A+ A A-

Promosi negara melalui karya pelukis tanah air

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Januari. - Pameran Bandar Seri Begawan: Bandar Raya Kebudayaan ASEAN diharap dapat mempromosi Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan sesuai dengan pengisytiharan Bandar Seri Begawan sebagai Bandaraya Kebudayaan ASEAN (ASEAN City of Culture) pada 24 Ogos 2016 sehingga April 2018 nanti.

Pameran yang diadakan di Galeri Seni, Dermaga Diraja, ibu negara di sini turut mempamerkan kegiatan-kegiatan kesenian dan kebudayaan yang ada di Bandar Seri Begawan serta pameran lukisan-lukisan dari koleksi Jabatan Muzium-Muzium Brunei dan artis-artis negara.

Lukisan-lukisan tersebut dikaryakan bersama pelukis-pelukis tempatan dari Rainforest Gallery dan juga dari negara China yang dihasilkan semasa lawatan mereka ke Daerah Temburong pada November lepas.

Keindahan alam semula jadi dan persekitaran Daerah Temburong dapat dilihat dengan jelas pada lukisan-lukisan yang dipamerkan.

Selain itu, sebanyak 51 buah lukisan lagi dipamerkan hasil seni pelukis-pelukis Jabatan Muzium-Muzium Brunei turut mengisi ruang pameran sempena Majlis Pelancaran Pakej Pelancongan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer Warisan Negara berlangsung petang tadi.

Hasil karya yang dipamerkan termasuk panorama keindahan Kampong Ayer yang menjadi mercu kebanggaan negara ini disamping pembangunan Bandar, sosio-budaya, potret kerabat Diraja Brunei dan alam semula jadi.

Manakala bahan media yang digunakan adalah daripada cat air, akrilik, pensil dan pensil warna serta bahantara campuran dan semua lukisan yang dipamerkan ini adalah untuk dijual.

Pameran lukisan itu dibukakan kepada orang ramai sehingga 31 Januari ini dan waktu lawatan ialah hari Sabtu hingga Khamis bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala hari Jumaat dari jam 9.00 hingga 11.30 pagi dan disambung semula dari 2.30 hingga 5.00 petang.

Turut dipamerkan ialah mengenai Jejak warisan Brunei Darussalam yang merupakan eksplorasi budaya melalui penerokaan jejak warisan monumen-monumen yang diwartakan di bawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967, Semakan 1984, 1991 dan 2002.

Juga terkandung semasa pameran mengenai antara lokasi Jejak Warisan Brunei Darussalam di sekitar Bandar Seri Begawan, iaitu Bangunan Setiausaha Kerajaan, Bangunan Kastam dan Eksais Diraja, Bekas Bangunan Lapau Lama, Gerbang Perpuspaan 1968, Tugu Jam, Bangunan Dewan Majlis dan Masjid Omar 'Ali Saifuddien dan Bahtera Mahligai.

Setiap monumen yang diwartakan di Bandar Seri Begawan telah menyaksikan pelbagai perkembangan kebudayaan dan kesenian di mana Sungai Brunei itu, menandakan kepentingan politik, ekonomi dan sosiobudaya negara.

Terdapat 36 jumlah tapak-tapak arkeologi dan monumen di seluruh Negara Brunei Darussalam telah diisytiharkan sebagai tapak-tapak yang diwartakan di bawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967, Semakan 1984, 1991 dan 2002. Di dalam jumlah tersebut termasuk tapak-tapak arkeologi, bangunan-bangunan bersejarah, Makam-Makam Diraja dan monumen.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel