A+ A A-

hasrat negara 010514 dpmm nilai insaniah bermasyarakat

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du


SYUKUR ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1436 Hijrah bersamaan 2015 Masihi. Semoga kehadiran kita semua di majlis yang berkebajikan ini akan dikurniakan keberkatan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


Majlis Musabaqah ini sudah tidak syak lagi merupakan salah satu syiar kemuliaan Islam yang penting di negara ini. Alhamdulillah, setakat ini, kita telah berjaya mengungkayahkannya secara berterusan sehingga kini mencapai tahun ke-55. Usaha murni ini adalah sejajar dengan wawasan 'Negara Zikir' yang paduka ayahanda ilhamkan ke arah mendorong pembangunan masyarakat, bangsa dan generasi yang sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam dan kitab suci Al-Qur'an, sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.


Justeru, seiring matlamat wawasan bagi melahirkan 'rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya', kita juga perlu memberikan fokus kepada pembangunan generasi yang berilmu, beramal dan berakhlak mulia serta memiliki minda yang terus berusaha untuk memartabatkan kesucian Islam.


Dalam kata lain, kita mahu membentuk generasi yang mematuhi apa jua ajaran yang terkandung di dalam Al-Qur'an yang kaya dengan sumber rujukan dan khazanah pembelajaran sepanjang zaman yang syumul. Dengan wawasan yang berlandaskan Al-Qur'an tersebut, negara kita dapat 'Membina Generasi Al-Qur'an' yang menjurus kepada kecemerlangan umat yang terbaik dan seimbang, sebagai teladan kepada umat-umat lainnya.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 143 yang antara lain maknanya :


“Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah pula akan menjadi saksi atas perbuatan kamu.”


Pada hemat saya, pembentukan Generasi Al-Qur'an yang mantap rohani dan jati diri adalah bermula dari dalam diri setiap individu itu sendiri. Seorang mukmin yang sejati perlu berusaha membentuk sahsiah untuk menjadi seorang hamba yang berilmu dan berkemahiran.


Usaha ini hendaklah diadun dengan keazaman untuk membina kehidupan sebagai generasi yang berkemampuan untuk memelihara kesejahteraan dan keharmonian negara di atas prinsip kesatuan ummah yang diredai. Darinyalah juga bermula titik tolak keperluan untuk melahirkan tunas-tunas generasi sebagai bakal pemimpin kepada kaum keluarga, rakan, jiran dan masyarakat dalam menjamin suasana negara yang akan terus aman dan makmur.


Bagi kesinambungan pembangunan kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara yang progresif dan dinamik, saya berpendapat penerapan tiga nilai insaniah berikut sebagai teras jati diri yang salingberkait rapat.


Pertama, sentiasa ingat kepada Allah dalam segala tindak tanduk untuk mengelak dari kefasiqan. Secara langsung, amalan ini setentunya dapat membina keperibadian individu Muslim yang beriman dan bertakwa, amanah lagi jujur, bersifat benar, tekun dan ikhlas. Ianya dapat juga memupuk semangat kerja berpasukan, menjaga hubungan silaturahim, serta mencintai khidmat dan menabur bakti semata-mata demi kemaslahatan ummah.


Kedua, bermuhasabah diri bagi mencapai insan kamil, iaitu generasi yang mempunyai prinsip perjuangan dan perjalanan hidup yang sempurna. Ini bermaksud, kita sentiasa menilai kembali dan menimbangkan semula segala tindak-tanduk ke arah menghasilkan pembaikan yang berterusan selaras dengan maksud Surah Al-Hashr ayat 18 :


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri memperhatikan apa yang Dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”


Dan ketiga, istiqamah dalam merubah diri ke arah kebaikan dan bukannya hanya berserah kepada takdir semata-mata. Ini bersandarkan ,kepada janji Allah Subhanahu Wata'ala untuk tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.


Dengan asas teras sedemikian, 'Generasi Al-Qur'an' yang kita hasratkan itu akan sentiasa mempunyai hubungan kerohanian dengan Allah melalui kefahaman dan pengertian yang mendalam tentang peranan kehidupan dalam diri dan masyarakat serta ummah.


'Generasi Al-Qur'an' perlu menanamkan minda terbuka untuk secara berterusan memperluaskan khazanah ilmu dengan sentiasa mengkaji, meneliti dan menyampaikan ilmu-ilmu yang terdapat di dalam Al-Qur'an. Generasi ini juga diharapkan dapat mencetuskan idea-idea bernas yang menepati syariat serta boleh diketengahkan dan dimanfaatkan, khususnya, ke arah pembangunan jati diri bangsa dan negara yang dihasratkan.


Saya berpendapat bahawa di sinilah juga 'Generasi Al-Qur'an' selaku generasi pewaris, untuk seterusnya berperanan memberikan gambaran sebenar terhadap kesucian Islam serta menepis stigma dalam pergolakan global semasa yang dikaitkan dengan Islam. Ianya termasuklah mengawal dan membasmi fahaman sempit dan sesat yang bertentangan dengan syariat. Mereka adalah generasi teladan yang akan menegakkan syiar Islam serta memastikan kebangkitan ummah dan tamadun Islam dalam era kemajuan pengetahuan serta komunikasi tanpa sempadan.


Secara ringkasnya, mereka adalah pewaris kepada khazanah dan mempusakai amanah yang masing-masing ditinggalkan oleh para nabi dan para ulama silam untuk seterusnya memimpin masyarakat kembali ke pangkuan Allah sebagaimana maksud Surah Ali 'Imran, ayat 110 :


“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu disuruh mengerjakan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah.”


Akhirnya, dengan mendahulukan kalimah 'Bismillahir Rahmanir Rahim', selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya sukacita merasmikan Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1436 Hijrah.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel