A+ A A-

Brunei : Era kemerosotan dan kebangkitan

Rate this item
(0 votes)

KEDATANGAN kuasakuasa Barat telah menyebabkan kemerosotan empayar dan pengaruh Brunei di Kepulauan Borneo. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana masih terus dapat mengekalkan status Brunei sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja (MIB) yang merdeka dan berdaulat dengan keluasan 2,226 batu persegi. Kita telah terhutang budi kepada generasi tua yang telah mengorbankan jiwa raga mereka untuk mempertahankan tradisi yang kita warisi dan miliki sehingga ke saat ini.

Dalam Abad Ke-18 dan Ke-19 Masihi, kedatangan kuasa-kuasa Barat telah menyebabkan satu demi satu wilayah Brunei di sekitar wilayah Borneo telah diambil dan dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat khususnya Inggeris dan Belanda, bertitik tolak dari Perjanjian Inggeris Belanda 1924. Di Sarawak pengembara Inggeris, James Brooke telah membuka pintu kepada penerokaan dan pertapakan kuasa Inggeris di Pulau Borneo sekitar tahun 1840-an. Keadaan politik yang tidak stabil telah memberi kesempatan untuk James Brooke membantu Sultan Brunei menundukkan sebuah pemberontakan di wilayah Sarawak.

Sebagai balasan, beliau dilantik menjadi gabenor dan bergelar 'Rajah' Sarawak seterusnya pengganti-pengganti beliau telah meluaskan kawasan pengaruh Dinasti Brooke di wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Sultan Brunei. Kemudian pada tahun 1846, Kapten Mundy telah mengambil Pulau Labuan dengan alasan sebagai pusat untuk membasmi kegiatan pelanun.

1 4 2017 PelitaBrunei PB 4 JANUARI 2017 Pelita11p1

Manakala di Utara Borneo, Syarikat Borneo Utara British sedang meluaskan penguasaannya di Timur Laut Borneo. Pada tahun 1888, Brunei menjadi sebuah negeri di bawah naungan Kerajaan British dengan mengekalkan kedaulatan dalam negerinya, tetapi dengan hal ehwal luar negeri di bawah kawalan British. Perjanjian ini ternyata tidak dapat mempertahankan hak kedaulatan Negeri Brunei terhadap wilayahnya misalnya pada tahun 1890 Limbang telah dirampas oleh Charles Brooke. Kekhuatiran akan kelenyapan negara MIB maka pada tahun 1906, Sultan Hashim Aqamaddin terpaksa menerima rancangan Kerajaan British untuk memperkenalkan Sistem Residen di Brunei. Secara tidak langsung sistem ini adalah suatu lagi dasar perluasan pengaruh British apabila kuasa eksekutif dipindahkan daripada Baginda Sultan kepada Residen British, yang menasihati baginda sultan dalam semua perkara, kecuali yang bersangkut-paut dengan hal ehwal agama Islam. Sistem Residen telah banyak membawa perubahan dan pembangunan kepada Brunei.

Meskipun pertapakan British membawa impak yang negatif, namun kita juga berterima kasih kepada Mc Arthur, residen pertama Brunei yang mencadangkan untuk membuat kemodenan dalam pentadbiran di Negara Brunei dan secara tidak langsung mengekalkan Sistem Pemerintahan Beraja.

Kemodenan dalam bidang pendidikan formal telah memberi impak kepada pertumbuhan semangat kebangsaan dalam kalangan generasi muda Brunei, di samping pengaruh dari negaranegara jiran yang bermula pada akhir tahun 1930-an khususnya selepas Perang Dunia Kedua. Seterusnya, Perang Dunia Kedua telah menyebabkan kehidupan di Brunei bertambah susah ibarat Pepatah Melayu 'sudah jatuh ditimpa tangga' atau 'keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya'. Begitulah nasib rakyat Brunei ketika itu.

Keadaan kehidupan dalam era peperangan penuh dengan penderitaan, kehancuran, kemusnahan, kemelaratan dan ketakutan.

Tentera Jepun telah mendarat di bumi Brunei kira-kira pukul 3.00 pagi pada 16 Disember 1941 iaitu di Kuala Belait, lebih kurang 10,000 Tentera Jepun mula bergerak keseluruhan Pulau Borneo. Di Kuala Belait, Jepun telah menawan Balai Polis, bangunan kerajaan dan Padang Minyak Shell Seria. Kemaraan Tentera Jepun ini telah dilaporkan ke Bandar Brunei melalui usaha dua orang pegawai polis melalui jalan pedalaman. Akhirnya, Tentera Jepun sampai ke Bandar Brunei di bawah seorang jeneral dan telah disambut oleh Sultan Ahmad Tajuddin di Istana Mahkota bersama Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien serta Encik Ibrahim bin Mohd. Jaafar (Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Perdana Manteri).

1 4 2017 PelitaBrunei PB 4 JANUARI 2017 Pelita11p2

Di Istana Mahkota telah berlangsung penandatanganan perjanjian penyerahan kuasa pemerintahan Negeri Brunei kepada Tentera Jepun. Dalam Zaman Pemerintahan Jepun, Brunei telah disatukan dengan wilayah Sarawak dan Sabah di bawah pimpinan seorang Gabenor, Mr. Kimura, di samping dibantu oleh pegawai tempatan Encik Ibrahim bin Mohd. Jaafar. Zaman Pendudukan Jepun meninggalkan titik-titik hitam dalam kehidupan rakyat Brunei, mereka sentiasa dalam ketakutan dan kesengsaraan terutama apabila berhadapan dengan Tentera Kempitai Jepun. Bahkan kebanyakan pegawai kerajaan telah diperintahkan secara paksa untuk menanam barang-barang makanan seperti ubi kayu, ubi manis dan sayur-sayuran. Malah ramai daripada mereka terpaksa bekerja sebagai buruh kasar untuk menebang pokok dan membersihkan hutan rimba di Berakas sebagai landasan kapal terbang. Keadaan kehidupan di Kampong Ayer adalah seperti kampung tidak berjalama kerana ada antara penghuninya berpindah ke daerah pedalaman untuk menyelamatkan diri daripada pengeboman Tentera Berikat.

Sultan Ahmad Tajuddin telah berpindah ke Tentaya, Daerah Limbang dan menetap seketika di rumah Pehin Dato Amar Setia Diraja Haji Kassim sehingga tamat perang. Manakala adinda baginda, Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien telah menyusur ke Ulu Sungai Brunei dan menetap di Kampung Kilanas sehingga pendaratan Tentera Australia di Pantai Muara pada tahun 1945.

Kesusahan hidup dalam Zaman Pendudukan Jepun telah memberi impak yang ketara terhadap kebangkitan semangat nasionalisme dalam kalangan cendekiawan Brunei untuk melepaskan diri daripada cengkaman kuasa British bagi mengembalikan kedaulatan Brunei. Semangat perjuangan mereka adalah untuk menegakkan semula status negara yang merdeka dan berdaulat bersandarkan konsep MIB. Kebanyakan golongan awal Pengasas Pergerakan Nasionlisme Brunei adalah terdiri daripada anak-anak tempatan yang mendapat pendidikan dari Malaya (Semenanjung Tanah Melayu) iaitu dari SITC Tanjung Malim dan Kolej Kuala Kangsar Perak.

Perjuangan untuk mengembalikan kedaulatan Brunei ini telah mendapat sokongan daripada Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien dan juga Pengiran Bendahara Omar 'Ali Saifuddien. (Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien). Gambaran dan kesusahan hidup pada Zaman Pendudukan Jepun ini telah diceritakan dalam karya hasil H. M Salleh yang bertajuk 'Pemimpin Tunangan Bangsa'.

Bagaimanapun, buku ini telah diharamkan pengedarannya oleh pihak British kerana mempunyai unsur-unsur membangkitkan semangat kebangsaan menentang penjajah.

Pendudukan Jepun memberi impak yang penting dalam kebangkitan semangat kebangsaan Brunei yang dipengaruhi oleh pergerakan nasionalisme negara-negara jiran yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing daripada tangan penjajah. Kesan pendudukan antara tahun 1941 hingga 1945 telah memberi pengalaman pahit bukan saja psikologi bahkan juga kesusahan, penderitaan dan kehancuran dalam aspek sosioekonomi dan politik dalam kehidupan masyarakat.

Akhirnya, lahirlah Kesatuan Melayu Brunei dan Barisan Pemuda (BARIP) yang menjadi pelopor dan barisan depan kepada Perjuangan Nasionalisme Brunei dalam era selepas Perang Dunia Kedua untuk mendapatkan kembali kedaulatan Negeri Brunei. Antara tokoh penting yang menggerakkan BARIP pada masa itu ialah H. M. Salleh dan P. Y. Yang mendapat pendidikan dari SITC, Tanjung Malim, Perak.

Lantaran itu, kita perlu menghargai perjuangan generasi tua masa lalu dalam menempuhi liku-liku hidup yang penuh dengan cabaran dan kesusahan dalam mempertahankan dan mengembalikan status negara MIB. Kita hendaklah sentiasa bersyukur pada Allah Subhanahu Wata'ala kerana masih memiliki warisan yang mereka telah tinggalkan serta terus kita nikmati pada masa kini. Ia adalah merupakan cara hidup masyarakat Brunei dan menjadi sumber kesejahteraan, kemakmuran dan keamanan di bumi yang bertuah ini. Ini jelas sebagaimana titah Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam:

''Kita semua wajiblah bersyukur kerana dapat menikmati keadaan aman dan makmur yang berterusan di negara ini, lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang sentiasa mengalami pelbagai cabaran dan pergolakan ini.''

Bandar Brunei hancur dan musnah akibat daripada pengeboman Tentera Berikat terhadap Tentera Jepun pada saat-saat akhir pendudukannya di Brunei.

Beginilah nasib yang menimpa kepada penghuni dan penduduk di sekitar Bandar Brunei dalam era Perang Dunia Kedua.

Keadaan kehidupan di Bandar Brunei setelah Tentera Berikat mendarat di Pantai Muara pada tahun 1945.

Pemandangan Kampong Ayer sebelum berlakunya pendudukan Jepun pada tahun 1945.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel