A+ A A-

Hari Pendidikan Kesihatan Mental Global, Kesedaran dan Advokasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Oktober. - Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut setiap 10 Oktober di seluruh dunia, termasuklah di Negara Brunei Darussalam. Ia adalah hari untuk pendidikan, kesedaran dan advokasi kesihatan mental secara global. Tema pada tahun ini ialah 'Kesedaran Kesihatan Mental - Bantuan Pertama Psikologi dan Kesihatan Mental untuk Semua', adalah amat sesuai dan relevan kerana ianya menggalakkan keterbukaan dan kerjasama.

Menteri Kesihatan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusannya sempena WHMD berkata, pelancaran Peraturan Kesihatan / kesejahteraan Mental dan codes of practice di Negara Brunei Darussalam pada 2014 telah sedikit sebanyak menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan bantuan profesional. Ini merupakan mercu tanda yang signifikan bagi perkembangan kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam iaitu dalam menangani isu penjagaan, rehabilitasi, kebajikan dan keselamatan individu-individu yang mempunyai masalah kesihatan mental. Matlamat tersebut akan terus tercapai dengan memperkasakan orang ramai untuk membantu dengan mengambil tindakan-tindakan Bantuan Pertama Psikologi iaitu 'Lihat, Dengar dan Hubungkan' yang telah disarankan oleh WHO yang memberikan orang ramai panduan untuk melibatkan diri dan memberikan sokongan kepada individu-individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Jelas Yang Berhormat, stigma didefinasikan sebagai sesuatu yang hina atau tercemar yang mengasingkan seseorang daripada orang ramai yang lain. Budaya di mana stigma dan kehinaan adalah dikaitkan dengan masalah kesihatan mental menghindari daripada orang ramai untuk mendapatkan pertolongan dan ini akan melambatkan lagi pemberian rawatan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental. Prasangka dan diskriminasi yang berterusan adalah antara beberapa perkara yang dilalui oleh seseorang. Di seluruh dunia, ramai di antara orang yang mempunyai masalah kesihatan mental sering didiskriminasikan sama ada oleh orang-orang lain ataupun oleh mereka sendiri.

"Perkara ini boleh membawa pelbagai jangkaan negatif terhadap kesihatan mental kita sendiri dan kemudiannya membuatkan orang ramai untuk berhenti mendapatkan bantuan dan juga menyembunyikannya daripada orang lain lebih-lebih lagi daripada keluarganya sendiri. Apabila mereka mendapatkan bantuan pada peringkat lewat, mereka sudah menjadi terlalu tidak sihat sehingga mereka perlu diberikan rawatan perubatan dengan segera. Impak daripada mendapatkan bantuan yang terlambat bukan saja memberi kesan yang besar kepada seseorang individu tetapi juga kepada keluarga dan generasi seterusnya. Kesan negatif daripadanya termasuklah hilangnya pendapatan kewangan, tekanan (stress) pada hubungan keluarga, kemerosotan dalam keupayaan untuk menjaga anak-anaknya dan juga beban yang dirasai oleh penjaga-penjaga yang terpaksa menjaga seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental. Oleh itu, stigma dan kesemua kesan daripadanya perlulah diperbetulkan," tegas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Bantuan Awal Psikologi atau Psychological First Aid jelas Yang Berhormat, ialah satu tindak balas sokongan kepada individu yang sedang menderita dan yang memerlukan bantuan (WHO, 2011). Bantuan ini katanya bertujuan untuk memberikan pertolongan kepada individu yang baru saja mengalami kecemasan, bencana atau peristiwa trauma seperti kemalangan jalan raya, bencana ribut dan kehilangan orang yang tersayang. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), prinsip tindakan Bantuan Awal Psikologi adalah berdasarkan dari langkah-langkah berikut; Pemerhatian, Mendengar dan Berhubung. Tujuan utama bantuan ini adalah membantu individu yang terjejas untuk mendapatkan keperluan asas dengan segera seperti makanan dan minuman dan memastikan individu tersebut berada di dalam keadaan yang selamat.

Yang Berhormat menambah, selain daripada itu, mereka juga diberikan maklumat tentang keadaan semasa dan sokongan sosial serta penjelasan mengenai perkhidmatan-perkhidmatan profesional yang ada, jika diperlukan. Mereka yang menawarkan Bantuan Awal Psikologi boleh memberikan sokongan kepada mangsa-mangsa krisis dengan berada di samping mereka yang sedang menderita atau yang tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan memberikan air ataupun selimut untuk membantu mereka berasa tenang. Bantuan tersebut boleh ditawarkan oleh sesiapa sahaja seperti kakitangan kecemasan, jiran-jiran dan sukarelawan, di samping individu yang terlatih di dalam memberikan Bantuan Awal Psikologi. Bantuan ini biasanya dijalankan di tempat komuniti termasuk kawasan kejadian krisis dan di tempat-tempat yang selamat seperti pusat kesihatan, pusat-pusat perlindungan atau kem dan sekolah.

Selain daripada itu, usaha-usaha dari segi keagamaan menurut Yang Berhormat, turut memberi manfaat dalam memperolehi tahap kesihatan mental yang sihat. Yang Berhormat juga membawakan hadis dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjelaskan, "Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika segumpal daging itu baik, maka akan baik seluruh tubuh manusia, dan jika segumpal daging itu buruk, maka akan buruk seluruh tubuh manusia, ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati manusia." (Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim). Dengan mempunyai hati yang suci murni, bukan sahaja kesihatan mental boleh bertambah baik malah begitu juga dengan kesihatan fizikal. Seperti yang dinyatakan dalam ayat suci Al-Quran," (iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia," (Surah Ar-Ra'd ayat 28). Hanya dengan melaksanakan tanggungjawab kitani sebagai umat Islam dan menambah amalan-amalan baik serta mengelakkan perbuatan-perbuatan yang jahil, hati akan lebih tenteram.

Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan tegas Yang Berhormat, juga berusaha untuk menyediakan 'Person-Centred Care' yang menekankan dalam pendekatan berorientasikan kepada pemulihan untuk memaksimakan kualiti kehidupan dan menolong mengurangkan pandangan negatif terhadap orang terkesan dengan masalah kesihatan mental dan juga ahli keluarga mereka. Di sini menyatakan bahawa Penjagaan Kesihatan ialah tanggungjawab semua yang terbabit, pesakit, ahli keluarga, ahli profesional kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan penggubal dasar. 'Health is Everyone bussiness' ialah merupakan pendekatan yang diperlukan untuk mencapai matlamat ini secara efektif. Dengan sebanyak yang mungkin, rawatan sepatutnya bermula di dalam masyarakat dengan kerjasama pesakit, ahli keluarga, ahli profesional kesihatan, kebajikan dan agensi-agensi masyarakat. Manakala untuk kes-kes yang serius akan memerlukan kemasukan rumah sakit.

Dalam mengatasi isu-isu sosial dan mengubah perspektif masyarakat tentang penyakit mental, Kementerian Kesihatan ujarnya, sering bekerjasama secara konsisten dengan sekolah-sekolah, badan-badan masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan juga agensi-agensi bukan kerajaan dalam meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental. Pada masa kebelakangan, Kementerian Kesihatan telah menjalankan satu siri kempen kesedaran kesihatan mental dan beberapa program masyarakat seperti kempen 'Mind Your Mind – Jaga Minda Kita' dan program 'Illness Management – Pengurusan Penyakit' di seluruh negara. Menurut Yang Berhormat, usaha-usaha tersebut adalah sebahagian daripada matlamat kami yang bukan sahaja meningkatkan mutu kehidupan orang-orang yang mengalami masalah kesihatan mental dan keluarga mereka, tetapi juga memastikan masyarakat untuk memahami perjalanan dan perjuangan yang mereka hadapi serta memberikan bantuan sokongan kepada mereka yang memerlukannya.

"Dengan penglibatan Kementerian Kesihatan yang aktif dalam mempromosikan dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan minda, ini boleh meningkatkan ilmu pengetahuan orang ramai dan lebih memahami mengenai kesihatan mental secara keseluruhannya. Orang ramai juga boleh memainkan peranan penting dengan memahami lebih lanjut serta menghargai mereka yang menderita dengan gangguan kesihatan mental. Penyertaan dan promosi yang meluas daripada semua anggota masyarakat boleh mengekalkan kesihatan mental yang baik. Usaha-usaha yang kolektif dari semua lapisan masyarakat akan dapat memberi kesan yang positif dalam membasmi stigma sosial berkaitan dengan kesihatan mental untuk kebaikan masyarakat kita," ujar Yang Berhormat.

Kementerian Kesihatan juga katanya, akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan mental dengan menjadikan perkhidmatan tersebut lebih mudah diperolehi, komprehensif, holistik dan sistematik di dalam memenuhi keperluan rawatan dan penjagaan kesihatan mental bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Kementerian Kesihatan juga percaya bahawa segala usaha yang telah dijalankan di negara ini akan dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi kesihatan mental di kalangan masyarakat. Dengan ini, diharapkan orang ramai akan lebih terbuka untuk berbincang tentang kesihatan mental dan mendapatkan bantuan dari ahli-ahli profesional kesihatan mental

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel