A+ A A-

hasrat01a 07012015 Pengukuhan pendidikan di tahap awal asas kepada kejayaan

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu
‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula bersama-sama lagi dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland Utara, terutama para penuntut, pegawai kerajaan dan mereka yang sedang dalam percutian bersama keluarga.

Alhamdulillah, pada tahun ini negara kita telah mencapai 100 tahun pendidikan formal. Ini menunjukkan, negara kita sejak dari awal-awal lagi telah memberikan perhatian yang serius kepada aspek pendidikan itu.

Seratus tahun yang telah dilalui menghendaki kita lebih peka kepada perubahan, kerana perubahan itu tidak pernah menunggu lama untuk melihat kita lebih maju ke hadapan ataupun sebaliknya. Bukankah dunia ini sentiasa berubah, dan perubahan itu pula sentiasa meminta kita untuk mesti melengkapkan diri?

Inilah hakikat perubahan, menuntut kita supaya lebih kreatif, dinamik dan berkemahiran.

Terutama perubahan dalam pendidikan, ia adalah bermula dari awal-awal lagi, kemudian sekolah rendah dan menengah, pendidikan teknikal dan pengajian tinggi.

Menurut analisis pakar, ada tiga perkara yang paling penting bagi mencapai pendidikan terbaik, iaitu mendapatkan orang yang betul-betul sesuai menjadi guru, pembinaan guru-guru untuk jadi pengajar yang berkesan, dan memastikan setiap kanakkanak adalah berjaya melalui pembelajaran yang berkualiti.

Meningkatkan mutu pendidikan secara menyeluruh ialah dengan memantapkan pendidikan di peringkat rendah. Ini termasuklah meningkatkan tahap kemahiran menurut piawaian kebangsaan yang ditanda aras dengan piawaian antarabangsa. Perlu diingat, mengukuhkan pendidikan di tahap awal adalah asas kepada kejayaan pendidikan di peringkat seterusnya.

Mengenai pencapaian piawaian antarabangsa, beta gembira, yang Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengalami transformasi menjadi sebuah universiti bertaraf dunia, yang cemerlang di dalam pengajaran dan penyelidikan. UBD kini, pada tahun ini, telah berada pada kedudukan 50 teratas, dalam lima daripada sembilan petunjuk di Asia dalam QS Ranking.

UBD pada tahun 2012 telah tampil memperkenalkan Skim Biasiswa Chancellor Scholar yang berprestij, yang pada tahun ini adalah penganugerahan yang ketiga ianya dianugerahkan.

Di kesempatan hari ini, beta sukacita mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar yang terpilih untuk menerima anugerah Biasiswa Chancellor Scholar UBD bagi Sesi 2014/ 2015 dalam pengajian di peringkat Ph.D di institut terkemuka di dunia.

Beta berharap, penerimapenerima anugerah ini akan terus mempertingkatkan diri masing-masing sehingga mencapai kejayaan yang diharapharapkan. Beta juga ingin menasihatkan semua pelajar di sini, sama ada pemegang biasiswa kerajaan ataupun yang belajar secara persendirian, supaya rajin dan terus belajar sehingga mencapai cita-cita.

Ketika sedang belajar khasnya, janganlah sekali-kali mendedahkan diri kepada perkara-perkara yang merugikan yang tidak ada kaitnya dengan ilmu dan pendidikan. Awasilah semua anasir perosak yang sentiasa berkeliaran di sana-sini. Konsistenlah berkubu dengan amal soleh dan ibadat kepada Allah, insyaaAllah, pelajar-pelajar akan beroleh keselamatan dengannya.

Pertahankanlah jati diri, integriti dan semangat kebruneian, dan bawalah ke mana saja budaya MIB, cara hidup dan cara berfikir MIB, bukan yang lain-lain.

Ingatlah, kebanggaan satu-satu bangsa itu bukan diukur dari usahanya menjadi bangsa baru, tetapi kebanggaan sejati terhasil apabila ia berjaya mempertahankan warisan dan jati dirinya.

Sekian saja, akhirnya dengan tulus ikhlas beta turut mendoakan, semoga para pelajar sekaliannya berada di dalam sejahtera, sentiasa diberkati dan berjaya di dalam pengajian masing-masing.

Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel