A+ A A-

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Januari. - Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) terus berusaha untuk meningkatkan lagi ekonomi negara khususnya melalui bidang pertanian, ternakan dan agrimakanan melalui pelbagai projek kerjasama bersama pihak yang berkenaan dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, petang tadi berlangsung Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi Kerjasama dalam Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan acara penandatanganan yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, di sini ialah Setiausaha Tetap, KSSUP, Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Menandatangani memorandum bagi pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ialah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah dan disaksikan oleh Penolong Pengarah Pertanian, Dayang Fuziah binti Haji Hamdan.

Sementara itu, MARDI diwakili oleh Ketua Pengarah MARDI, Yang Berbahagia Datuk Dr. Sharif bin Haron dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, MARDI, Dr. Zainal Abidin bin Hassan.

Juga hadir pada majlis penandatanganan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman, Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah di bawah KSSUP, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Penandatanganan memorandum persefahaman ini adalah bertujuan untuk menggalakkan kerjasama saintifik dan pendidikan dalam bidang pertanian dan agrimakanan untuk faedah bersama.

Memorandum persefahaman ini meliputi kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tanaman, ternakan dan agrimakanan; pertukaran maklumat dan kertas kajian; program/projek penyelidikan khas jangka pendek; latihan, kursus-kursus pendek dan penempatan kerja dalam bidang tanaman, ternakan dan agrimakanan; penghantaran pakar, saintis atau juruteknik dalam bidang yang bersesuaian; menganjurkan mesyuarat teknikal; serta gunasama dalam penggunaan peralatan dan perkakas makmal dan ladang.

Dengan kerjasama ini adalah diharapkan ia dapat meningkatkan sumbangan industri pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dengan peningkatan pengeluaran pertanian dan produktiviti melalui penggunaan teknologi tinggi dan peningkatan kemahiran pegawai dan kakitangan jabatan serta para peladang dan seterusnya berupaya meneroka pasaran eksport.

Sementara itu, Yang Berbahagia Datuk Dr. Sharif bin Haron ketika ditemui berkata, perjanjian ini akan memberikan peluang untuk bertukar pendapat dan juga teknologi yang mana antara kerjasama yang telah dibincangkan dan persetujui ialah dari segi benih padi.

Jelas Yang Berbahagia Datuk, buat masa ini benih dari MARDI telah ditanam di Brunei dan akan kembangkan kepada benda-benda lain yang bersesuaian dengan Negara Brunei Darussalam.

"Kita juga akan membincangkan mengenai kemungkinan untuk kita berbincang dan mengadakan penyelidikan bersama antaranya ialah bagaimana untuk kita menambahbaik benih Laila yang ada sekarang ini, bagaimana kita boleh meningkatkan lagi pengeluarannya supaya dapat memenuhi keperluan Brunei dimana keperluannya adalah untuk meningkatkan keluaran padi melebihi sepuluh tan sehektar," ujar Yang Berbahagia Datuk.

Antara yang lain tambah Yang Berbahagia Datuk, juga akan mengadakan kursus di Brunei supaya kita dapat membantu pegawai-pegawai petanian di Brunei, menggalakkan program-program yang telah diadakan di MARDI yang sesuai dan boleh digunakan di Brunei seperti penglibatan orang muda dapat digalakkan untuk memulakan perniagaan dalam pertanian.

Yang Berbahagia Datuk menambah, kita melihat potensi penyelidikan dan pembangunan pertanian di Brunei ini begitu besar dan Brunei juga sedang bergerak untuk menghasilkan/eksport pertanian dan di MARDI, Malaysia mempunyai teknologi yang bersesuaian yang mungkin dapat membantu dari segi untuk mencapai sasaran Brunei dalam pertanian.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel