A+ A A-

hasrat negara 300714

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu'
Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Walillahilhamd.

Setinggi-tinggi syukur kita rafa'kan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengurniakan nikmat sihat dan nikmat rezeki luas, sehingga dengan kurnia itu dapatlah kita menunaikan ibadat puasa dengan sempurna.

Di samping nikmat sihat dan rezeki Iuas, kita juga menikmati keamanan dan kesejahteraan yang berterusan.

Dua nikmat yang bernama keamanan dan kesejahteraan ini, pada hemat beta, adalah lebih sukar untuk memperolehinya berbanding yang lain-lain.

Ini dapat dikesan daripada keadaan-keadaan yang ada, di mana di seluruh pelusuk dunia ini, telah sedia wujud kejadian-kejadian yang menggugat keamanan dan kesejahteraan itu.

Selain daripada fenomena alam yang datang bertali arus, juga krisis-krisis dalaman yang mencetuskan pelbagai kekacauan, sangat berpotensi untuk menghancurkan keamanan dan kesejahteraan itu.

Apatah lagi jika di dalam sesebuah negara itu sedang bersarang gejala sosial, terutama sekali gejala jenayah, maka tidak syak lagi, ia akan menjadi ancaman kepada keselamatan, keamanan dan bahkan nyawa.

Alhamdulillah, di negara kita perkara-perkara ini tidaklah berlaku. Tiada sesuatu pun yang boleh dianggap mengganggu keamanan. Semuanya adalah berjalan dengan baik belaka, dengan rakyat pula sentiasa bersatu padu tanpa sebarang pertelagahan.

Beta percaya, ini adalah tuah Brunei, berkat ianya sentiasa dikemudi dengan ugama. Kita dalam semua aspek kehidupan tidak akan membelakangi ugama, tetapi sebaliknya meletakkannya paling hadapan sebagai suluh dan panduan.

Adalah ugama itu tidak pernah salah, tetapi yang salah itu ialah kita sendiri, bila mana kita memilih yang lain dari ugama.

Oleh itu, pastikan kita ini akan kekal dengan ugama. Dalam menjalani kehidupan harian dengan ugama. Dalam membangun dengan ugama. Dalam mentadbir dengan ugama, bahkan semua urusan kita dengan ugama.

Jika semuanya itu dengan ugama, maka sudah pasti tidak akan ada lagi satu ruang pun untuk diisi atau ditempati oleh keburukan.

Bukankah suasana tidak aman atau huru-hara atau kacau-bilau atau jenayah itu satu keburukan? Semuanya ini, oleh ugama, adalah tidak dibenarkan berlaku, malah mesti diatasi atau dicegah daripada berlaku.

Kewajipan kita, selaku siapa yang dikurniai dengan nikmat keamanan dan kesejahteraan itu ialah bersyukur dan terus bersyukur, serta sambil berazam untuk memelihara dan mempertahankannya sampai bila-bila.

Ia adalah aset untuk dinikmati, bukan saja oleh kita pada hari ini, malahan juga oleh generasi akan datang sambung-bersambung. Kerana tanpa keamanan dan kesejahteraan, hidup akan hambar dan tidak mungkin untuk mengecap kebahagiaan.

Adalah tidak adil rasanya, jika kita sendiri saja yang asyik menikmati keadaan aman dan sejahtera itu, sedangkan saudara-saudara kita di luar sana ada yang tidak dapat menikmatinya, kerana negara mereka sedang mengalami pelbagai kekacauan ataupun peperangan atau bencana yang datang dengan tiba-tiba.

Kepada mereka itu, kita hulurkan simpati yang mendalam serta doa, semoga situasi akan segera bertukar kepada yang lebih baik hendaknya.

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Walillahilhamd.

Mengambil kesempatan di saat yang mulia ini, beta dan keluarga beta dengan ikhlas lagi sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilftri kepada sekalian rakyat dan penduduk di mana jua mereka berada, semoga kita sama-sama dapat menyambut hari bahagia ini dalam suasana riang gembira.

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Walillahilhamd.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel