A+ A A-

Menjadikan Al-Qur'an panduan hidup

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan hadiah kepada Johan Qari Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1433 Hijriah / 2012 Masihi, Awangku Md. Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki pada 3 Mei 2012. (Foto: (Foto : Masri Osman) )

SEMEMANGNYA adalah menjadi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan generasi Al-Qur'an di negara ini. Pelbagai skim penggalak telah pun diperkenankan ke arah mencapai hasrat tersebut agar lebih ramai lagi mereka mempelajari dan meminati seni membaca Al-Qur'an.

Antara yang boleh dijadikan contoh dalam bidang pembacaan Al-Qur'an dalam kalangan belia ialah seorang qari anak muda tempatan iaitu Awangku Md. Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki yang baru-baru ini telah menerima anugerah pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-7. Beliau merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik beradik ini sememangnya cemerlang dalam menyertai Musabaqah Tilawatil Qur'an pelbagai peringkat.

Beliau yang lahir pada 20 Jun 1987 ini, sememangnya melibatkan diri secara berterusan dalam Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Peringkat Kebangsaan dan juga Antarabangsa bagi merebut kecemerlangan. Berkat kegigihannya beliau telah beberapa kali berjaya menjuarai Pertandingan Musabaqah Tilawatil Qur'an Peringkat Kebangsaan, di samping pernah mewakili negara di Musabaqah Tilawatil Qur'an Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.

Setentunya beliau juga mempunyai beberapa qari dan qariah yang dikagumi sebagai idola. Antaranya ialah Allayarham Drs. Ustaz Haji Mirwan bin Muhd. Nuh Batubara yang juga merupakan guru beliau, Sheikh Abd. Basit bin Abd. Samad, Sheikh Muhammad Alleythi, Sheikh Ahmed Nuaina, Hajah Rahmas dan lain-lain lagi.

Apa yang membanggakan lagi, beliau bukan saja cemerlang dalam bidang keagamaan malah juga bidang akademik. Beliau yang berkelulusan BA (Hons) Accounting and Finance dan memperolehi Kepujian Kelas Dua Bawah ini pada masa ini sudah pun bekerja di Agensi Pelaburan Brunei, Kementerian Kewangan.

Ditanya mengenai sejarah persekolahan, beliau pada peringkat sekolah rendah bersekolah di Sekolah Nusa Laila Puteri dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah selama dua tahun di Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien. Kemudian bagi Menengah 3, 4 dan 5 beliau bersekolah di Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri. Setelah itu beliau berjaya pula melanjutkan pelajaran pada peringkat prauniversiti di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan seterusnya ke Universiti Brunei Darussalam.

AKTIVITI

Antara aktiviti yang pernah diikuti oleh Awangku Md. Adibul Amin ialah Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Belia Kebangsaan pada tahun 2004 dan 2005, Musabaqah Tilawah Al-Qur'an antara Institusi- Institusi Pengajian Tinggi 2005; Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Dewasa Kebangsaan pada tahun 2007, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012; Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Antara Institusi Pengajian Tinggi ASEAN 2007; mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Persembahan Maulud Nabi di Bangkok, Thailand dan Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Antarabangsa 2008, 2010 dan 2012 serta Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Antarabangsa 2008, 2010 dan 2012.

Setentunya penyertaan beliau mengikuti pertandingan-pertandingan ini meninggalkan kenangan manis bagi beliau apabila berjaya menjadi Johan Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Belia Kebangsaan 2005; Naib Johan Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Antara Institusi Pengajian Tinggi ASEAN 2007; Johan Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Dewasa Kebangsaan 2008, 2010 dan 2012 dan mendapat tempat kelima dalam Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Antarabangsa 2008 dan 2010.

Beliau juga menjadi ahli kepada Majlis Al Qurra' Negara Brunei Darussalam yang mana penubuhannya adalah bertujuan untuk melatih qari-qari dan qariah-qariah yang berbakat dan berpotensi di negara ini, mendalami ilmu seni pembacaan Al-Qur'an khususnya pada segi taranum, tajwid dan fasahah. Majlis Al Qurra' ini telah menjadi salah satu penyumbang terbesar dalam melahirkan qari dan qariah yang berpotensi. Selain aktif dalam bidang Al-Qur'an beliau juga seorang ahli Tausyeh bagi Kumpulan Annida.

BELIA SYUMUL

Mengulas mengenai tema Hari Belia Kebangsaan 2012, 'Belia Syumul Harapan Negara', beliau berpendapat tema ini sememangnya mencabar dirinya sendiri dan para belia di negara ini. Bagi beliau, belia yang syumul itu adalah belia yang melengkapkan diri dengan pembelajaran agama, di samping meningkatkan pelajaran umum duniawi seperti Sains, Ekonomi dan Matematik. Dengan berbekalkan kedua-dua bidang ini ia akan dapat jadi satu panduan untuk para belia maju kehadapan.

Beliau turut menyambut baik mengenai hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Undang- Undang Pendidikan Ugama Wajib 2012 yang akan berkuat kuasa tahun hadapan yang mana menurutnya ia juga adalah sebagai satu langkah untuk melahirkan belia syumul di negara ini. Ia bukan saja untuk tempoh jangka pendek malahan juga untuk jangka panjang demi mengukuhkan pegangan agama generasi Brunei. Kerana menurutnya seperti yang diketahui, budak-budak yang masih kecil jika sejak awal diajarkan ilmu yang baik maka ia akan mudah menerima yang sesuatu yang baik.

Beliau sangat menyarankan agar para belia mendampingi Al-Qur'an iaitu membaca, mendalami dan mengamalkan ajaran-ajaran Al-Qur'an. Membaca Al-Qur'an itu hendaklah diamalkan setiap hari dan bukan hanya pada musim tertentu.

Walau bagaimanapun, jelasnya, pembelajaran duniawi itu juga penting seperti Sains, Ekonomi, Matematik dan sebagainya kerana dengan adanya kedua-dua ilmu ia akan dapat membantu belia dan mempertahankan diri belia dalam menghadapi segala cabaran globalisasi dan membantu mereka untuk mencapai Wawasan 2035.

Mengulas mengenai gejala sosial pula, dengan mendampingi Al-Qur'an ia boleh membantu para belia terselamat daripada gejala sosial yang kurang diingini. Para belia sememangnya mudah terpengaruh dan ingin mencuba apatah lagi ia dengan mudah didapati melalui media-media sosial hanya di hujung jari. Sekiranya kita ada masa dengan media sosial, mengapa tidak berikan masa juga kepada Al-Qur'an yang mana sekarang ini Al-Qur'an juga boleh dibaca di hujung jari sahaja. Oleh itu para belia juga mesti tahu menilai maklumat yang bersesuaian untuk dijadikan panduan dan pengajaran.

KELUARGA AL-QUR'AN

Selaku abang kepada tujuh adik-beradiknya yang lain, kejayaan beliau dalam bidang Al-Qur'an nampaknya turut diikuti oleh adik-beradiknya yang lain. Jejak langkah beliau telah diikuti oleh adik beliau iaitu Awangku Md. Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki yang juga seorang qari yang aktif mengikuti Musabaqah Tilawatil Qur'an. Awangku Md. Amirul Aiman merupakan pemenang pertama Musabaqah Tilawatil Al-Qur'an Peringkat Belia Asia Tenggara tahun 2011 dan pernah bertanding dalam Peringkat Akhir Dewasa Kebangsaan pada tahun 2010 dengan kedudukan tempat keempat.

Selain itu, adik-beradik beliau yang lain juga turut aktif dalam pembelajaran Al-Qur'an. Menurut Awangku Md. Adibul Amin, ini semua adalah hasil dorongan ibu bapanya sejak kecil supaya mengamalkan Al-Qur'an. Semasa beliau kecil, ayah beliau sering mengajar Al-Qur'an pada waktu pagi iaitu selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh atau selepas menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib dan menunggu Sembahyang Fardu Isyak. Ayah beliau turut mencari inisiatif dengan mencari guru-guru untuk mengajar Al-Qur'an dengan lebih dalam lagi. Apa yang menarik, ibu bapa beliau juga turut menyarankan mereka adik beradik untuk membaca Al-Qur'an sepanjang perjalanan menuju ke sekolah.

Sesungguhnya inilah yang pernah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Sambutan Nuzul Al-Qur'an 1433 Hijriah/2012 Masihi bahawa untuk menjayakan gagasan melahirkan generasi Al-Qur'an, semua keluarga di negara ini perlu memberikan perhatian yang serius terhadap pengajian Al-Qur'an bagi anak-anak. Tidak ada siapa yang patut berkecuali daripada tanggungjawab ini. Sesungguhnya tidak syak lagi keluarga yang hebat lagi bahagia itu ialah 'Keluarga Al-Qur'an'.

Sememangnya adalah menjadi hasrat baginda agar rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan menjadikan Al-Qur'an itu sebagai panduan yang utama. Jika negara kita semuanya terdiri daripada generasi Al-Qur'an, nescaya negara kita akan aman damai makmur sejahtera dan bebas dari segala ancaman moral yang tidak diingini.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel