A+ A A-

Children categories

UMAT Islam masih lagi mempunyai kesempatan untuk meningkatkan amal ibadah di bulan seribu rahmat ini dengan memperbanyakkan amal ibadah sama ada yang wajib mahupun yang sunat sekalipun kini sudah memasuki minggu ketiga.

Bulan yang menjanjikan seluas-luasnya rahmat dengan sebanyak-banyak limpahan pahala kepada umat yang melakukan kebajikan sama ada yang dilakukan pada siang mahupun di malam hari.

Sebagai salah satu keistimewaan yang terdapat di bulan Ramadan ini ialah melakukan ibadah puasa wajib yang merupakan salah satu dari rukum Islam yang lima selain kita juga dituntut untuk bersedekah, bertadarus dan sebagainya.

Ibadah puasa yang ditunaikan di sepanjang siang hari di bulan Ramadan yang bermula sebelum masuknya waktu Sembahyang Fardu Subuh akan habis tempohnya apabila menjelangnya seruan azan Sembahyang Fardu Maghrib dan ketika itulah umat Islam akan mula berbuka puasa (bersungkai).

Menyentuh waktu berbuka puasa ini ia merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh semua orang yang sedang menunaikan ibadah puasa lebih-lebih lagi kanak-kanak setelah hampir sehari menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan termasuk lapar dan dahaga.

Melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala dengan tekun dan bersungguh-sungguh akan terasa puas apabila tiba waktunya untuk berbuka, iaitu dengan membasahkan tekak dan mengisi perut yang kosong dengan makanan yang terhidang sambil didahului dengan berdoa.

Bersungkailah dengan sederhana elak dari terlalu kenyang

GAMBAR HIASAN... Bersungkailah dengan sederhana elak dari terlalu kenyang.

Pada kebiasaannya apabila waktu berbuka puasa umat Islam akan melakukannya dengan berbagai cara sama ada di rumah bersama keluarga dan tidak kurang pula yang akan berbuka puasa di masjid dengan juadah yang dihidangkan sama ada yang dimasak sendiri atau yang dibeli di gerai-gerai atau di kedai-kedai makan.

Dalam menyediakan makanan dan minuman perlunya ada kesederhanaan tanpa pembaziran kerana ini adalah lebih baik dan merupakan salah satu cara bagi mengelak berlakunya pembuangan kerana perbuatan membazir sehingga berlakunya pembuangan, adalah sangat dilarang oleh agama.

Ketika berbuka puasa bersama keluarga merupakan satu peluang untuk berkumpul dan dapat mengeratkan tali kekeluargaan selain dapat memberikan suasana yang kondusif serta mengeratkan lagi ukhuwah persaudaraan.

Namun tidak kurang pula ada sesetengah umat Islam yang mempunyai kelebihan akan mengadakan majlis berbuka puasa ini di restoran-restoran atau di kedai-kedai makan bersama keluarga atau kawan-kawan apatah lagi pada saat seperti inilah banyak promosi-promosi sungkai ditawarkan oleh para peniaga dengan harga yang dikatakan berpatutan.

Adalah tidak menjadi masalah untuk berbuka puasa di luar, tetapi haruslah mengikut kemampuan masing-masing kerana berbuka puasa di luar memerlukan kewangan yang besar apa lagi kalau seseorang itu mempunyai ahli keluarga yang ramai.

PG22A01 220616 01

PELBAGAI jenis makanan yang menyelerakan dijual di gerai Ramadan.

Namun dengan berbuka puasa di restoran-restoran yang mahal dan mewah tidak syak lagi ia boleh saja berlaku pembaziran kerana ia perlu dibayar dengan harga yang mahal. Adalah lebih baik jika wang untuk perbelanjaan berbuka puasa yang berlebihan itu disedekahkan kepada orang-orang yang tidak berkemampuan agar mereka dapat menikmati berbuka puasa dengan selayaknya.

Dengan melaksanakan berbuka puasa seumpama ini harus juga diperhatikan beberapa perkara lain agar ia tidak menjurus pada perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh agama kerana pada lazimnya orang yang berpuasa apabila sudah terlalu lapar selera untuk makan akan meningkat dan ini menyebabkan sesetengah orang untuk menjamu selera sehingga terlalu kenyang.

Apabila terlalu kenyang akan menyebabkan seseorang itu akan menjadi malas dan ini termasuklah tidak akan melakukan ibadat sembahyang sama ada sembahyang fardu mahupun sunat apatah lagi untuk membaca Al-Quran.

Kerana itu, berhati-hatilah ketika menjamu selera sewaktu berbuka puasa, jangan sampa waktu Sembahyang Fardu Maghrib terlepas begitu saja dan sehinggakan masuk waktu Sembahyang Fardu Isyak.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Farwah Radhiallahuanha ada meriwayatkan yang maksudnya : Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah ditanyakan : ''Apakah perbuatan-perbuatan yang lebih utama?'' Baginda bersabda : ''Sembahyang pada awal waktunya.'' (Hadis riwayat Abu Daud).

Maka untuk mengelak tertinggal waktu sembahyang adalah lebih baik mendahulukan berbuka puasa dengan kurma atau air atau yang seumpamanya dan diikuti melaksanakan Sembahyang Fardu Maghrib dan selepas itu bolehlah meneruskan menjamu selera semula.

Imam al-Ghazali Rahimahullah mengingatkan umat Islam terhadap beberapa etika sebelum, ketika dan sesudah makan, antaranya hendaklah : Diniatkan dengan perbuatan makan itu akan memberikan tenaga untuk lebih kuat mentaati Allah : Reda dan bersyukur dengan rezeki atau makanan yang terhidang walaupun seadanya dan berhenti makan sebelum terlalu kenyang.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel