A+ A A-

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Jun. - Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Republik Korea pada masa ini sedang mengalami wabak Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) yang telah dikenal pasti berpunca dari seorang warga Korea yang telah melancong ke Timur Tengah.

Sehingga 10 Jun 2015, sebanyak 108 kes MERS-CoV telah disahkan di negara tersebut yang mana sembilan daripadanya telah dilaporkan meninggal dunia.

Setakat ini, semua kes MERS-CoV yang telah dilaporkan di seluruh dunia didapati berlaku di Timur Tengah atau kes-kes tersebut telah didapati melakukan perjalanan ke Timur Tengah. Sehingga 10 Jun 2015, sebanyak 1,271 kes MERS-CoV telah dilaporkan di 25 buah negara dengan sekurang-kurangnya 453 kematian. Lebih 85 peratus daripada kes-kes tersebut telah dilaporkan di Arab Saudi. Walau bagaimanapun, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan ke negara-negara yang terjejas.

Jangkitan MERS-CoV boleh menyebabkan tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam selesema biasa seperti demam panas 38 degree Celsius atau lebih, batuk dan sesak atau kesukaran bernafas.

Kajian telah menunjukkan bahawa kebanyakan kes-kes yang dijangkiti virus MERS-CoV adalah lebih serius dalam kalangan mereka yang dikategorikan di dalam kumpulan yang berisiko tinggi. Kumpulan berisiko tinggi termasuklah orang-orang tua, ibu-ibu mengandung, kanak-kanak dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, kencing manis, kanser serta kurang daya tahan (immunodeficiency).

Pada ketika ini, belum lagi ada rawatan khusus ataupun vaksin untuk mencegah jangkitan MERS-CoV. Walau bagaimanapun, bakal-bakal jemaah haji dan umrah dan sesiapa yang akan mengunjungi negara-negara di Timur Tengah dan Republik Korea adalah dinasihatkan untuk berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan pengawalan jangkitan penyakit seperti berikut iaitu mendapatkan suntikan seperti vaksin influenza (dan vaksin meningitis, khusus bagi jemaah haji dan umrah) sekurang-kurangnya dua minggu sebelum melakukan perjalanan dan  mengelakkan dari mengunjungi pasar atau ladang haiwan apabila berada di negara-negara yang terjejas. Ini termasuklah mengelakkan dari membuat lawatan ke ladang-ladang unta, menyentuh unta dan meminum susu unta yang belum diproses.

Di samping itu, pemeriksaan dan rawatan doktor perlu didapatkan segera sekiranya terdapat tanda-tanda demam dan batuk sama ada semasa berada di luar negeri atau dalam tempoh masa 14 hari selepas melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dan mengelakkan diri dari mendampingi orang yang mengalami demam selesema.

Di samping itu, orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri dengan baik, seperti mengamalkan mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembersih tangan (hand sanitizer) atau dengan sabun dan air yang bersih terutama sekali selepas menggunakan tandas, sebelum makan, dan ketika menyediakan makanan, menutup mulut dengan tisu apabila batuk atau bersin dan mengelakkan dari menyentuh mata, hidung dan mulut.

Setakat ini, tidak ada kes jangkitan MERS-CoV telah dikesan di Negara Brunei Darussalam. Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan wabak jangkitan penyakit ini dan memaklumkan sebarang perkembangan kepada orang ramai dari masa ke masa, jika diperlukan. Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai jangkitan MERS-CoV, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau menghubungi Healthline Kementerian Kesihatan melalui  talian 145 atau e-mel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel