A+ A A-

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Jun. - Bulan Ramadan jelas bukan sebagai penghalang bagi murid-murid serta pelajar-pelajar menumpukan perhatian dalam pembelajaran atau mengurangi ilmu yang dituntut malah ianya memberi banyak manfaat serta pengajarannya di bulan yang mulia ini.

Murid-murid serta pelajar-pelajar sekolah hari ini memulakan persekolahan mereka di bulan Ramadan yang setentunya memberi sedikit kelainan dalam waktu pembelajaran mereka.

Namun waktu persekolahan yang dikurangkan dari kebiasaannya itu memberi kesempatan serta kemudahan kepada para murid dan pelajar untuk sama-sama menjalani ibadah puasa.

Dalam tinjauan ke salah sebuah sekolah rendah mendapati murid-murid masih aktif menjalani persekolahan sama ada waktu pembelajaran mahupun menjalani aktiviti-aktiviti.

FILA1 080616 RENDAH

PEMANGKU Guru Besar Sekolah Rendah Dato Marsal, Dayangku Suzanawaty binti Pengiran Osman, Dayang Nur Khairiah binti Sukardi (kanan) dan Dayang Basirah Fadzilah binti Mukri (kiri) ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Menurut Pemangku Guru Besar, Sekolah Rendah Dato Marsal, Dayangku Suzanawaty binti Pengiran Osman menjelaskan, perbezaan waktu persekolahan semasa bulan puasa ialah waktu belajar dipendekkan iaitu bermula jam 7.45 hingga 11.40 pagi bagi Tahun 1 hingga 6 manakala bermula jam 8.00 hingga 11.20 pagi bagi pra sekolah.

Jelasnya, mengikut data-data yang sebelumnya, alhamdulillah para murid tidak mempunyai masalah dalam menjalani persekolahan di musim bulan Ramadan dari segi kedatangan mahupun pembelajaran.

Beliau berkata, Ramadan bukan salah satu sebab kanak-kanak itu tidak dapat menumpukan perhatiannya namun apa yang akan ditanamkan kepada anak-anak itu adalah walaupun dalam keadaan lapar tetapi kita tetap jua menjalankan aktiviti seperti biasa kerana bulan Ramadan ini penuh manfaatnya.

Bagi Dayang Nur Khairiah binti Sukardi yang menuntut di Tahun 4 berkata, pengalaman bersekolah musim bulan Ramadan sangat seronok, tiada masalah baginya kerana telah terbiasa bersekolah pada bulan Ramadan.

FILA2 080616 RENDAH

SUASANA pembelajaran semasa bulan Ramadan di Sekolah Rendah Dato Marsal.

Jelasnya, waktu persekolahan dipendekkan dan dengan adanya masa yang terluang dihabiskan dengan mengulangkaji di rumah.

Menurutnya, bulan Ramadan sangat istimewa baginya kerana bulan ini bulan pengampunan bagi umat Islam di samping digalakkan untuk memperbanyakkan sedekah serta Tadarus.

Mula berpuasa ketika berumur 5 tahun, Dayang Basirah Fadzilah binti Mukri yang menuntut di Tahun 4 menjelaskan, merasa agak lemah dan lapar, tetapi dia tetap berusaha untuk mengambil perhatian dalam pembelajaran.

Apabila tamat jam persekolahan pula jelasnya, masa yang terluang dapat digunakan untuk berehat dan menghilangkan rasa keletihan dan mengantuk serta mengulangkaji mata pelajarannya.

Dengan pengurangan masa belajar di sekolah pada musim puasa ini memberi manfaat dan dengan ruang masa yang lebih panjang di rumah para pelajar akan dapat mengulangkaji buku pelajaran atau membuat kerja-kerja rumah selain memperbanyakkan amalan di bulan Ramadan.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel