A+ A A-

18 peratus penduduk dewasa masih merokok

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 30 Mei. - Berhenti merokok dapat menyelamatkan nyawa, jika kita berhenti merokok pada hari ini menjelang minggu hadapan tekanan darah kita akan bertambah baik.

Menurut Siaran Akhbar Kementerian Kesihatan melalui perutusan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2016, dalam masa beberapa bulan kita berhenti merokok kita akan mengalami peningkatan yang ketara pada fungsi paru-paru.

Pada waktu ini di tahun hadapan, risiko penyakit jantung dan serangan jantung akan berkurangan.

Keengganan untuk mula merokok atau berhenti merokok adalah salah satu langkah penting yang boleh diambil untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan anak-anak serta yang di sekeliling kita.

Dengan ini, Negara Brunei Darussalam menyertai masyarakat global, di bawah kepimpinan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meraikan 31 Mei 2016, sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

Jika kita mempertimbangkan untuk mula berhenti merokok pada hari ini, Kementerian Kesihatan ingin menggalakkan awda untuk menahan diri daripada merokok sekurang-kurangnya selama 24 jam, mudah-mudahan usaha pengelakkan ini akan menjadi titik permulaan kepada satu perjalanan hidup yang positif dan bebas dari kesan-kesan bahaya tembakau.

Pada tahun ini, tema bagi Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2016 ialah 'Bersedia untuk Pembungkusan Tanpa Corak (Get Ready for Plain Packaging).'

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyeru negara-negara untuk bersedia ke arah pembungkusan tanpa corak bagi produk-produk tembakau sebagai sebahagian dari langkah-langkah pengurangan permintaan terhadap produk ini.

Syukur Alhamdulillah, di negara ini, di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang-Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Perintah Tembakau 2005 telah memperuntukkan sekatan ke atas iklan-iklan yang berkaitan dengan merokok, promosi, pengedaran, pembungkusan dan pelabelan produk tembakau serta merokok di kawasan tertentu.

Walaupun dengan adanya langkah-langkah tersebut, masih terdapat sebilangan orang ramai yang terus mengimport dan mengedar produk tembakau secara tidak sah di pasaran.

30052016 kesihatan

Ini menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan seluruh komuniti perlu mengambil tindakan bagi memastikan bahawa kita sebagai sebuah masyarakat, kesihatan dan kesejahteraan diri dan anak-anak kita adalah menjadi keutamaan.

Kita tahu bahawa merokok boleh membunuh, tembakau akan merosakkan jantung dan paru-paru kita, merokok adalah pemusnah anggota tubuh badan kita, di Negara Brunei Darussalam, punca utama kematian adalah kanser dan penyakit jantung dan merokok adalah merupakan faktor risiko yang sering dikaitkan dengan kedua-dua penyakit tersebut.

Pendedahan kepada asap rokok amat berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak dan boleh mengakibatkan masalah pernafasan yang serius. Kaji selidik kebangsaan menunjukkan bahawa 97 peratus daripada orang dewasa tahu bahawa merokok boleh menyebabkan penyakit yang serius. Walau bagaimanapun, 18 peratus daripada penduduk di kalangan orang dewasa masih merokok.

Pada hari ini, kami menyeru agar semua pihak untuk mengambil tindakan dan menjadikan pengetahuan ini untuk perubahan tingkah laku ke arah yang lebih positif.

Berhenti merokok adalah sukar bagi sesetengah orang, terutamanya disebabkan oleh ketagihan pada nikotin dan tidak mengetahui cara untuk berhenti merokok.

Kementerian Kesihatan ingin menyokong perokok untuk berhenti merokok, jika awda adalah seorang perokok, berhenti merokok adalah satu keputusan yang terbaik yang awda boleh buat untuk diri awda.

Perkhidmatan Berhenti Merokok yang disediakan memberikan perkhidmatan pendidikan, nasihat, kaunseling dan melalui perkhidmatan ini, peluang bagi perokok untuk berhenti merokok adalah cerah.

Jika awda atau seseorang yang awda kenal ingin berhenti merokok, berjumpalah dengan doktor atau hubungi Talian Darussalam 123 hari ini untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenainya, setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri mereka.

Kami memerlukan sokongan awda dan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat - individu, keluarga dan pihak-pihak yang berkepentingan untuk berkerjasama dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesan kesihatan yang positif dengan berhenti merokok dan yang lebih penting untuk menyokong individu-individu yang ingin berhenti merokok.

Warga yang sihat adalah kunci kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam dan ia merupakan tanggungjawab kita bersama untuk memastikannya.

Isu-isu mengenai berhenti merokok adalah sejajar dengan keutamaan strategik Kementerian Kesihatan, iaitu untuk memangkin agenda 'Kesihatan adalah tanggungjawab semua', meningkatkan penyampaian kualiti perkhidmatan melalui pensejajaran dan penyepaduan, dan mencegah serta mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit.

Setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawab mereka dalam memerangi tembakau dan dengan adanya kebekerjasamaan, InsyaaAllah kita boleh dan akan dapat meraih kejayaan ini di Negara Brunei Darussalam.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel