A+ A A-

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Oktober. - Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai kes muntah dan cirit-birit (gastroenteritis) yang sedang berlaku di Negara Brunei Darussalam.

Pemantauan penyakit-penyakit berjangkit yang dilakukan secara berterusan di negara ini mendapati seramai 766 kes gastroenteritis telah pun dilaporkan pada bulan September 2016 hingga sekarang dan kebanyakan daripada kes-kes tersebut adalah dalam kalangan kanak-kanak yang berumur lima tahun ke bawah.

Gastroenteritis adalah disebabkan oleh jangkitan di dalam perut dan usus, yang boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, sakit perut dan demam. Ia boleh merebak melalui makanan, minuman, tangan dan mana-mana permukaan yang telah dicemari oleh jangkitan penyebab gastroenteritis. Jangkitan ini mengganggu penyerapan air melalui usus dan boleh menyebabkan kekurangan air di dalam badan.

Pada kebiasaannya, jangkitan ini akan pulih dengan sendiri, tetapi sesetengah kes akan memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh. Oleh yang demikian, pesakit-pesakit adalah dinasihatkan untuk membanyakkan minum air atau minuman rehidrasi khas yang boleh didapati di klinik-klinik atau farmasi yang berdekatan.

Kementerian Kesihatan juga ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dengan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk menghindarkan jangkitan dan penularan kuman penyebab gastroenteritis.

Antara langkah-langkah pencegahan yang dapat dilakukan ialah memastikan awda dan keluarga terutamanya kanak-kanak mencuci tangan dengan menggunakan sabun juga air sebelum / selepas makan atau selepas menggunakan tandas.

Tandas hendaklah sentiasa dibersihkan, termasuk pemegang flush dan tempat duduk, dengan pembasmi kuman (seperti chlorox) setiap kali selepas tandas digunakan.

Elakkan berkongsi tuala, peralatan makan atau perkakas lain dengan ahli-ahli rumah yang demam atau kurang sihat dan elakkan dari menghadiri sekolah, tempat kerja atau tempat-tempat awam selama 48 jam setelah sembuh dari muntah dan cirit-birit.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi ini dari masa ke masa dan akan memaklumkan sebarang perkembangan tentangnya kepada orang ramai jika perlu. Bagi sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel