A+ A A-

Memperkasa pengguna menjadi SmartConsumer

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 Januari. - Bahagian Hal Ehwal Pengguna (CAD), Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri pada 28 November 2016 telah melancarkan Aplikasi PenggunaBijak atau SmartConsumer bersempena Acara Brunei Salebration (BSb) 2016.

Tujuan utama aplikasi mudah alih tersebut adalah bagi memperkasa para pengguna untuk menjadi pengguna bijak dengan menyediakan platform perbandingan harga, serta memperkenalkan undang-undang yang berkaitan dengan hal ehwal pengguna dan menyediakan platform bagi membuat aduan.

Aplikasi ini adalah di atas usaha dan bimbingan Timbalan Menteri (Korporat, PENGGERAK dan Ekonomi) Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud bagi memudahkan pengguna-pengguna di negara ini untuk mendapatkan maklumat hal ehwal pengguna yang mengikut trend pada masa ini, 'with a click of a button', melalui telefon bimbit.

Aplikasi ini juga adalah selaras dengan misi CAD, iaitu untuk membangunkan budaya pengguna yang bermaklumat dan memperkasa persekitaran perniagaan yang sihat dan adil serta untuk melindungi pengguna melalui undang-undang dan penguatkuasaan yang berkesan terhadap amalan perniagaan yang tidak wajar.

100117 JPKE1

Fungsi utama aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau SmartConsumer ini adalah, untuk membolehkan para pengguna membuat tinjauan dan perbandingan harga barangan keperluan harian di mana aplikasi berkenaan turut menyediakan maklumat mengenai harga barangan yang tersenarai di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 di samping mengandungi bahan maklumat pendidikan mengenai perlindungan pengguna dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kawalan harga.

Ciri-ciri utama aplikasi mudah alih adalah a) Seksyen 'Price Comparison' yang membolehkan para pengguna membuat perbandingan harga keperluan harian secara mingguan, seperti produk tenusu, makanan dalam tin, minyak masak dan lain-lain, yang dimaklumkan kepada CAD secara sukarela oleh para peniaga.

b) Seksyen Jualan dan Diskaun yang mengongsikan aktiviti-aktiviti jualan yang sedang diadakan di negara ini. Ini adalah selaras dengan inisiatif kerajaan untuk mendukung orang ramai untuk berbelanja di negara sendiri bagi meningkatkan 'domestic consumption' dan pada masa yang sama menggalakkan syarikat perniagaan untuk ikut serta dalam acara jualan harga murah; c) Seksyen Harga Kereta yang membolehkan para pengguna menyemak harga maksimum pameran kereta yang telah diluluskan oleh JPKE.

d) Bahan maklumat pendidikan mengenai perlindungan pengguna dan kawalan harga, serta jenis-jenis barangan yang dikawal harga dan maklumat harga barangan terkawal dan

e) Seksyen 'Lodge a Complaint' sebagai platform kepada para pengguna untuk menghadapkan aduan berkaitan dengan amalan-amalan perniagaan tidak wajar dan perkara-perkara berkaitan dengan kawalan harga. Platform aduan ini membolehkan orang ramai mendapatkan kemudahan 'consumer redress' dengan memberikan maklumat relevan seperti dokumen atau gambar termasuk butiran perhubungan terus ke CAD.

Manfaat aplikasi tersebut kepada orang ramai di antaranya dapat membuat perbandingan harga barangan asas secara cepat dan tepat, untuk membuat pilihan bijak dalam perbelanjaan harian mereka; Mendapatkan maklumat syarikat-syarikat seperti lokasi cawangan yang mengadakan acara harga jualan murah; Mendapatkan informasi 'showroom price' kenderaan bermotor penumpang dengan tepat dan menyeluruh termasuk kuasa padu, jenis kenderaan dan tarikh mansuh penetapan harga tersebut; Mendapatkan maklumat tentang skop undang-undang Perlindungan Pengguna dan Kawalan Harga bagi memudahkan pengguna memahami bidang kuasa CAD, hak-hak sebagai pengguna, jenis-jenis amalan yang tidak wajar, jenis-jenis barangan yang dikawal harga dan maklumat harga barangan terkawal dan Membolehkan para pengguna menghadapkan aduan berkaitan dengan amalan-amalan perniagaan tidak wajar dan perkara-perkara berkaitan dengan kawalan harga terus ke CAD.

Di antara ekspektasi-ekspektasi JPKE melalui CAD adalah seperti berikut iaitu:

a) Aplikasi PenggunaBijak atau SmartConsumer diharap boleh memupuk konsep 'Pengguna Bijak' dalam kehidupan seharian pengguna serta membangunkan budaya pengguna yang bermaklumat melalui informasi yang terkandung dalam aplikasi tersebut.

b) Aplikasi PenggunaBijak atau SmartConsumer juga diharap boleh membantu untuk melindungi pengguna daripada amalan perniagaan yang tidak wajar dan seterusnya memperkasa persekitaran perniagaan yang sihat dan adil melalui pembarigaan undang-undang dan penguatkuasaan yang berkesan.

Menyentuh mengenai aduan pengguna yang disebar luas melalui media sosial secara viral (WhatsApp / Facebook) pula, pihak JPKE menasihatkan orang ramai yang mempunyai keraguan atau pertanyaan untuk berhubung terus ke CAD menggunakan aplikasi PenggunaBijak atau SmartConsumer, di mana pengguna boleh memuat naik gambar atau dokumen sokongan secara mudah.

Selain daripada Mobile Apps yang disediakan, orang ramai juga boleh menghubungi CAD melalui saluran aduan tertentu pada waktu pejabat sama ada melalui talian telefon +673 2230223; e-mel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. ; melalui laman sesawang Facebook www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE atau terus ke Pejabat CAD di CAD, Tingkat 3, West Wing, Bilik 3.06, JPKE, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping, BA1131, Negara Brunei Darussalam.

100117 JPKE2

Pihak JPKE juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarluaskan isu-isu hal ehwal pengguna yang belum tentu kesahihan maklumat tersebut melalui media sosial secara viral.

Jika pengguna berhadapan dengan amalan tidak wajar, mereka dinasihatkan untuk terlebih dahulu menghubungi peniaga berserta dokumen-dokumen sokongan seperti resit, untuk menerangkan masalah yang dihadapi dan membuat perundingan bagi mencapai hasil yang memuaskan. Kebanyakan isu boleh diselesaikan pada peringkat ini.

Dalam menangani aduan pengguna, CAD akan membuat perundingan dengan peniaga bagi pihak pengguna. Jika perundingan tidak berhasil, CAD akan mengadakan pengantaraan yang melibatkan pengguna dan peniaga di hadapan wakil bahagian sebagai perantara.

Jika aduan masih belum dapat diselesaikan, pengguna boleh membuat tuntutan remedi sivil di bawah Tribunal Tuntutan Kecil atau ke mahkamah.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel