A+ A A-

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 Februari. - Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai mengenai dengan penyakit Polio berikutan daripada berlakunya kes jangkitan ‘vaccine-derived poliovirus type 1’ di Republik Demokratik Rakyat Lao yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO) baru-baru ini.

Penyakit Polio adalah penyakit jangkitan usus yang disebabkan oleh virus Polio, yang merebak melalui makanan dan air tercemar.

Meskipun kebanyakan kes Polio tidak menunjukkan tanda-tanda, sesetengah pesakit yang dijangkiti Polio menghidapi demam panas, sakit kepala, hilang selera makan, sakit tekak dan ada juga pesakit akan menghidap kelumpuhan anggota badan.

Pemberian vaksin Polio untuk kanak-kanak telah pun dimulakan di negara ini pada tahun 1962 dan alhamdulillah, tidak ada kes Polio dilaporkan semenjak tahun 1978.

Rantau Pasifik Barat termasuk Negara Brunei Darussalam telah pun diisytiharkan bebas daripada Polio pada tahun 2000.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan ingin menasihati supaya orang ramai yang hendak berkunjung ke negara-negara yang terjejas supaya mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang utama iaitu sentiasa menjaga kebersihan diri dan keselamatan makanan.

Sehubungan itu, para pengunjung adalah disarankan mengutamakan kebersihan diri-sendiri dan makanan; meminum air yang dimasak dan memastikan makanan adalah dimasak dengan sempurna; mengamalkan membasuh tangan dengan menggunakan sabun dan air yang bersih selepas menggunakan tandas, dan sebelum makan atau menyediakan makanan; dan berjumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda penyakit Polio selepas kembali daripada pelayaran.

Orang ramai yang ingin berkunjung ke negara-negara yang terjejas adalah dinasihati untuk menerima vaksin mencegah Polio di pusat-pusat suntikan, pada waktu pejabat.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada orang ramai jika perlu.

Bagi sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Healthline Kementerian Kesihatan melalui talian 145.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel