A+ A A-

BERAKAS, Isnin, 25 April. - Kementerian Pendidikan melalui Jawatankuasa Forum Pendidikan Kebangsaan (FPK) sekali lagi menganjurkan FPK Ke-6 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

FPK pada kali ini meraikan seramai 178 peserta graduan Brunei Programme for School Senior Leaders (BPSSL) serta melibatkan konsultan-konsultan antarabangsa dari United Kingdom iaitu Maggie Farrar dan Dr. Coleen Jackson.

Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Awang Zaman bin Haji Gapar dalam ucapan alu-aluannya berkata, banyak perkara yang telah dicapai oleh Kementerian Pendidikan seperti perumusan sasaran untuk Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Peperiksaan Brunei Cambridge GCE 'O' Level selain penyusunan semula jabatan sekolah, di samping pembentukan konsep dan seterusnya pelaksanaan jabatan untuk sekolah-sekolah selain menerima pakai definisi Kualiti Pendidikan.

Sementara itu, Konsultan dari United Kingdom, Maggie Farrar dalam ucaptamanya memberikan penerangan tentang penggunaan BPSSL yang mana BPSSL adalah satu dokumen yang telah dicipta dan direka bentuk dengan kerjasama pemimpin-pemimpin sekolah tempatan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.

250416 HAMZAH7 FORUM

SALAH seorang konsultan dari United Kingdom yang dijemput pada Forum Pendidikan Kebangsaan tersebut.

BPSSL itu jelasnya, adalah bertepatan dengan Wawasan 2035 iaitu mempunyai 'Rakyat dan penduduk yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berjaya'.

Seramai 24 pemimpin sekolah diberikan kesempatan untuk membentangkan 'Cabaran Kepimpinan' mereka yang mana ia merupakan sebuah projek atau inisiatif pemimpin-pemimpin sekolah yang dijalankan ketika mengikuti BPSSL.

Pada penghujung forum berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga menyampaikan sijil penyertaan kepada 'coach' dan fasilitator BPSSL yang diselajurkan dengan penyampaian insentif kepada sekolah-sekolah yang telah mendapat pencapaian baik dalam Peperiksaan GCE 'O' Level bagi tahun 2015.

250416 HAMZAH4 FORUM

SEBAHAGIAN dari pemimpin-pemimpin sekolah yang menghadiri forum tersebut.

Forum bertujuan untuk memperkukuh dan mengasah pemimpin sekolah kepada kemahiran kepimpinan strategik bagi pengajaran dan perancangan yang berkesan serta bagaimana untuk menjadi seorang pengamal reflektif.

BPSSL yang telah dilancarkan pada Mac 2015 adalah merupakan kolaborasi di antara Kementerian Pendidikan dan National College for Teaching and Leadership (NCTL), Nottingham United Kingdom (yang pada masa ini dinaiktarafkan kepada Department of Education) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA) UBD yang mana antara objektifnya adalah untuk pembangunan kepimpinan sekolah yang fokus kepada pembaikan yang positif dalam kalangan anak-anak murid di Brunei Darussalam.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel