A+ A A-

Produk kosmetik dicemari bahan terlarang

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 Mei. - Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan enam produk kosmetik yang mana hasil dari ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa produk tersebut dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Terdapat tiga produk kosmetik yang dicemari oleh merkuri iaitu DNARS Skincare Normal/Jeragat-Day Cream yang diedarkan oleh Rohban Trade Sdn. Bhd. (988565-K), Shah Alam, Selangor; Walet 2 in 1 Super Whitening Cream with Herbal Comples (krim berwarna kuning) dan Walet 2 in 1 Super Whitening Cream with Herbal Comples (krim berwarna putih) yang masing-masing diedarkan oleh Co. Ltd. Taiwan.

Sementara DNARS Skincare Normal/Jeragat-Snow Cream yang diedarkan oleh Rohban Trade Sdn. Bhd. (988565-K), Shah Alam, Selangor dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin manakala Nouvelles Visages-NV Cream AHA & UV yang diedarkan oleh Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd., No: 59, Lorong Haji Hussein 1, Off Jalan Raja Bot, Kampung Baru, 50300, Kuala Lumpur, Malaysia dan produk Tia Amelia-Krim Elvira masing-masing dicemari oleh Hydroquinone.

290516 PR1 TERCEMAR

DNARS Skincare Normal/Jeragat-Day Cream (atas) dan DNARS Skincare Normal/Jeragat-Snow Cream (bawah).

290516 PR2 TERCEMAR

Bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Ia mudah diserap melalui kulit dan mudah untuk berkumpul dalam badan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga sangat toksik kepada kanak-kanak yang belum dilahirkan.

290516 PR3 TERCEMAR

WALET 2 in 1 Super Whitening Cream with Herbal Complex (yellow coloured and white coloured cream.

Hydroquinone dan Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ianya dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan Tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

290516 PR4 TERCEMAR

NOUVELLES Visages-NV Cream AHA & UV.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi BND5,000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

290516 PR5 TERCEMAR

TIA Amelia - Krim Elvira.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau berjumpa terus dengan Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel