A+ A A-

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Jabatan Perkhidmatan Pergigian mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menangani keperluan kesihatan mulut bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut yang berkesan, berkualiti dan mudah diperolehi secara saksama akan terus dipergiat kukuhkan terutamanya melalui aktiviti promosi kesihatan mulut dan pencegahan kerosakan gigi selaras dengan strategi Kementerian Kesihatan dalam Wawasan 2035.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil semasa berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Program Pemberusan Gigi Berfluorida Harian di Sekolah-Sekolah Rendah yang diselajurkan dengan Pelancaran Kajiselidik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2015 - 2017 bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

Tambahnya, matlamat status kesihatan mulut bagi Tahun 2035 adalah kanak-kanak berusia lima tahun mempunyai hanya satu bilah gigi yang berlubang atau hilang atau bertambal manakala kanak-kanak berusia 12 tahun tidak mempunyai gigi yang berlubang atau hilang atau bertambal.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah diungkayahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pergigian melalui Bahagian Promosi Kesihatan Mulut dan Bahagian Perkhidmatan Pergigian Sekolah-Sekolah dalam memberi pengetahuan dan kesedaran kepada kanak-kanak akan kepentingan penjagaan kesihatan mulut, termasuk Program Pemberusan Gigi Berfluorida Harian di Sekolah-Sekolah Rendah.

Anugerah Cemerlang Program Pemberusan Gigi Berfluorida Harian di Sekolah-Sekolah Rendah ini jelasnya, adalah merupakan inisiatif jabatan untuk mempertingkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan Program Pemberusan Gigi Berfluorida Harian di Sekolah-Sekolah Rendah ini.

Terdahulu itu, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila menjelaskan, kesihatan mulut merupakan komponen penting yang menyumbang kepada tahap kesihatan secara menyeluruh dan kesejahteraan seseorang individu kerana mulut yang sihat membolehkan kita menikmati makanan, bercakap dan bersosial tanpa kesakitan, ketidakselesaan dan rasa malu.

''Menurut World Dental Federation, dianggarkan 90 peratus daripada penduduk di seluruh dunia akan mengalami penyakit mulut dalam sepanjang kehidupan. Menurut World Health Organization, secara global, 60 ke 90 peratus dari penuntut-penuntut sekolah mempunyai karies gigi; 15 ke 20 peratus daripada orang dewasa berumur 35 hingga 44 tahun menghidapi penyakit gusi yang teruk yang boleh mengakibatkan kehilangan gigi; dan kira-kira 30 peratus daripada orang yang berumur 65 hingga 74 tidak mempunyai gigi asli. Kebanyakan kes-kes penyakit mulut ini sebenarnya dapat dihindarkan melalui langkah-langkah pencegahan, pengesanan dan rawatan yang berkesan,'' ujarnya lagi.

Faktor risiko utama yang mengakibatkan penyakit mulut jelasnya, ialah penjagaan kebersihan mulut yang tidak memuaskan, penggunaan tembakau serta pengambilan pemakanan yang mengandungi kandungan lemak, garam dan gula yang tinggi, yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik tidak berjangkit termasuk penyakit mulut.

Bebanan penyakit mulut yang tinggi terutama dalam kalangan dewasa katanya, menyebabkan banyak permintaan untuk perkhidmatan pemulihan atau restoratif yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Langkah utama bagi pencegahan dan penjagaan kesihatan mulut yang telah dikenal pasti tambahnya, sangat penting dan efektif ialah di peringkat individu, iaitu dengan memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida; menghadkan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi gula dan menjalani pemeriksaan pergigian setahun sekali atau sepertimana yang dinasihatkan oleh Doktor Gigi atau Jururawat Pergigian.

Ini jelasnya, termasuklah kepada ibu-ibu untuk memberikan penyusuan susu ibu sebagai pemakanan yang terbaik dan lengkap bagi anak-anak, apatah lagi dapat mengelakkan dari penggunaan botol untuk menyusu, yang jika digunakan secara berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan gigi kepada anak-anak damit dan boleh membawa kepada susunan gigi yang tidak teratur.

Oleh itu katanya, ibu bapa dan penjaga berperanan penting dan bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka memberus gigi dengan sempurna secara rutin.

Beliau menyarankan kepada orang ramai untuk memanfaatkan perkhidmatan pergigian yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di hospital-hospital serta di pusat-pusat kesihatan di negara ini.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel