A+ A A-

Children categories

SETIAP kali tiba waktu makan, rasa lapar memang akan muncul, dan ketika itu pelbagai jenis makanan berligarligar di minda. Makan apa bisai aa? Di mana bisai makan aa? Kepada mereka yang ingin mencuba dan merasa sendiri keenakan hidangan di salah sebuah restoran yang baru beroperasi di Daerah Temburong, atau yang sedang bermalam di Rumah Persinggahan Kerajaan Daerah Temburong di Pekan Bangar, singgah-singgahlah ke restoran milik Koperasi Pelancongan Daerah Temburong (KPDT) Dengan Tanggungan Berhad. Koperasi tersebut kini melebarkan lagi sayapnya dengan terus mengembangkan kegiatan perekonomian koperasi berkenaan. Dengan tidak hanya tertumpu pada sektor pelancongan, koperasi itu menceburi bidang perusahaan perniagaan restoran bagi memenuhi permintaan setempat.

Pengerusi KPDT Dengan Tanggungan Berhad, Awang Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba menjelaskan restoran tersebut merupakan yang pertama diusahakan oleh KPDT Dengan Tanggungan Berhad. Memandangkan dengan adanya kekosongan ruang di Rumah Persinggahan Kerajaan, Pekan Bangar ini jelasnya, maka pihak koperasi berusaha untuk mendapatkannya di mana mereka telah pun dibenarkan dan diberikan kepercayaan untuk mengendalikan restoran di tempat berkenaan bermula pada awal tahun, iaitu pada bulan Mac yang lalu.

rencana 210516 01 restoran kpdt giat promosi produk kampong

PENGERUSI Koperasi Pelancongan Daerah Temburong (KPDT) Dengan Tanggungan Berhad, Awang Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Menurut Awang Haji Matusin, salah satu cabaran besar khususnya dalam kalangan kepimpinan koperasi tersebut adalah penyediaan menu-menu yang mana menu di restoran tersebut adalah sama dengan menu yang lain pada asasnya seperti kuih-muih, makanan ringan dan mungkin juga ada makanan-makanan khusus. Kalau dalam konteks Daerah Temburong ini jelasnya, para pengunjung restoran setentunya inginkan sesuatu menu khas yang patut diketengahkan. 

CABARAN PENYEDIAAN MENU

''Terutama sekali orang akan bertanya mengenai dengan udang galahnya maka mahu inda mahu maka pihak koperasi akan berusaha untuk menyediakan menu udang galah ani. Walau bagaimanapun, kitani tidak dapat menjanjikan seratus peratus menu tersebut akan dapat disajikan. Kitani akan cuba berhubung dengan beberapa pembekal udang galah untuk mendapatkannya. Cuma kitani nasihatkan para pelanggan yang berminat supaya awal-awal menghubungi pihak koperasi,'' sarannya.

Dengan mengetengahkan sedikit perbezaan berbanding restoran-restoran lainnya, restoran ini juga menjurus kepada kegiatan-kegiatan perekonomian para penduduk kampung. Selain menyediakan sajian-sajian secara tempahan dan sedia ada, Awang Haji Matusin menjelaskan restoran ini juga menyediakan menu-menu tempatan seperti Wajid Temburong serta produk-produk yang diusahakan oleh Majlis-majlis Perundingan Mukim dan Kampung di daerah ini misalnya Mi Senukoh yang dihasilkan oleh Majlis Perundingan Kampung Senukoh yang ketika ini sudah dikenali oleh masyarakat luar dari Daerah Temburong juga boleh dinikmati / diperolehi di restoran ini.Begitu juga dengan produk-produk dari majlis-majlis perundingan kampung yang lain juga.

rencana 210516 04 restoran kpdt giat promosi produk kampong

SEBAHAGIAN dari produk yang turut dijual di restoran ini.

''Restoran milik KPDT Dengan Tanggungan Berhad ini mempunyai konsep bahawa kitani bukan sekadar untuk berniaga mendapatkan kewangan untuk ahli-ahli koperasi tetapi kita juga berhasrat untuk membantu masyarakat umum khasnya masyarakat di kampung-kampung supaya mereka dapat memasarkan produk-produk masing-masing melalui koperasi berkenaan,'' jelasnya. Beliau seterusnya menjelaskan, ini memandangkan rata-rata kepimpinan dalam koperasi ini adalah kepimpinan masyarakat yang terdiri daripada ahli-ahlinya merupakan orang-orang yang pernah bergiat dengan masyarakat, di samping penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung ikut serta sebagai ahli koperasi dan pemimpin-pemimpin masyarakat kampung. Pihak koperasi berharap supaya orang-orang kampung khasnya majlis-majlis perundingan kampung akan mendukung hasrat mereka itu dan seterusnya mengalu-alukan para penduduk kampung di daerah ini yang ingin memasarkan produ-kproduk mereka supaya menghantar produk-produk mereka itu ke kiub-kiub yang disediakan di restoran berkenaan.

Selain itu, restoran juga menyediakan perkhidmatan buffet bagi makan tengah hari setiap hari Isnin dan Selasa dengan harga yang berpatutan. Menjelangnya Ramadan yang hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi, restoran juga menyediakan bufet bersungkai sebagai salah satu pilihan umat Islam di daerah ini dan mereka yang berkunjung ke Daerah Temburong untuk berbuka puasa kelak.

rencana 210516 02 restoran kpdt giat promosi produk kampong

SEORANG pelayan restoran semasa melayani para tetamu sempena Majlis Doa Kesyukuran sempena beroperasinya restoran milik KPDT Dengan Tanggungan Berhad di Rumah Persinggahan Kerajaan, Pekan Bangar.

PROMOSI KEGIATAN PELANCONGAN

Pengendalian restoran ini agak berbeza dengan restoran lain yang ada di negara ini. Selain menyajikan hidangan, restoran ini juga menjalankan aktiviti lainnya. Tekuduhung memakai nama KPDT dengan Tanggungan Berhad, maka pihak koperasi juga menjadikan restoran tersebut sebagai satu tempat operasi untuk mempromosikan kegiatan-kegiatan pelancongan yang ada di daerah Temburong.

''Di sini kesempatan yang paling bagus untuk saya sampaikan kerana pertama saya sendiri selaku Pengerusi kepada Ahli Lembaga Tadbir KPDT dengan Tanggungan Berhad dan sayalah juga Pengerusi Badan Kebudayaan dan Pelancongan Daerah Temburong maka, di samping tempat ini menyediakan keperluan makan /minum, saya ingin melihat tempat ini juga menjadi pusat untuk kitani mengagih-agihkan atau mengedarkan template dan seumpamanya dan mana-mana pelancong atau ejen-ejen pelancongan yang ingin membawa pelancong-pelancong juga boleh menghubungi kami di sini sebagai tempat untuk memulakan destinasi pelancongan,'' jelasnya.

Awang Haji Matusin seterusnya menjelaskan, pihak koperasi akan berusaha dan bekerja keras untuk membantu pihak kerajaan dalam apa jua perkara dan bagi merealisasikan harapan pihak tertentu yang ingin melihat Daerah Temburong lebih menyerlah kepada hal-hal pelancongan. Oleh itu, langkah yang dibuat oleh pihak koperasi dengan menjadi restoran tersebut sebagai platform untuk mempromosikan aktiviti pelancongan di daerah ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen untuk membantu pihak yang berkenaan di negara ini dalam hal yang sedemikian. Beliau berharap hasrat mereka itu akan dapat dicapai dengan sokongan dan dukungan masyarakat umum khasnya di Daerah Temburong dan di Negara Brunei Darussalam secara umumnya.

rencana 210516 03 restoran kpdt giat promosi produk kampong

ANTARA pengunjung restoran ketika menikmati juadah yang disediakan.

SEJARAH PENUBUHAN

Ketika menceritakan sejarah penubuhan KPDT Dengan Tanggungan Berhad, Awang Haji Matusin mengajak penulis untuk mengimbas kembali pada tahun 2001 di mana Negara Brunei Darussalam mempunyai satu projek besar yang dipanggil Tahun Melawat Brunei Tahun 2001. Pada masa itu ujarnya, Daerah Temburong telah pun menubuhkan Badan Kebudayaan dan Pelancongan Daerah Temburong, bagaimanapun badan tersebut hanyalah sebagai satu kegiatan yang bukannya mempunyai urusan-urusan untuk kutipan hal-hal kewangan. Ia merupakan sebagai satu kegiatan sukarela. Atas saranan pihak tertentu, maka sebuah koperasi telah ditubuhkan, iaitu KPDT Dengan Tanggungan Berhad yang menjurus kepada kegiatan-kegiatan yang boleh mendatangkan ekonomi. Salah satu usaha yang dibuat sebelum ini katanya lagi ialah dengan mengendalikan Pusat Maklumat Pelancongan Daerah Temburong, namun pusat berkenaan tidak lagi beroperasi ketika ini. Kini KPDT Dengan Tanggungan Berhad beralih untuk membuat kegiatan-kegiatan yang sepenuhnya lebih menjurus kepada kegiatan ekonomi dengan mengendalikan perusahaan perniagaan restoran.

Sesuai dengan perniagaan mereka, Awang Haji Matusin berharap orang ramai akan dapat memberi sokongan dengan datang berkunjung dan menikmati hidangan-hidangan dan menu-menu yang disediakan di restoran berkenaan. Apa yang lebih utama jelasnya, ahli-ahli dalam koperasi ini terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat, iaitu ada golongan belia, golongan dewasa dan orang yang lanjut usia. Beliau juga berharap agar para belia di daerah ini ikut serta dalam koperasi berkenaan yang mungkin dapat disalurkan dalam pelbagai kegiatan perekonomian ataupun dalam sector pelancongan. Awang Haji Matusin seterusnya menyeru agar masyarakat Daerah Temburong memberikan sokongan yang padu supaya mereka akan terus bergerak dengan lebih aktif dan jayanya baik dalam sektor perekonomian mahupun pelancongan ke arah membantu pihak kerajaan menjana ekonomi negara dan mengembangkan sektor pelancongan di negara ini.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel