A+ A A-

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. - Tempat kerja dikenal pasti sebagai persekitaran yang memberikan impak yang amat penting kepada amalan penyusuan susu ibu (PSI) dalam kalangan ibu-ibu bekerja. Justeru itu, Kementerian Kesihatan melalui Taskforce Pemakanan Ibu, Anak Damit dan Kanak-Kanak Kecil (Maternal, Infant & Young Child Nutrition (MIYCN) Taskforce) telah pun memulakan Jerayawara Amalan PSI dan Pekerjaan sempena PSI Sedunia 2015 yang diadakan di sektor awam dan swasta.

Setakat ini, jerayawara ini telah pun diadakan dengan jayanya di kedua-dua buah kementerian, iaitu di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan pada 10 November 2015 lepas dan di Kementerian Perhubungan pada 11 November 2015 yang lalu.

Antara matlamat utama jerayawara ini diadakan ialah bagi memberi pengetahuan dan kesedaran akan manfaat penyusuan susu ibu termasuklah produktiviti, jaminan pendapatan keluarga dan pekerjaan, kesihatan dan kesejahteraan ibu dan anak damit, manfaat kepada majikan dalam jangka masa panjang dan sumbangannya kepada kestabilan serta kesihatan sosioekonomi negara.

171115 PR MOH SUSU 3TAKLIMAT yang disampaikan oleh salah seorang Pegawai Kesihatan.

Jerayawara ini juga membincangkan tentang isu-isu yang sering dihadapi oleh ibu-ibu yang bekerja seperti mengekalkan kuantiti susu ibu dan cara penyimpanan perahan air susu ibu di tempat kerja.

Adapun objektif jerayawara ini diadakan termasuklah merangsang sokongan dan tindakan  dari pelbagai sektor untuk membolehkan  ibu-ibu bekerja dalam memberikan dan mengekalkan PSI; mempromosi dan menggalakkan pihak majikan bersikap mesra ibu dan anak damit, serta mesra keluarga dan ibu bapa.
 Selain itu para majikan juga disarankan untuk mempermudahkan dan menyokong secara aktif ibu-ibu yang bekerja meneruskan PSI; memaklumkan kepada orang ramai mengenai dengan hak Perlindungan Materniti (Maternity Protection) yang terkini di peringkat global serta meningkatkan kesedaran tentang perlunya mengukuhkan peraturan-peraturan kebangsaan berkaitan cuti beranak dan pelaksanaannya; serta memperkukuhkan, mempermudahkan dan mempamerkan amalan-amalan terbaik yang menyokong dan membolehkan ibu-ibu bekerja dalam sektor tidak formal untuk memberikan PSI.

171115 PR MOH SUSU 1PESERTA-PESERTA yang mengikuti Jerayawara Penyusuan Susu Ibu yang diadakan di Kementerian Perhubungan.

Melalui dua jerayawara sebelum ini, rata-rata peserta taklimat berpendapat bahawa jerayawara ini sangat membantu dan menambahkan lagi pengetahuan dan menyokong sepenuhnya jerayawara ini dilanjutkan demi memberi pengetahuan tentang hak ibu bekerja yang menyusukan dan cara-cara mengekalkan air susu ibu agar tidak berkurangan setelah kembali bekerja.

171115 PR MOH SUSU 2ANTARA bahan pameran Jerayawara Penyusuan Susu Ibu.

Kementerian Kesihatan akan melaratkan jerayawara  ini sehingga ke tahun hadapan dan diharapkan agar ianya akan dapat mencapai seluruh warga ibu yang bekerja, bukan sahaja di sektor awam, malahan di sektor-sektor swasta.  

Inisiatif ini merupakan satu platform yang penting bagi pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan untuk mendekati para ibu yang bekerja dalam pemberian informasi mengenai hak materniti dan PSI dan seterusnya mempunyai komitmen yang tinggi dan serius dalam perihal perlindungan kesihatan ibu, anak damit dan kanak-kanak kecil.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel