A+ A A-

Negara sokong Agenda Pembangunan Berdayatahan 2030

GENEVA, SWITZERLAND. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia Kali Ke-69 di Geneva, Switzerland yang mula bersidang pada hari Isnin, 23 Mei 2016.

Perhimpunan Kesihatan Sedunia Kali Ke-69 ini dihadiri oleh Menteri-menteri Kesihatan dan perwakilan daripada 194 negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tema Perhimpunan tahun ini ialah "Transforming the World: The 2030 Agenda for Sustainable Development".

Dalam ucaptama Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada sesi plenari di perhimpunan tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan sokongan padu Negara Brunei Darussalam bagi Agenda Pembangunan Berdayatahan 2030 yang dihasrat untuk meneraju sektor kesihatan ke arah pelaksanaan rangka kerja yang lebih holistik.

24052016 PR MOH 01

GAMBAR HIASAN ... Perhimpunan Kesihatan Sedunia Kali Ke-69 juga menekankan mengenai Pemakanan Ibu, Anak Damit dan Kanak-Kanak.

Matlamat Pembangunan Berdayatahan ataupun "The Sustainable Development Goals" (SDGs) mengetengahkan kepentingan kesihatan dalam semua dasar (Health in all policies) dan kerjasama yang efektif antara pelbagai sektor untuk merealisasikan pencapaian kesihatan terutama dalam menangani cabaran-cabaran penyakit-penyakit tidak berjangkit. Kejayaan pelaksanaan dasar dan strategi memerlukan satu anjakan paradigma (paradigm shift) yang antara lain menghendaki kepimpinan luar dari lingkungan sektor kesihatan yang sama-sama dapat menghasilkan perubahan untuk menjana penduduk yang lebih bermotivasi dan melibatkan diri dalam hal ehwal kesihatan.

Kepentingan pendekatan secara menyeluruh ke arah pencapaian SDGs adalah sejajar dengan tiga keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu memupuk konsep 'Kesihatan adalah Tanggungjawab Semua'; mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang melalui penyejajaran dan penyepaduan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyatakan mengenai usaha penelitian semula secara komprehensif dan penggubalan struktur baru organisasi bagi memastikan ianya menepati tujuan.
Adalah menjadi matlamat Kementerian Kesihatan untuk memperkasa individu dan masyarakat supaya bertanggungjawab ke atas kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri. Seterusnya Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyatakan mengenai kepentingan rekabentuk pilihan (choice architecture) dengan berasaskan pengetahuan kesihatan bagi mendorong individu membuat pilihan yang lebih sihat untuk diri dan keluarga mereka.

24052016 PR MOH 02

GAMBAR HIASAN ... Kementerian Kesihatan akan terus berusaha memperkasa individu dan masyarakat supaya bertanggungjawab ke atas kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri (atas dan bawah).

24052016 PR MOH 03

Antara isu-isu yang dibincangkan pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Kali Ke-69 ini adalah mengenai Pemakanan Ibu, Anak Damit dan Kanak-kanak; Deraf Pelan Tindakan Global mengenai Keganasan; Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit; Kesihatan di Agenda Pembangunan Berdayatahan Tahun 2030; Pengukuhan Fungsi Asasi Kesihatan Awam dalam Mendokong Pencapaian Penjagaan Kesihatan secara Universal dan Kesiapsiagaan serta Pemantauan dan Tindak balas kepada Penyakit-penyakit Berjangkit.

Sebelum menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia Kali Ke-69, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam bagi Mesyuarat Komanwel Menteri-Menteri Kesihatan Ke-28 yang bersidang pada 22 Mei 2016 di Geneva, Switzerland.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Menteri-menteri Kesihatan, Pegawai-pegawai Kanan dari 53 negara anggota Komanwel dan wakil-wakil daripada pelbagai agensi antarabangsa. Tema Mesyuarat Komanwel Menteri-menteri Kesihatan tahun ini ialah "Keselamatan Kesihatan dan Akses kepada Penjagaan Kesihatan Secara Universal."

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel