A+ A A-

Yakinlah dengan diri kita

PERUBAHAN sikap dan cara mengendalikan corak kehidupan, kini memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk peta laluan kehidupan ini.

Melakarkan peta laluan yang indah dan bijak bukan sahaja akan memberikan kesan yang begitu bermakna akan tetapi lebih jauh dari itu ia adalah merupakan mileage yang akan mengangkat keupayaan kita dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Hari ini belum terlambat rasanya kalau kita mahu mengorak langkah untuk berubah. Hari ini walau sedikit pembaharuan yang kita buat ia amat bermakna untuk menjadi aset di hari muka. Kerana apa yang berlaku hari ini adalah merupakan jelmaan yang akan tercipta di hari muka. Justeru hari ini, adalah merupakan masa depan kita. Jika kita pandai mencorakkannya, maka kita pasti akan mendapat hasil yang positif. Skop kehidupan yang sudah kita lalui memerlukan mind-set yang lebih ke hadapan.

Pandangan dan tunjuk arah ini, merupakan gerak kompas yang mengarah ke peta kehidupan yang lebih bertenaga dan berupaya tinggi.

Kita perlu melakar sesuatu yang akan menjadi tatapan dan role model generasi di hari muka. Kerana itu, hari ini adalah sangat penting dalam proses pembentukan dan penghasilan kualiti yang diperlukan.

Tahun yang kita tinggalkan telah juga mencorakkan dunia kehidupan kita, pelbagai perkara mempengaruhi dan mencorakkan daya fikir, cara kehidupan, perubahan sosial dan bermacam lagi. Hambatan semua ini tidak dapat kita ketepikan begitu sahaja, kerana ia menjadikan kita sebagai pemain yang menggerakkan naluri dan skop perubahan sedemikian. Ramai yang tewas, dan tidak kurang juga yang berada di landasan kejayaan. Masing-masing melaluinya dengan cara dan pendekatan sendiri. Namun matlamat dari keadaan sedemikian tidak sedikit yang menjadikannya sebagai wadah untuk membina suatu kehidupan yang berjaya dan cemerlang.

Banyak perubahan yang bukan sedikit mengajak kita untuk berfikir secara mendalam, tentang bagaimana kita boleh turut serta dan bagaimana kita boleh berperanan dalam setiap arus dan gelombang perubahan yang berlaku. Muhasabahlah diri agar tidak tewas dalam pertarungan. Pandai-pandai kita menempatkan kehidupan agar ia berada di landasan yang betul. Kerana salah satu dari kelemahan dan juga halangan untuk kita meningkat ialah apabila kesalahan yang sama, menjadi pakaian dan piawaian kehidupan kita. Kita perlu memahami kenapa perubahan berlaku, apa bentuk dan nilainya. Bila kita mampu untuk memahami dan mendalami setiap perubahan, baru kita boleh mengorak langkah dengan lebih teliti.

Mencorakkan masa depan mesti berlaku pada hari ini.

Jika hari ini masih seperti semalam, bermakna kita belum berubah. Perubahan mesti berlaku dalam setiap diri kita, ini lah yang akan menentukan pencorakan kehidupan yang lebih proaktif dan dinamik. Namun perubahan tidak boleh dibiarkan berlaku secara sendirian tanpa ada yang mendorong dan mengawal pergolakannya. Perubahan yang tidak dikawal dan didorong oleh nilai-nilai murni, boleh saja mengakibatkan penghasilan yang hambar.

Cubalah kita menoleh ke belakang dan merenungkan apakah ia ada di dalam diri kita, sepanjang laluan kehidupan yang semakin mula melangkah jauh ini. Apa pun yang sudah berlaku itu, perlu kita jadikan sukat-sukat supaya langkah kita yang seterusnya ini, dapat dijadikan sebagai sandaran yang menyumbang ke arah laluan kehidupan yang menarik. Jika kita mahu hari ini sebagai hari depan kita, ia perlu kepada modal. Bagaikan perniagaan yang memerlukan keuntungan, ia perlu kepada kemahiran, kecekapan, ketinggian ilmu pengetahuan, daya fikir yang jauh ke hadapan dan mempunyai nilai diri yang berkualiti tinggi. Kita juga perlu berani menjadi peneroka kehidupan, agar semakin jauh kita melangkah, sejauh itulah juga kita akan mengisikan perubahan yang dilalui dengan nilai-nilai dan kualiti yang kita ada.

Jika rendah yang kita miliki, tahap pencapaiannya juga akan terhasil rendah, jika sederhana yang mampu kita lakukan, tahap sederhanalah yang akan terbentuk, namun jika kita mampu mewujudkan kecemerlangan, ketinggian nilai lah yang akan menjadi elemen pengangkat diri. Itulah betapa pentingnya sikap dan cara kita membentuk diri, untuk menghasilkan end-product.
Inilah juga merupakan sebahagian dari elemen yang boleh mendorong sikap dan cara kita ke arah peralihan yang lebih berwibawa. Setelah kesemua ini mampu kita jadikan sebagai pelantar diri, maka kita juga tidak boleh terlepas pandang akan nilai-nilai luhur pimpinan hidup beragama. Banyak mutiara yang amat berharga seandainya hidup kita ini kukuh dan mantap bersendikan agama. Nilai yang akan kita perolehi, tidak akan sama dengan nilai yang diwujudkan oleh mereka yang kosong dari pimpinan berugama. Justeru pembinaan diri kita tidak boleh terlepas dari nilai-nilai dan unsur-unsur murni keluhuran beragama.

Inilah yang menjadikan kita kebal menghadapi rintangan, malahan inilah yang menjadi kekuatan diri ke arah membina masa depan yang cemerlang.

Hari ini biar kita jadikan sebagai hari depan yang lebih cemerlang. Apa yang kita miliki masa kini biarlah menjadi bekalan dalam pengembaraan kehidupan kita seterusnya.

Gelombang dan arus gelora lautan kehidupan tidak dapat tidak pasti akan kita harungi, namun kita tidak mungkin akan tengelam jika bahtera kita kalis gelora dan gelombang kehidupan. Yakinlah bekal kita untuk hari depan ialah Keimanan dan takwa, kemahiran dan kecekapan diri, keberanian dan kemampuan berdaya saing dan akhirnya pengetahuan kita biar berkembang agar dapat menjadi layar bahtera kehidupan. Belia remaja apatah lagi yang memiliki pelbagai keilmuan dan kemahiran perlu bertindak secara tangkas dan tidak malas atau kalah oleh arus kehidupan yang tidak menjanjikan ruang pekerjaan yang mencukupi.

Memang jalannya agak rumit untuk ditempohi akan tetapi keberanian dan daya tahan diri yang mampu berdikari mungkin akan membawa keberhasilan yang menggalakkan.

Contohnya kenapa orang lain boleh buat yang bermula dari usaha kecil-kecilan, akhirnya mampu berkembang hingga kepada mewujudkan suatu gagasan niaga yang besar lagi kukuh. Apakah kita tidak mahu mencontohi, waktu belia remaja Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang gigih berusaha dan berniaga hingga membawa kepada hasil yang begitu cemerlang. Bukankah resepi yang dibawakan dan ditunjukkan oleh Baginda sudah mencukupi untuk dijadikan sebagai role model dan aset dalam bidang usaha niaga. Memang bukan semudah apa yang kita katakan tetapi ternyata kita perlu kepada perubahan dan anjakkan paradigma yang membawa kepada kejayaan.

Belia remaja lepasan pengajian tinggi adalah merupakan aset penting negara sebagai mekanisme yang akan menggerakkan dan penerus kemajuan masyarakat dan negara.

Dalam keadaan yang ada sekarang ini dan juga melihat kepada laluan yang semakin rumit, kita perlu merubah kepada membuka jalan yang bukan sahaja melebarkan ruang kerja akan tetapi akan mewujudkan satu keadaan bila mana kita mampu mewujudkan eksekutif muda yang gigih dan cemerlang.

Kita yakin perubahan, ketegasan, keberanian dan pemikiran yang proaktif sudah pasti akan menghasilkan generasi eksekutif muda yang berwibawa yang menyumbang kepada kemajuan negara keseluruhannya.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel