A+ A A-

Siri Pertama

HASIL dari Banci Penduduk dan Perumahan 2011 yang telah dikendalikan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE)kedudukan jumlah pengangguran di Negara Brunei Darussalam setelah dibuat pengesahan terperinci adalah seramai 18,815 orang atau kadar pengangguran sebanyak 9.3 peratus. Dari jumlah tersebut, seramai 10,007 orang adalah perempuan dan 8,808 orang lelaki di kalangan penduduk yang berumur di antara 15 hingga 64 tahun.

Dari jumlah tersebut, seramai 17,936 orang adalah terdiri dari penduduk tempatan, iaitu rakyat Brunei dan penduduk tetap. Di kalangan penganggur tempatan tersebut, seramai 14,134 orang atau 79 peratus berumur di antara 15 hingga 34 tahuniaitu golongan yang dikategorikan sebagai belia. Manakala,dari segi kelulusan akademik tertinggi pula, lebih 80 peratus dari para belia yang menganggur tersebut adalah mereka yang hanya mempunyai tahap pendidikan di peringkat rendah dan menengah.Kadar pengangguran sebanyak 9.3 peratus tersebut adalah masih jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar pengangguran yang dianggap sebagai kadar minima iaitu di sekitar 3-4 peratus.

tinjau01 22022014 isu pengangguran ditangani secara menyeluruh
PAMERAN kerjaya antara lain bertujuan menimbulkan kesedaran kerjaya dalam diri setiap peserta dan membantu peserta untuk menyiapkan diri menghadapi dunia pekerjaan. Selain itu, memberi ruang kepada majikan untuk terus menjalankan sesi temu duga.

Pada akhir tahun 2013, iaitu kira-kira dua tahun selepas banci yang dijalankan, JPKE telah menyemak semula jumlah penganggurandengan mengambil kira perubahan dari segi komposisi tenaga kerja di Negara ini. Hasil daripada penyemakan semula menunjukkan jumlah pengangguran telah menurun kepada 14,668 orang.

Menurut Ketua Agensi Pekerjaan Tenaga Kerja (APTK), terdapat kira-kira 5,000 lebih jawatan kosong di sektor swasta. Jumlah kekosongan ini adalah yang didaftarkan di APTK dan yang telah diperolehi semasa Pesta Kerjaya yang diadakan sebanyak tiga kali pada tahun 2013. Jumlah kekosongan ini tidak termasuk jumlah kekosongan yang ada di dalam industri Minyak dan Gas.

Namun demikian, jumlah pengangguran masih tinggi walaupun terdapat kekosongan-kekosongan jawatan di sector swasta.

Seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di London, United Kingdom baru-baru ini, Baginda menegaskan bahawa di antara penyebab pengangguran di Negara ini adalah terdapatnya ketidaksepadanan di antara permintaan pasaran buruh dengan kemahiran yang ada pada pencari kerja (job-mismatch). Kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan memerlukan kelayakan ataupun kelulusan akademik yang lebih tinggi dan memerlukan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional.

LANGKAH ATASI ISU PENGANGGURAN

Isu pengangguran ini adalah isu negara yang perlu ditangani segera secara menyeluruh dan bersepadu. Justeru, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Khas Bagi Menangani Isu-Isu Pengangguran.

Jawatankuasa Kerja Khas ini dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Timbalan Menteri di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.Ahli-ahli yang lain adalah terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri (Antarabangsa, Perancangan, Perkembangan, Ekonomi dan Kewangan) dan (Tenaga), Kementerian Pendidikan (Teras), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (Pentadbiran, Kebeliaan dan Kesukanan) dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.

tinjau02 22022014 isu pengganguran ditangani secara menyeluruh

• Bidang tugas Jawatankuasa Kerja Khas Menangani Isu-Isu pengangguran ini adalah seperti berikut:

• Menentukan sasaran kadar pengangguran ke arah mencapai kadar gunatenaga penuh (full employment rate);

• Memastikan pengumpulan dan permakluman data yang terkini, tepat, cepat dan komprehensif mengenai pengangguran sebenar dalam negara;

• Mengenalpasti bidang-bidang industri yang banyak mengambil pekerja-pekerja asing, dan mempastikan industri-industri inimengambil sejumlah 80% pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan dalam tempoh 2 tahun akan datang;

• Mengenalpasti industri-industri yang mengamalkan pembayaran gaji dan kemudahan (remuneration package) yang tidak seimbang di antara pekerja-pekerja tempatan dengan pekerja-pekerja asing dan seterusnya mengeluarkan directives untuk memberhentikan amalan tidak adil tersebut;

• Memastikan lebih banyak latihan kemahiran yang asas dikendalikan dengan tujuan untuk memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri;

• Menangani isu-isu sikap dan mindset belia dan masyarakat yang suka memilih pekerjaan dan tidak tahan lama bekerja dengan pihak swasta;

• Lain-lain hal termasuk isu-isu berkenaan prestasi penuntut peringkat rendah dan menengah;  

• Mana-mana bidang tugas yang difikirkan bersesuaian dan berkaitan.

• Di bawah Jawatankuasa Kerja Khas ini juga ditubuhkan satu Urusetia Jawatankuasa Kerja Khas Pengangguran.Dipengerusikan bersama oleh YM Timbalan Setiausaha Tetap (Antarabangsa, Perancangan, Perkembangan, Ekonomi dan Kewangan), JPM, YM Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri danYMTimbalan Setiausaha Tetap (Teras) Kementerian Pendidikan. Ahli-ahli nya adalah terdiri daripada tujuh focus groups iaitu focus group target, focus group data collection, focus group local employment, focus group fair packages, focus group skill training, focus group mindset dan focus group student performance peringkat rendah.

Sebanyak 16 resolusi telah disediakan melalui 7 Focus Group. Jawatankuasa menyimpulkan bahawa ada dua pendekatan utama bagi mengurangkan jumlah pengangguran di negara ini, dengan meningkatkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, terutama bagi pekerjaan-pekerjaan yang cuma memerlukan kemahiran rendah, dan kedua, melalui peningkatan pendidikan khususnya di bidang teknikal dan vokasionalyang dapat membantu penganggur-penganggur belia yang hanya memperolehi tiga kredit di peringkat 'O' level atau yang lebih rendah.

Selain daripada penubuhan Jawatankuasa Kerja Khas, beberapa usaha lain juga telah dilaksanakan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bagi mengatasi masalah pengangguran di negara ini.

Antaranya, JPKE telah menyediakan 4 program di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia untuk melaksanakan pelbagai skim pembangunan sumber manusiamengikut objektif dan kumpulan sasaran masing-masing.

Empat program yang dimaksudkan adalah Program Pembangunan Kapasiti Tenaga Kerja Sektor Awam iaitu untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran sumber manusia yang bekerja di sektor awam; Program Pembangunan Kapasiti Tenaga Kerja Sektor Swasta iaitu untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran sumber manusia yang bekerja di sektor swasta; Program Peningkatan Bilangan Sumber Tenaga Berpendidikan dan Berkemahiran iaitu disediakan untuk rakyat yang mempunyai pelbagai bakat atau kemahiran dan terdiri dari mereka yang belum masuk ke alam pekerjaan; dan Program Pembangunan Keupayaan dan Kemahiran Tenaga Kerja Baru iaitu untuk membantu anak-anak tempatan mendapatkan pekerjaan dengan memberi pelbagai latihan kemahiran untuk meningkatkan keupayaan mereka supaya dapat menjawat pelbagai jenis pekerjaan di pasaran khususnya di sektor swasta.

Bersambung

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel