A+ A A-

HASRAT NEGARA EDISI SABTU 15102016 Penglibatan penyertaan masyarakat kunci keberkesanan pencegahan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wassalaatu' Wassalaamu 'Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

SYUKUR kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana melindungi negara kita daripada beberapa insiden dinamik kesihatan yang telah melanda beberapa buah negara luar.

Semuanya ini adalah berkat dan hasilkerjasama yang padu daripada semuapihak yang berkepentingan dalam usaha memastikan impak daripada jangkitan penyakit sentiasa terkawal.

Kini kita berdepan dengan isu penyebaran jangkitan Virus Zika yang semakin meluas dan turut menjejaskan negara-negara lain sehinggalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai kecemasan kesihatan awam.

Negara Brunei Darussalam adalah juga tidak terkecuali daripada ancaman virus ini. Dalam hubungan ini saya menjunjung kasih ke hadapan majlis Paduka Ayahanda atas kepimpinan dan kebijaksanaan Paduka Ayahanda memperkenankan penubuhan Multisectoral Task Force bagi menangani ancaman jangkitan Virus Zika.

Ini membuktikan keprihatinan Paduka Ayahanda yang amat mendalam terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Pandangan jauh Paduka Ayahanda dalam perkara ini dengan tindakan-tindakan segera diambil adalah tepat sekali apatah lagi impak jangkitan Virus Zika ini bukan sahaja terhad kepada kesihatan individu malahan ianya juga berpontensi menjejaskan situasi sosial ekonomi negara.

Saya juga percaya Majlis Bencana Kebangsaan dapat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya sebagai nilai tambah kepada usaha-usaha yang telah diselenggarakan melalui Multisectoral Task Force on Zika Virus.

Memandangkan situasi jangkitan Virus Zika kini semakin menular di negara-negara jiran, maka wajarlah bagi mesyuarat khas ini diadakan untuk memastikan apa jua tindakan yang dilaksanakan akan dapat dipertingkatkan ke skala yang lebih besar lagi.

Barang setentunya pendekatan Whole of Nation terhadap isu-isu kepentingannegara seumpama ini adalah perlu di mana semua lapisan masyarakat dan individu adalah sama-sama bertanggungjawab dalam membantu usaha pihak kerajaan mencegah pembiakan nyamuk dari menular dan
tidak terkawal.

Tambahan pula kebergantungan kepada usaha agensi-agensi kerajaan untuk bertindak secara berlebihan seperti semburan asap dan penggunaan racun serangga bukanlah satu usaha yang berkesan mesra alam atau mapan.

Jelasnya penglibatan dan penyertaan masyarakat adalah kunci kepada keberkesanan usaha pencegahan dan mengawal penyebaran jangkitan Virus Zika di negara ini. Di sinilah juga di mana majlis ini dapat memainkan peranan dalam memperkemas dan memperkesankan lagi tahap kesediaan menangani isu ini sebagai satu kejadian menurut takrif perintah pengurusan bencana 2006 melalui pendekatan-pendekatan pragmatik ke arah meningkatkan awareness di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini dalam konteks Strategy Preparedness.

Kita perlu menilai sejauh mana negara telah berjaya mewujudkan dan menerapkan budaya bersedia atau preparedness culture di kalangan institusi-institusi kerajaan, pendidikan dan swasta di negara ini khususnya orang awam. Ini termasuklah mereview dan memperkemaskinikan rancangan tindakan awam dalam bentuk dan perisiannya yang sedia ada sekiranya ia belum mencakupi kejadian-kejadian seperti jangkitan Virus Zika ini atau yang seumpamanya sebagai bahan rujukan prosedur bagi orang ramai.

Pada hemat saya, sesebuah negara dan rakyatnya yang sudah diperkasa dengan budaya bersedia adalah merupakan komponen pengurusan bencana paling berkesan apabila berdepan dengan kejadian bencana. Dalam perkara berkaitan, saya juga ingin menyarankan agar setiap ahli akan dapat memberikan tumpuan khusus terhadap usaha ke arah pembentukan rangka kerja dasar strategi bagi majlis ini sebagaimana menurut kehendak perintah pengurusan bencana kebangsaan 2006. Ini adalah signifikan ke arah memantapkan lagi peranan majlis dalam memberi nasihat serta hala tuju pengurusan bencana bagi Negara Brunei Darussalam.

Namun demikian apa yang paling utama ialah setiap rancangan hendaklah diikuti dengan pelaksanaan yang teratur serta berkesan, di samping membuat penilaian semula terhadap keberkesanan tindakan-tindakan yang diambil tersebut secara konsisten. Tidak kurang pentingnya ialah kolaborasi yang kukuh bersama pihak-pihak yang berkepentingan di sektor awam dan swasta khususnya pihak media yang merupakan asas kepada keberkesanan dan kejayaan sepenuhnya pelaksanaan setiap perancangan berkaitan awareness, preparedness, dan response bagi orang awam. Apa yang kita harapkan perkongsian maklumat tersebut bukan sahaja bersifat responsive kepada keperluan orang ramai malahan hendaklah juga proaktif dan bersifat pendidikan serta reliable.

Yang pastinya orang ramai adalah merupakan rakan utama kita dalam sama-sama berperanan dalam memastikan penyebaran maklumat misalnya tentang jangkitan Virus Zika dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta sahih dan tepat. Pada mengakhiri, saya menaruh harapan tinggi perbincangan pada mesyuarat ini akan dapat mengemukakan saranan dan langkah-langkah ke hadapan ke arah meningkatkan dan memperkukuhkan penyertaan orang ramai dalam inisiatif mengawal jangkitan Virus Zika ini. Majlis ini jugalah yang akan memastikan keberkesanan tahap kesiapsiagaan dalam menangani kemungkinan timbulnya jangkitan Virus Zika di Negara Brunei Darussalam dan saya menyokong sepenuhnya tindakan-tindakan yang akan membolehkan kita berkerjasama secara holistic dan bersepadu.

Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel