A+ A A-

Hasrat Negara

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

DENGAN segala rasa syukur dan sukacita, beta dan keluarga terlebih dahulu merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di Negara Brunei Darussalam di mana saja mereka berada. Semoga sekaliannya berada dalam keadaan sihat 'afiat, selepas berjaya menunaikan salah satu rukun Islam, puasa pada bulan Ramadan.

Mulai malam ini sehingga imam mengangkat takbiratul ihram bagi Sembahyang Hari Raya pada keesokannya, kita disunatkan bertakbir, dan esok pagi juga kita bergerak ke masjid atau surau atau balai ibadat untuk menunaikan Sembahyang Sunat Aidilfitri.

Demikianlah indahnya urutan ibadat yang telah disyariatkan oleh Allah ini, dengan kita mula-mula berhempas pulas memenuhi tuntutan berpuasa, diikuti Sembahyang Tarawih, bertadarus Al-Quran dan Qiamullail.

Dalam jangka waktu yang agak panjang sebulan penuh, kita sebenarnya adalah diuji, sama ada mampu ataupun tidak untuk bersabar memenuhi titah perintah Allah dengan berpuasa. Jika kita mampu bersabar, maka kitalah orang yang berjaya, sedang kalau tidak, maka kitalah orang yang kekal kecewa di hari akhirat kelak.

Oleh itu berhaklah bagi siapa saja yang sanggup bersabar, untuk bergembira pada hari ini, sebagai tanda kejayaan mereka melalui 'ujian besar' berpuasa pada bulan Ramadan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Sangat biasa kita mendengar orang menyebut, bahawa puasa itu adalah 'terapi ketuhanan' untuk kesihatan. Ia sangat berkesan untuk mengatasi pelbagai masalah, seperti masalah glukos tinggi dalam darah, tekanan darah tinggi, berlebihan berat badan, obesiti dan sebagainya.

Kesihatan adalah faktor yang paling penting untuk semua. Jika badan sihat, semua kerja boleh dibuat dengan baik, sebaliknya jika tidak sihat, maka segala aktiviti tidak akan dapat berlaku dengan sempurna.

Inilah rahsia atau harga kesihatan.

Ugama Islam sangat mementingkan kesihatan. Di antara langkah paling berkesan untuk mengekalkan kesihatan ialah melalui pemakanan. Al-Quran dan Hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tidak ketinggalan menyebut tentang pemakanan. Al-Quran mengungkap : Bahawa makan minum itu boleh saja, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan. Sementara Hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pula sampai menyebutkan sukatan : Satu pertiga untuk
makanan, satu pertiga lagi untuk minuman dan satu pertiga pula untuk bernafas.

Inilah kaedah pemakanan bagi kesihatan. Kita umat Islam dituntut untuk memakai kaedah ini, di mana sebagai pelengkapnya ialah ibadat berpuasa.

Baru-baru ini kita mendengar atau membaca laporan Global Nutrition Report 2016 yang menempatkan Brunei Darussalam sebagai negara ranking tertinggi bagi obesiti di kalangan orang dewasa di rantau ASEAN.

Manakala hasil Kajian Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sendiri pula, telah mendapati, bahawa tahap peningkatan berat badan berlebihan dan obesiti adalah sangat tinggi, mencapai sehingga 61 peratus dewasa. Sementara kesan dari masalah ini, telah pula dibutirkan sebagai : lebih dari 30 peratus penghidap tekanan darah tinggi, 12.4 peratus penghidap diabetes dan 70 peratus penderita dari kolesterol tinggi.

Perangkaan ini amatlah mencemaskan. Kita tidak dapat memandang ringan lagi, melainkan dari sekarang, kita perlu mendisiplinkan diri untuk mengatasi gejala ini dari terus meningkat.

Caranya, kita mestilah cepat bertindak memupuk kesedaran, supaya semua orang menjalani gaya hidup sihat dan gaya pemakanan sihat. Ke arah ini, pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan tidaklah boleh lengah lagi dari memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada masyarakat.

Promosi dan motivasi mesti ditingkatkan, tidak memadai hanya sekali dua sahaja ia dilakukan, tetapi perlu berterusan, sehingga kefahaman yang mendalam dapat benarbenar diresapi kepada masyarakat.

Akhirnya, beta berharap, semua kita di negara ini akan mengambil perhatian terhadap apa jua perkembangan semasa, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perkara kesihatan, kerana kesihatan itu tidak syak lagi, adalah satu rukun untuk memperolehi segala Kebaikan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel