A+ A A-

Tingkat kewaspadaan penularan Virus Zika

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 30 September. - Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan mengenai nasihat perjalanan Virus Zika yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat bagi mereka yang hendak ke Asia Tenggara termasuk Negara Brunei Darussalam.

Program pengawasan Virus Zika yang meliputi kedua-dua kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan dan swasta secara rutin melindungi semua kes yang disyaki berdasarkan definisi dan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semasa dan sampel makmal juga dikumpul bagi ujian pengesahan.

Tiada kes penyakit Virus Zika dikesan di Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimana pun , Kementerian Kesihatan terus sentiasa berwaspada dan mempertingkatkan 'Pelan Persediaan Kementerian Kesihatan untuk Pencegahan dan Kawalan Penyakit Virus Zika' sebagai persediaan bagi sebarang kemungkinan.

Di samping itu, semua aktiviti pencegahan dan pembinaan keupayaan untuk mencegah, mengesan dan kawalan penyakit akan dikawal selia oleh Pasukan Bertindak Pelbagai Sektor bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Virus Zika yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Kementerian Kesihatan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dengan respon daripada makluman perjalanan dari Amerika Syarikat. Walaupun Brunei Darussalam kini bebas dari Virus Zika namun kita perlu untuk bersiap siaga.

Langkah pencegahan paling berkesan ialah dengan membasmi tempat pembiakan nyamuk. Kebersihan alam sekitar adalah penting dan kita mesti mengosongkan, membersihkan dan menutup bekas yang boleh menakung air, seperti bekas plastik, baldi, pasu bunga dan tayar. Pastikan juga bahawa semua longkang dalam keadaan bersih, berfungsi dengan baik dan tidak disekat. Semua sampah hendaklah dilupuskan dengan betul.

Selain membasmi tempat pembiakan melalui kebersihan alam sekitar, kita juga hendaklah mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan diri kita digigit oleh nyamuk seperti memakai pakaian panjang, longgar, pakaian berwarna cerah yang meliputi kulit, menggunakan racun pembunuh nyamuk dan mengelakkan berada di luar daripada awal pagi dan lewat petang (melainkan jika perlu).

Selaras dengan panduan WHO, Kementerian Kesihatan tidak menasihati mengenai apa-apa perjalanan atau menyekat perdagangan dengan negara-negara yang terjejas, atau apa-apa pemeriksaan atau pengasingan pelancong di pintu masuk.

Wanita hamil dinasihatkan untuk mengelakkan perjalanan ke kawasan terjejas dan jika seorang wanita hamil atau suaminya baru-baru ini melawat negara terjejas Virus Zika, kedua-dua pasangan perlu mengamalkan hubungan kelamin yang selamat atau berpantang bagi keseluruhan kehamilan.

Individu yang telah melawat negara yang terjejas atau sedang dalam perjalanan dari negara yang terjejas, kemudiannya mengalami gejala seperti demam, ruam, konjunktivitis, sakit kepala dan sakit otot dalam tempoh dua minggu masuk ke Negara Brunei Darussalam perlu diperiksa di pusat kesihatan yang berdekatan.

Kementerian Kesihatan dan agensi yang berkaitan akan terus memantau perkembangan kegiatan dengan kerjasama WHO, dan akan-rakan ASEAN. Kami terus berwaspada dan bersedia dan menyeru semua pihak berkepentingan termasuk orang ramai untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam usaha negara untuk mencegah dan mengawal jangkitan Virus Zika dengan memastikan kebersihan alam sekitar.

Untuk maklumat lanjut mengenai Virus Zika dan penyakit bawaan nyamuk, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau hubungi talian Darussalam 123.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel