A+ A A-

Children categories

KEHALUSAN dan kerapian hasil kerja tangan saudara-saudara baharu (mualaf) merupakan kelebihan dalam menciptakan satu-satu produk kraf tangan yang indah, menarik lagi bermutu.

Kraf tangan, khususnya anyaman merupakan salah satu seni yang dimiliki oleh masyarakat di negara ini, di mana melalui penciptaan ukiran atau reka bentuk seni dapat menentukan puak pembuatnya.

Setentunya mutu produk yang dihasilkan oleh saudara-saudara baharu ini tidak ketinggalan dengan hasil-hasil produk tempatan yang lain lebih-lebih lagi dalam mengimbangi produk-produk yang didatangkan dari luar negara.

Kesungguhan dan ketelitian dalam menghasilkan sesuatu produk kraf tangan bukan saja sudah menjadi asam garam kehidupan mereka, tetapi juga menjadi tradisi yang diwarisi turun-temurun.

Antara keunikan hasil kraf tangan yang masih dikekalkan itu termasuklah produk seperti bakul, tikar, sintong, chapan, nyiru dan siraung yang dibuat daripada rotan, buluh, kulit kayu, daun mengkuang atau daun nipah (pucuk) selain daripada bahan-bahan plastik.

Dengan mengekalkan corak-corak tradisi yang bermotifkan alam semula jadi pada setiap kraf tangan yang dihasilkan jelas menyerlahkan lagi produk berkenaan untuk tampil lebih menarik malah bagaikan satu trademark yang berharga.

RENCANA 01 RABU 20072016 Unit Pengupayaan Muallaf bantu promosikan produk saudara baharu

SEBAHAGIAN daripada rantai kunci yang dijual.

Namun dalam mereka bentuk ini ia juga tidak terlepas daripada pengaruh kemajuan zaman, iaitu dengan menyelitkan corak-corak moden serta corak-corak yang direka bentuk sendiri oleh pihak pembeli demi memenuhi kehendak pelanggan.

Bagi mereka yang berkeinginan untuk membeli produk-produk tersebut dan seterusnya menyokong hasil produk tempatan bolehlah datang ke Unit Pengupayaan Muallaf (UPM) di Pusat Da'wah Islamiah (PDI) di Jalan Pulaie pada waktu pejabat atau menelefon ke talian +673 2383996 sambungan 146.

UPM yang terletak di bawah Bahagian Pembangunan Muallaf ini merupakan hub bagi membantu menjualkan hasil-hasil produk kraf tangan saudara-saudara baharu dan ia telah ditubuhkan sejak setahun yang lalu.

Unit ini diketuai oleh Pemangku Ketua UPM, Dayang Zaerah binti Haji Mus dan dibantu oleh empat orang pegawai yang lainnya.

Kemahiran yang diperolehi oleh para mualaf ini datangnya daripada usaha mereka sendiri yang diwarisi daripada datuk nenek mereka, selain kerja-kerja berkenaan sememangnya sudah menjadi kerja rutin bagi mereka terutama dalam menghasilkan pendapatan.

Menurut Pemangku Ketua UPM, Dayang Zaerah, dengan kemahiran yang ada sebetulnya para mualaf ini mampu menghasilkan bermacam-macam produk yang lain, namun pada masa ini, unitnya hanya memfokuskan pada pembuatan kraf tangan anyaman sahaja selain menghasilkan beberapa produk sampingan seperti tongkat, keris, parang dan rantai kunci.

RENCANA 02 RABU 20072016 Unit Pengupayaan Muallaf bantu promosikan produk saudara baharu

KEHALUSAN dan kerapian hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh saudara baharu sungguh bermutu.

Jelasnya, rantai kunci yang mereka hasilkan selalunya mendapat sambutan yang baik kerana ia diperbuat daripada kayu-kayu pilihan yang mempunyai khasiat tersendiri.

Dalam membantu memasarkan produk dan perekonomian mualaf, UPM sentiasa mencari peluang dan ruang untuk mualaf memasarkan barangan mereka selain memasarkan produk-produk tersebut di pejabat UPM sendiri di samping memasarkan melalui Facebook, Instagram serta menyertai bazar-bazar jemputan oleh berbagai-bagai pihak.

''Kami juga ada membuat promosi ke agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta dan menerusi beberapa siri lawatan tersebut sambutan orang ramai amat menggalakkan sebagai contoh apabila diundang untuk menyertai Pameran Jabatan Penjara dan Pameran Satu Kampung Satu Produk di Airport Mall awal bulan Mei lepas di mana sambutannya di luar jangkaan.''

Antara produk yang mendapat sambutan itu seperti bakul, takiding, timpa, bekas menyimpan kek, selain beberapa pelanggan membuat tempahan melalui Facebook dengan mengirim rekaan mereka sendiri.

Katanya, produk-produk yang dihasilkan ini pernah juga mendapat tempahan yang banyak daripada orang ramai dan syarikat-syarikat swasta untuk dijadikan buah tangan bagi berbagai-bagai majlis seperti majlis perkahwinan dan sebagainya.

Menyentuh dari segi saingan pula, mereka tidak berasa khuatir kerana produk yang dihasilkan itu mempunyai kualiti yang tersendiri selain seninya yang halus walaupun pada dasarnya berbagai-bagai pihak juga mempunyai keluaran produk yang sama terutama dari Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung selain produk-produk yang didatangkan dari luar negara seperti Malaysia dan Indonesia, ujar beliau.

RENCANA 03 RABU 20072016 Unit Pengupayaan Muallaf bantu promosikan produk saudara baharu

KRAF tangan yang amat dikagumi dengan pembuatannya yang penuh teliti dan masih mengekalkan nilai-nilai tradisional.

Produk-produk yang dipasarkan ini adalah khusus didatangkan dari Daerah Belait terutama dari Kampung Melilas. Bagi saudara-saudara baharu dari Daerah Temburong mereka ini sering menerima tempahan dari Facebook dan orang yang menempah selalunya akan datang ke UPM dengan membawa reka bentuk sendiri.

Para mualaf yang aktif dalam penghasilan kraf tangan ini adalah terdiri daripada mereka yang berbangsa Iban dan Dusun.

Mengimbas kembali sebelum UPM ini ditubuhkan, produk-produk tersebut hanya dijual kepada pelanggan-pelanggan yang mengunjungi kediaman mereka sahaja, iaitu di Ulu Daerah Belait namun keadaan mula berubah apabila pengunjung sudah kurang berdatangan ke sana selain kesukaran yang mereka hadapi untuk berulang-alik membawa produk-produk berkenaan ke Bandar Seri Begawan untuk dipasarkan.

Sebagai inisiatif, PDI melalui UPM telah menjadi hub pada penjualan produk-produk tersebut dan menjadi satu-satunya tempat bagi para mualaf menyalurkan produk-produk berkenaan.

Menurut Dayang Zaerah, jika kedai yang mereka cadangkan itu sudah siap nanti secara langsung akan memudahkan orang ramai untuk berkunjung ke sana untuk melihat dan membeli berbagai-bagai produk yang dipamerkan, selain para pembuat barangan juga berkeinginan untuk datang ke sana membuat demonstrasi pembuatan bagi satu-satu produk.

Katanya, segala perolehan daripada jualan produk tersebut seratus peratus diserahkan kepada pembuatnya.

RENCANA 04 RABU 20072016 Unit Pengupayaan Muallaf bantu promosikan produk saudara baharu

SEBAHAGIAN daripada produk yang sering mendapat sambutan.

Bagi sebuah keluarga yang berjaya menghasilkan dan mempelbagaikan produk kadang-kadang mampu mendapat pendapatan BND200 hingga BND300 di sebalik tidak menyangkal ada juga kurang daripada itu disebabkan kurangnya penghasilan produk yang dijual.

Dalam hubungan ini, kami berharap untuk mengembangkan lagi usaha-usaha seperti ini pada masa akan datang dengan matlamat untuk membantu para mualaf di seluruh negara, iaitu dengan memberi latihan kemahiran keusahawanan serta mewujudkan ekonomi kecil-kecilan dari usaha kerajinan mereka ini.

Dengan cara ini, para mualaf termasuk mereka yang baru saja memeluk ugama Islam merasakan bahawa kehidupan mereka terpeduli dan terjaga selain memberi bimbingan dan menjaga hubungan lebih baik dengan pegawai serta kakitangan PDI yang lain.

Dalam masa terdekat, UPM dijangka akan mengadakan bengkel masakan selain cuba untuk melebarkan kemahiran mereka dalam bidang pertanian.

Secara rasionalnya, usaha yang diungkayahkan oleh unit ini secara langsung memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha mualaf sebagai usahawan dengan menceburkan diri dan menilai perniagaan secara lebih efisien, selain dapat memberi keyakinan kepada pihak-pihak tertentu seperti kerajaan dan pihak bank bagi mendapatkan sumber kewangan terutama dalam menaik taraf perniagaan mualaf ini.

Kejayan UPM menjadi hub menjualkan produk-produk tersebut membuktikan pemedulian pihak kerajaan khususnya PDI kepada mualaf di pedalaman untuk memasarkan produk-produk mereka.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel