini sudah lama berlaku. Mereka berkumpul dalam kumpulankumpulan tertentu dan bergerak dari rumah ke rumah sesama mereka sahaja, dengan pengisian membaca kitab tertentu atau betadabbur Al-Quran, iaitu membaca ayat-ayat serta memahami maksudnya dan kemudian menerangkan kepada ahli-ahli menurut fahaman sendiri-sendiri.

Di samping itu, mereka juga mengadakan program Qiyam Al-Lail dan berkhemah di satu-satu tempat dengan aktiviti-aktiviti tertentu.

Kumpulan ini turut dianggotai oleh orang-orang terpelajar, malah mereka yang berjawatan dalam kerajaan dan termasuk juga ahli akademik dan profesional.

Sekali sekala akan terdengar, mereka itu berpendirian lain dari kita. Mereka menolak tahlil dan menolak perayaan menyambut Maulid Ar-Rasul dengan melabelnya sebagai bid'ah yang buruk. Tetapi mereka bersikap tidak mahu bising untuk menonjolkan pendirian mereka ini, sama halnya, kalau berkumpul, mereka akan berkumpul hanya sesama mereka sahaja secara senyap-senyap.

Mengapakah mesti begitu? Mungkin saja, ada sesuatu yang ingin disembunyikan. Sedangkan, jika ajaran Islam sebenar, bukanlah ia ditapok, tetapi mustahak dizahirkan sebagai syiar.

Di sini, ingin beta mengambil kesempatan untuk mengingatkan para pelajar khasnya, supaya jangan terbawa-bawa untuk menyertai kumpulan-kumpulan yang tidak tentu hujung pangkal, lebih-lebih lagi jika kumpulan tersebut diketahui membawa pendirian yang berbeza dengan pendirian kerajaan.

Beta memahami, golongan yang biasa menjadi sasaran kepada pihak-pihak pemisung ugama ini ialah kaum pelajar, khasnya mereka yang sedang menuntut di luar negara. Mereka ini apabila tamat pengajian kelak, akan digalakkan pula untuk jadi penggiat aktif dalam negara.

Oleh itu, kaum pelajar sayugia berhati-hati untuk tidak terjebak ke dalam sebarang perangkap yang tidak diingini. Tugas utama mereka ialah semata-mata belajar sehingga mencapai kejayaan.

Kepada pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan pula, beta menghendaki supaya mereka tidak berdiam diri atau menganggap ringan sahaja perkembangan-perkembangan yang berlaku di dalam negara, terutama dalam perkara yang berkaitan undang-undang dan ugama serta keselamatan.

Juga turut penting di sini ialah peranan ibu bapa. Ibu bapa adalah berkewajipan terhadap anak-anak. Pastikan anak-anak itu siapa mereka. Ke mana mereka selalu pergi keluar rumah dan apa tujuan? lebih-lebih lagi jika anak-anak itu sudah mempunyai kelulusan dan pekerjaan. Mereka sering-sering saja keluar rumah dan balik sampai jauh-jauh malam, namun tidak pernah ditanya, sehingga di luar pengetahuan ibu bapa, rupa-rupanya anak-anak itu adalah penggiat di dalam perkumpulan yang menyalahi undang-undang dan ugama.

Demikian sedikit peringatan daripada beta. Sekian, Wabillhit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel