A+ A A-

hasrat negara 050915 sabtu kdymm

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen,Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.


Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat berkumpul untuk menyambut Hari Belia Kebangsaan Ke-10 Tahun 2015 yang bertema : 'Belia Berwawasan Menjana Ekonomi'.


Beta terlebih dahulu mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia kepada semua para belia di negara ini.


Beta amat teruja dengan bertambahnya bilangan profesional, usahawan, karyawan dan tenaga mahir di kalangan para belia kita.


Kita juga berbangga dapat menyaksikan belia-belia itu sudah mula menceburkan diri di bidang-bidang yang kurang diminati, seperti bidang bertanam padi dan membuat kerja-kerja lasak seperti memandu kenderaan berat dan scaffolding.


Demikian juga, golongan belia telah mula terlibat menerokai bidang-bidang baru, seperti bidang industri kreatif, dan juga tidak ketinggalan untuk menceburi pasaran luar negara.


Kaum belia juga didapati aktif melakukan kerja-kerja amal atau sukarela, dan ini, bukan sahaja dilakukan di dalam negara malahan juga di luar negara. Semua itu, amatlah membanggakan kita.


Kaum belia memang digalakkan untuk melakukan apa jua perkara yang bermanfaat, terutama untuk meneroka bidang-bidang baru atau sanggup membuat kerja-kerja lasak, seperti turun ke sawah di bawah panas matahari dan lain-lain. Ini semua sangatlah berguna kepada belia, selaku ejen masyarakat.


Menyebut belia ejen masyarakat, adalah penting bagi mereka itu, untuk memiliki jati diri dan sikap yang mantap.


Kerana tanpa jati diri dan sikap, seorang belia itu tidak akan dipandang hebat.


Maksud beta dengan jati diri di sini, ialah yang original, yang asli, yang bukan disalin atau ditiru daripada orang lain, lebih-lebih lagi kalau yang ditiru itu bertentangan dengan budaya dan adab sopan kita yang baik.


Salah satu contoh budaya dan jati diri yang baik orang-orang Brunei, ialah suka memakai songkok. Sehingga dalam banyak keadaan, mereka itu dapat dilihat memakainya terutama sekali ketika sembahyang dan membaca Al-Qur'an.


Ia sangat sopan dan cantik dipandang mata, dan bahkan, ia juga menjanjikan pahala kepada kita. Kerana bukankah menutup kepala itu salah satu dari sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam?


Tetapi agak malang, di era mutakhir ini, orang sembahyang dan membaca Al-Qur'an pun sudah ada yang tidak memakai songkok. Ini bukan budaya dan jati diri kita, tetapi satu budaya baru yang didapat daripada luar, termasuk yang ditiru dari media.


Beta ingin berpesan, kalau hendak meniru pun, biarlah yang baik, bukan meniru perkara yang tidak baik, apatah lagi yang merugikan.


Ini adalah di antara cabaran yang sedang menunggu para belia kita, di mana mereka itu sangat penting untuk mengelakkan diri daripada terjebak atau terperangkap oleh aliran-aliran budaya baru yang tidak menentu.


Sebaliknya para belia, dikehendaki supaya proaktif dalam memupuk dan memelihara budaya warisan, bukannya membiarkan budaya itu hakis atau mati.


Misalnya budaya dan seni mempertahankan diri, yang kita warisi semenjak sekian lama itu, adakah kita sudah berpuas hati dengannya, ataupun kita sedang cemas kerana mendapatinya sedang diancam oleh perubahan atau pembaharuan yang menjejaskannya?


Kita bukanlah anti perubahan atau pembaharuan itu, tetapi biarlah perubahan atau pembaharuan tersebut jangan sampai mengurangkan mutu dan sekali gus melunturkan ketulinan warisan. Kita sepatutnya mempertahankan warisan dan memberinya nafas yang baru, bukan menyebabkan ia layu dan lumpuh. Inilah tugas para belia bangsa.


Sekian Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel