A+ A A-

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Januari. - Jabatan Penerangan, melalui Unit Hubungan Masyarakat secara berterusan mendekati dan berigakan maklumat kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui institusi penghulu dan ketua kampung dalam siri program bersua muka atau turut dikenali dengan 'personal contact'.

Pada program berkenaan para pegawai dan kakitangan dari Jabatan Penerangan berpeluang untuk mendengarkan permasalahan dan cadangan-cadangan daripada rakyat dan penduduk di kawasan berkenaan yang seterusnya akan disalurkan kepada agensi-agensi dalam kerajaan yang berkaitan bagi penilaian dan tindakan selanjutnya.

Di samping itu, peluang bersua muka dalam suasana muhibah ini dapat dijadikan wadah untuk menyampaikan maklumat-maklumat terkini dan usaha-usaha kerajaan kepada pemimpin akar umbi untuk dikongsikan bersama penduduk kampung.

Terdahulu Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad mengetuai rombongan seramai sembilan pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan berkunjung ke kediaman Ketua Kampung Kota Batu, Awang Haji Damit bin Haji Laidin yang terletak di Mukim Kota Batu di sini.

Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan turut dihadiri oleh Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kota Batu, MPK Pintu Malim dan MPK Sungai Lampai.

Semasa program itu berlangsung, Ketua Kampung Kota Batu yang merupakan Pemangku Ketua Kampung Pintu Malim dan Kampung Sungai Lampai bersama-sama dengan Ahli-ahli MPK turut mengkongsikan beberapa pandangan antaranya isu-isu berkait rapat dengan alam sekitar termasuk kebersihan serta isu-isu yang berhubungkait dengan hal ehwal kesejahteraan dan masalah sosial.

170117 FO AM 03

PEMANGKU Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Kampung Kota Batu, Awang Haji Damit bin Haji Maidin (kanan) sejurus selepas selesai Program Sua Muka

Dalam masa yang sama pihak jabatan turut menyentuh mengenai penggunaan bendera negara, kain rentang (banner) dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional serta bahan-bahan bacaan mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan sendiri.

Turut disentuh oleh beliau ialah mengenai Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) yang merupakan salah satu landasan yang boleh disertai oleh penduduk kampung secara berkumpulan.

Program PMB selama dua hari itu dihasratkan dapat menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan siri lawatan.

Pada perjumpaan tersebut turut disentuh ialah memperkenalkan dan membarigakan akhbar rasmi kerajaan Pelita Brunei versi e-paper dan dalam talian (online) yang disampaikan oleh wakil dari Unit Perhubungan Awam, Pengiran Arsul bin Pengiran Haji Abdul Momin.

Turut sama dibarigakan semasa program itu ialah penglibatan jabatan dalam membarigakan maklumat secara dalam talian (online) dimana rakyat dan penduduk boleh mengikuti perkembangan semasa di akaun Facebook Jabatan Penerangan iaitu Jabatan Penerangan Jabatan Perdana Menteri, akaun Twitter : @infodept_bn dan akaun Instagram : @infodept.bn yang dikemaskini setiap hari.

Di samping berkongsi dan bertukar-tukar maklumat, rombongan dari Jabatan Penerangan turut dibawa meninjau ke salah satu destinasi menarik yang terletak di Kampung Pintu Malim yang diusahakan oleh anak tempatan bagi penggemar makanan soto.

Kampung Kota Batu merupakan sebuah kampung yang terletak di Mukim Kota Batu di Daerah Brunei dan Muara iaitu sekitar empat kilometer dari ibu negara, Bandar Seri Begawan.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel