A+ A A-

MENUNGGU SALJI

Menunggu salji
seperti menunggu mutiara-mutiara dari langit,
namun tiada juga turun-turunnya,
sedang cucu-cucu ini tiada jemu-jemunya
terus bertanya, mana salji, mana salji
kami ingin bermain dengan salji.

Bermain dengan salji
memang igauan umum.
Kalau salji turun
itulah keseronokan,
terutamanya bagi kanak-kanak
seperti cucu-cucu kami ini.

Mereka tahu hanya seronok saja
cerita tentang seronok-seronokan,
tetapi kurang tahu tentang yang lain-lain,
tangan-tangan mereka dengan rakus ingin
memegang salji
kaki-kaki mereka dengan rakus ingin memijak
salji,
itulah puncak keseronokan.

Tetapi mereka tidak faham
salji juga seperti hujan,
jika ia lebat
risikonya adalah dahsyat
boleh mencetuskan huru-hara
dalam pelbagai bentuknya.

Ketika puisi ini ditulis,
Benua Eropah
sedang mengalami huru-hara
kerana salji turun dengan lebatnya
- menimpa -
benua tersebut.

Beberapa insiden serius dirakamkan :
beribu-ribu orang terjejas
bekalan elektrik putus
penduduk terperangkap
pelabuhan ditutup
penerbangan ditangguhkan.

Di Peranchis :
di wilayah Savoie
di kawasan pergunungan Alps
berbelas-belas ribu orang terperangkap
setelah salji, ya salji
turun dengan lebatnya.

Perkhidmatan feri
di pelabuhan Calais
(antara Peranchis dan Britain)
terpaksa ditangguhkan
kerana salji
dan angin kencang.

Hampir 2,300 orang
pendatang tanpa izin
di kawasan berhampiran pula
- terpaksa –
menahan kesejukan
sementara menunggukan
untuk dapat masuk ke Britain.

Di Jerman :
jalan-jalan licin,
juga akibat salji
yang menyebabkan sejumlah trak
terbabas teruk,
sehingga mencetuskan kesesakan.

Demikian sedikit gambaran
tentang akibat salji.
Tetapi ini semua cucu-cucu kami tidak tahu,
melainkan apa yang mereka tahu
cuma mahu :
bermain-main dengan salji.

ADI RUMI
The Dorchester, London.
28 Disember, 2014.


SEPERTI SAJA BUMI INI SUDAH
TIDAK TAHAN LAGI MENANGGUNG
DOSA MANUSIA
(Ilham setelah melihat dan membaca
kesan-kesan banjir besar yang melanda
beberapa tempat di dunia)

bumi ini
sudah tidak tahan lagi
untuk menanggung dosa manusia?
Lalu diangkatlah
do’a ke hadhrat Allah :
“Ya Allah,
sudah banyak benar
dosa hambaMu. Ia . . .
berlaku di darat
berlaku di laut
berlaku di udara
berlaku di mana-mana . . .
sehingga tidak ada lagi
satu ruangpun
yang tidak dicemari olehnya :
satu pencemaran total
bersifat raksaksa,
yang cukup melemaskan
kerana asakannya,
yang cukup menjijikkan
kerana busuknya,
yang cukup menyakitkan
kerana risikonya,
oh Tuhan!
Kami sudah tidak tahan lagi menanggungnya
tolonglah kami,
bersihkanlah kami
daripada noda ini
daripada dosa ini.”
Lalu –
dengan cara-Nya yang tersendiri
dan dengan ketentuan-Nya semata-mata
serta sesuai pula dengan hikmah-Nya,
maka diutus-Nyalah
bala tentera-Nya
yang bernama “hujan,”
untuk turun, ya turun
dengan mencurah-curah
dengan melimpah-limpah.
Nah, siapakah di antara kita
yang dapat menahannya?
Siapakah di antara kita
yang dapat menghalanginya?
Tidak ada! Tidak ada!
Ya, begitulah . . .
apa-apa jua
dari kalangan makhluk Allah Ta’ala
apabila ia dikehendaki
untuk menjadi tentera-Nya,
maka tidak akan ada lagi
sebarang lawan
yang boleh mengalahkannya,
datanglah pakar dari manapun
hadirkanlah teknologi yang
bagaimana canggih sekalipun,
tidak akan berjaya untuk
menyekat tentera Allah ini,
tidak akan mampu untuk
melawan tentera Allah ini
- walaupun –
ia cuma makhluk
yang bernama “hujan.”
Ya, inilah hakikat
yang kita lihat
yang kita saksikan,
bahawa hujan itu mampu menenggelamkan
bahawa hujan itu mampu menghanyutkan
bahawa hujan itu mampu memusnahkan.
Apakah kita boleh
berunding dengan hujan?
“Wahai hujan,
janganlah turun,
kalau mahu turun juga
janganlah turun menimpa kami,
kasihanilah kami,
kami ini rakyat miskin,
rumahpun ala kadar
tidak tahan diuji,
sekali saja dirempuh air
boleh tercabut
dan hanyut.
Oh, hujan!
Kami tidak tertanggung
bencana banjir,
bila banjir,
nanti dapur kami di mana?
Bahan makanan kami bagaimana?
Pakaian kami
alat perhubungan kami
tanaman kami
ternakan kami,
apa akan jadi semuanya?
Oh, hujan!
Janganlah turun menimpa kami,
jika mahu turun juga
turunlah setakat untuk keperluan saja
atau jika mahu turun juga selebat-lebatnya,
maka turunlah jauh-jauh di laut
maka turunlah jauh-jauh di gunung,
oh, hujan!
Kasihanilah kami.”
Begitu pendekatan orang miskin
begitu pendekatan rakyat yang lemah,
apa respons hujan?
Bolehkah hujan berjanji :
“Baiklah, rayuan ditimbangkan.”
Apa boleh begitu?
Tidak boleh! Hujan tidak boleh berjanji
kerana hujan tiada kuasa apa-apa,
hujan sekarang adalah “tentera”
ia tidak boleh bertindak
di luar perintah.
Perintah hanya satu dan mutlak :
turun!
Turun dan turun
untuk mencipta banjir.
Jadi, saudara!
Ternyata di sini,
yang penting itu selaku hamba
ialah cepat-cepat rujuk kepada-Nya
dengan bertaubat
dengan beristighfar.

ADI RUMI
Rumah Hidayah,
Brunei Darussalam,
01 Januari, 2015.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel