A+ A A-

TUNGKU, Khamis, 11 Februari. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan mengambil bahagian dalam Ekspo Pengajian Tinggi 2016 yang akan berlangsung di Dewan BRIDEX, Jerudong mulai 13 hingga 14 Februari 2016 nanti.

Sehubungan itu, UBD itu mengalu-alukan orang ramai untuk meneroka program-program pendidikan dan peluang akademik sebagai persediaan kepada suatu aliran baharu bagi bakal pelajar pada semester akan datang pada Julai 2016.

Semasa ekspo dua hari itu, UBD akan mengetengahkan Program Sarjana Muda GenNEXT, Program Discovery Year dan Inisiatif Keusahawanan serta peluang penyelidikan yang terdapat di universiti berkenaan.

Individu yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi digalakkan untuk berbincang dengan ketua program, ahli-ahli fakulti dan pelajar mengenai ekspektasi dan pengalaman akademik mereka pada ekspo itu nanti.

Orang ramai yang ingin mendaftar masuk ke UBD di bawah biasiswa kerajaan juga boleh menerima panduan mengenai aplikasi HECAS oleh Kementerian Pendidikan.

Program GenNEXT merupakan program perdana UBD yang direka untuk kecemerlangan pelajar mengikut gaya pembelajaran masing-masing.

Dengan mempunyai pendekatan dan transdisiplinari yang menyeluruh, program ini menyediakan fleksibiliti kepada pelajar untuk meneroka potensi mereka melalui pengalaman pembelajaran secara berdisiplin.

Program GenNEXT menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan, Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan.

Sementara individu yang berminat untuk mengikuti pengajian siswazah bolehlah memilih untuk menyertai program Sarjana secara Penyelidikan atau Kerja Kursus, dan kajian Ph.D dalam pelbagai bidang seperti Kajian Dasar, Kesihatan Awam, Geosains Petroleum, serta Pengurusan Alam Sekitar dan Kemanusiaan.

Mereka yang berminat untuk menyertai pengajian siswazah ini juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan kewangan melalui Biasiswa Penyelidikan Siswazah (GRS) pada ekspo berkenaan.

Semasa ekspo tersebut nanti, UBD juga akan mengadakan aktiviti di kampus, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan kehidupan pelajar melalui aktiviti-aktiviti serta program-programnya.

Di samping itu, pengunjung juga berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai UBD dan rangkaian aktivitinya yang menarik seperti yang dilaksanakan oleh Insititut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Fakulti Sains dan Faculty of Integrated Technologies seperti Simulasi Midwifery, Demonstrasi CPR, Prosedur Kemahiran Perubatan, Projek Pameran Penyelidikan, pemeriksaan kesihatan, pelancongan dan permainan.

Aktiviti-aktiviti tersebut akan bermula daripada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada kedua-dua hari berkenaan dan jadual penuh mengenai aktiviti-aktiviti di kampus itu boleh didapati di gerai UBD semasa Ekspo Pengajian Tinggi di BRIDEX berlangsung.

Sejak UBD meningkatkan usaha pengantarabangsaannya dan dikaitkan dengan universiti-universiti yang paling berprestij di dunia dalam pertukaran pelajar, UBD telah diletakkan sebagai universiti terulung di Asia untuk mobiliti pelajar di Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Ranking 2015 di mana UBD telah mencapai 'top' 25 dalam lima kategori dalam kedudukan QS 2015, selain kedudukan 10 teratas dalam tiga kategori.

Tambahan pula, UBD juga turut menduduki tempat pertama kedudukan dalam pertukaran pelajar 'outbound', menduduki tempat kedua dalam pertukaran pelajar 'inbound', menduduki tempat keenam bagi fakulti antarabangsa, menduduki tangga ke-14 bagi pelajar antarabangsa dan tangga ke-23 bagi nisbah pelajar fakulti.

Kejayaan yang ketara dalam kedudukan ini boleh dikaitkan dengan rangka kerja kurikulum yang inovatif; pertumbuhan pesat dalam penyelidikan; langkah-langkah pengambilan yang aktif dan fokus pembangunan Brunei pada akademik dan pentadbir.

Ekspo Pengajian Tinggi 2016 yang dianjurkan oleh Bahagian Biasiswa dan Bahagian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam ini juga akan turut menampilkan wakil-wakil dari pelbagai institusi kerajaan dan swasta tempatan, mempamerkan kepelbagaian program, serta mengemukakan peluang latihan profesional dan pendidikan tinggi untuk pelajar.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel